Aksi Shahril Di Melaka Masih Samar - Sukan | mStar

Aksi Shahril Di Melaka Masih Samar

Diterbitkan: Sabtu, 18 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AKSI Shahril Izzuwan Mohd Noor (gambar)pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 25 dan 26September ini masih samar gara-gara terlibat dengan kemalangan di India pada saingan pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) bulan lepas.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing mengalami patah ditulang selangka selepas insiden bersama pelumba Bikers BRT Indonesia Racing Team, Gilang Pranata Sukma pada perlumbaan akhir kategori Underbone 115cc di Trek Sukan Bermotor Madras di Chennai.

Selepas menjalani pembedahan, Shahril kini terpaksa direhatkan dan berharap segera sembuh sebelum satu lagi pemeriksaan akan dilakukan pada 23 September depan.

Shahril antara pelumba utama yang mempunyai kelebihan untuk mengutip mata maksimum pada perlumbaan di Melaka bagi kategori CP115

“Buat masa ini, fizikal saya berada pada tahap 70 pertaus bersedia dan kini segalanya bergantung kepada diri saya sendiri.

“Bagaimanapun, saya masih belum melakukan sebarang aktiviti berat dan berharap tahap kesihatan saya semakin baik pada beberapa hari sebelum temu janji saya bersama doktor minggu hadapan.

"Saya harap saya dapat beraksi di Melaka memandangkan saingan kejuaraan kini memasuki fasa yang begitu kritikal,” katanya.

Sebagai rekod, Shahril kini berada di tangga keempat keseluruhan dengan 64 mata, ketinggalan 38 mata kepada pendahulu ketika ini, Mohd Rozaiman Mohd Said dari Motul Yamaha YY Pang yang memiliki 102 mata.

Rakan sepasukan Shahril, Mohd Ramdan Mohd Rosli berada di tempat kedua dengan 101 mata diikuti Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) dengan 89 mata.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan