Pelumba Malaysia Ada Harapan Raih Pingat Di New Delhi - Sukan | mStar

Pelumba Malaysia Ada Harapan Raih Pingat Di New Delhi

Diterbitkan: Isnin, 27 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Beberapa pelumba basikal Malaysia mempunyai potensi besar untuk memenangi pingat pada Sukan Komanwel di New Delhi bulan depan, kata jurulatih John Beasley.

"Saya percaya Rizal Tisin boleh menang acara 1km. Beliau akan terima tentangan daripada Eddy Dawkins dari New Zealand, Scott Sunderland dari Australia dan David Daniels dari England," katanya, Isnin.

Malaysia juga katanya, boleh meraih emas dalam acara pecut berpasukan yang membarisi Edrus Yunous, Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Rizal Tisin dan mereka dijangka menerima saingan dari Australia, England, Canada, Scotland dan New Zealand.

Azizulhasni dan Josiah juga kata Beasley, berpotensi tinggi untuk memenangi pingat dalam acara pecut bersama pelumba Australia, Shane Perkins yang diramal meraih emas selepas muncul naib juara pada kejohanan dunia tahun ini.

Beasley juga meramalkan peluang cerah untuk Rizal, Azizulhasni dan Josiah memenangi pingat dalam acara keirin dan tekanan dijangka datang dari pemenang pingat gangsa Olimpik, Ross Edgar dari Scotland dan trio Australia Shane Perkins, Daniel Ellis dan Jason Nibbet.

Beasley yang dianggap sebagai jurulatih lumba basikal terbaik Australia, telah melatih skuad negara sejak empat tahun lepas dan menyifatkan pasukan itu mempunyai semua aspek yang diperlukan untuk mencatat keputusan terbaik di New Delhi.

"Kami telah berlatih lebih gigih berbanding dulu. Kami juga telah menjalani sesi yang sukar sejak beberapa bulan lepas yang mampu melemahkan atlet tetapi pelumba basikal kita berjaya mengendalikannya dan semakin mantap.

"Pelumba kita sekarang bukan saja lebih pantas tetapi juga lasak dan saya sangat bangga dengan mereka," katanya.

Beasley berkata skuad berbasikal Malaysia telah mencapai satu kejayaan membanggakan dengan muncul sebagai pasukan disegani di Asia.

"Dulu kita paling mudah dikalahkan, sekarang kita nama besar di Asia selain memenangi tiga pingat di kejohanan dunia," katanya.

Beasley juga melahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang melawat pasukan negara beberapa minggu lepas, dan Majlis Sukan Negara.

"Kita sungguh bertuah kerana mempunyai kepimpinan yang baik di kementerian dan majlis sukan, dan saya bertuah kerana mempunyai ketua yang hebat yang menyokong program kita 100 peratus.

"Kami semua faham dengan pelaburan besar pasti ada harapan menggunung dan setakat ini saya fikir kami telah mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kami," katanya. Skuad Malaysia akan berlepas ke New Delhi pada 30 Sept ini. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan