suria

Minta Sukan Pelayaran Di Senarai Di Bawah Program Road To London 2012

LANGKAWI: Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) berharap sukan pelayaran turut disenarai di bawah Program Road to London 2012 bagi membantu negara meraih pingat di Sukan Olimpik London.

Pengurus Besar MYA, Mohd Afendy Abdullah berkata pelayar negara masih muda iaitu sekitar 18 hingga 23 tahun tetapi mereka telah membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa.

"MYA yakin dengan peningkatan pelayar muda negara yang berjaya membaiki kedudukan mereka di kebanyakan kejohanan antarabangsa yang disertai," katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata misalnya dalam International 470 Class, pelayar negara diberi laluan istimewa apabila ditawarkan tempat untuk ke Olimpik oleh Persekutuan Pelayaran Antarabangsa.

Begitu juga dalam International Standard Laser Class, pelayar Khairulnizam Mohd Afendy dan Romzi Mohamad mempunyai peluang baik untuk melayakkan diri jika mereka diberi peluang menjalani latihan di luar negara, katanya.

Mohd Afendy berkata menerusi acara Laser Radial Class, dua pelayar wanita Amirah Hamid dan Khairunneeta Mohd Afendy juga mampu membawa cabaran negara di Olimpik.

Beliau berkata Malaysia perlu menghargai kejayaan pelayar seperti Ahmad Shukri Abd Aziz yang menjuarai kategori lelaki Kejohanan IODA Dunia di sini baru-baru ini.

Bola sepak, badminton, hoki, memanah dan lumba basikal adalah sukan yang disenarai di bawah Program Road To London 2012.- BERNAMA

Artikel Berikut

Ayabe Tawan Cameron Highlands

Artikel Lain