Anuar Hampir Juara Peringkat Pertama

Diterbitkan: Isnin, 24 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Impian pemenang Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu, Anuar Manan untuk menjadi juara peringkat pertama dan meraih jersi kuning terbantut selepas berlaku sedikit kesilapan pada saingan di Langkawi, Ahad.

Selain mempersia-siakan peluang untuk menjadi juara peringkat, pelumba Terengganu Cycling Team (TCG) ini turut berputih mata apabila terlepas Jersi Biru (Raja Pecut) yang dimenangi tahun lalu.

Anuar, 24, berjaya mengumpul 14 mata, ketinggalan satu mata di belakang pemenang peringkat dan Jersi Biru, Andrea Guardini dari pasukan Farnene Vini-Neri Sottoli pada perlumbaan sejauh 94.3km dari dari Dataran Lang ke Kuah itu.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu ini menyapu bersih 10 mata daripada dua zon pecut pertama tetapi gagal mengekalkan kayuhan yang bertenaga untuk menambah kutipan mata.

"Saya berasa kecewa dengan keputusan pada peringkat pertama ini. Strategi kami (TCG) hari ini adalah untuk menjadi juara peringkat dan pada masa yang sama saya mahu mempertahankan Jersi Biru yang dimenangi tahun lalu.

"Kami hampir memenangi peringkat pertama ini tetapi kesilapan strategi menghalang kami daripada melakukannya," kata bekas pelumba Le Tua Cycling Team dan Geumsam Ginseng Asia.

Menurut Anuar, pada mulanya dia merasakan bahawa dia sudah mempunyai jumlah mata yang mencukupi untuk memenangi gelaran raja pecut dan membantu rakan sepasukan, Mohd Harrif Salleh menjadi pemenang peringkat.

Bagaimanapun, Harrif, 22, gagal melakukannya meskipun Anuar telah telah memberikannya laluan untuk memimpin perlumbaan itu sehingga ke garisan penamat di bandar Kuah.

Mereka terpaksa akur dengan kehebatan Andrea, 20, selepas pelumba Itali itu menjadi juara peringkat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan