India Mulai Tingkat Program Anti-Doping Sukan Komanwel

Diterbitkan: Sabtu, 4 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Menjelang ketibaan Sukan Komanwel Delhi 2010, penganjur mulai mengerakkan program-program anti-doping yang lebih ketat dalam usaha memastikan temasya sukan itu bebas dari sebarang skandal.

Satu suruhanjaya sembilan anggota yang dipengerusikan oleh bekas atlet tersohor Malaysia Tan Sri Dr M.Jegathesan, dipertanggungjawabkan untuk menyelia semua aktiviti mengawal dadah sepanjang temasya sukan itu dari 3 hingga 14 Oktober ini.

"Jawatankuasa penganjur temasya sukan kali ini dilihat sedang membina legasi sendiri dengan menubuhkan kemudahan pusat kawalan doping yang lengkap di semua venue latihan dan sukan, yang setara dengan standard antarabangsa," kata Timbalan Ketua Pengarah (kawalan doping) jawatankuasa penganjur Sukan Komanwel, Dr. Munish Chander.

"Kemudahan-kemudahan ini akan digunakan bagi tujuan kawalan doping semata-mata, biarpun selepas Sukan Komanwel berakhir. Infrastruktur kawalan doping yang teratur ini dilengkapi dengan peralatan kawalan doping, bahan-bahan latihan dan pendidikan, serta tenaga kerja yang terlatih dalam kawalan doping secara profesional," tambahnya.

Semua atlet dari 71 pasukan yang mengambil bahagian dalam temasya sukan itu nanti akan dikehendaki menjalani ujian kawalan doping yang akan dibuat secara mengejut dari semasa ke semasa.

"Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) baru-baru ini menguatkuasa standard anti-doping bagi Delhi 2010 dan akan membabitkan semua atlet, termasuk atlet paralimpik," katanya.

CGF juga sebelum ini meluluskan rancangan pembahagian ujian yang membabitkan pengagihan 1,500 ujian kawalan doping, 250 ujian darah, 150 ujian EPO (erythropoietin test) dan 150 ujian pra-pertandingan, yang merupakan yang tertinggi berbanding Sukan Komanwel sebelum ini.

Kawalan doping itu akan mulai beroperasi pada 23 September hinggi 14 Oktober. CGF turut mencalonkan lima pegawai kawalan doping antarabangsa (DCOs) dari Malaysia, Sri Lanka, Oman, Kazakhstan dan Singapura. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan