Kelekaan Menentang Jepun, Mampu Ubah Keputusan - Misbun

Diterbitkan: Isnin, 10 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun telah mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Thomas, namun para pemain negara diingatkan supaya jangan mengambil mudah perlawanan menentang Jepun bagi melengkap jadual Kumpulan B esok.

Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek berkata tanpa perlawanan pemanas badan menentang Nigeria semalam, skuad negara seharusnya memberikan tumpuan kepada perlawanan kompetitif menentang Jepun bagi mendapatkan momentum.

"Walaupun bermain di gelanggang sendiri, sedikit kelalaian akan membawa padah. Jepun tetap lawan yang handal dan mampu membuat kejutan," katanya kepada pemberita hari ini.

Malaysia dan Jepun telah mengesah kemaraan ke suku akhir selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberikan mata kemenangan 5-0 kepada kedua-dua pasukan berikutan masalah yang dihadapi oleh satu lagi pasukan dalam Kumpulan B iaitu Nigeria.

Misbun berkata di atas kertas, Malaysia dibarisi oleh pemain perseorangan yang kuat, diketuai oleh pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, Wong Choong Hann (16), Muhd Hafiz Hashim (22) dan Tan Chun Seang (70).

Sementara Jepun mungkin menurunkan pemain perseorangan utama mereka, Kenichi Tago (14), Kazhushi Yamada (30) dan Sho Sasaki (40).

Kenichi Tago bertemu Chong Wei pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan All England pada Mac, di mana Chong Wei menumpaskan pemain muda Jepun itu dalam straight-set.

"Namun kelekaan Chong Wei mampu mengubah keputusan perlawanan," kata Misbun.

Ketua jurulatih Korea, Park Joo Bong berkata ia merupakan misi mati atau hidup bagi anak buahnya ketika menentang Malaysia esok.

"Di atas kertas, kami tidak mempunyai peluang untuk menang dalam acara perseorangan lelaki tetapi kami akan cuba memungut mata dalam acara beregu.

"Kami akan cuba memungut satu mata dalam acara perseorangan dan menang dalam acara beregu," katanya. Joo Bong berkata ia akan menjadi bencana kepada Jepun sekiranya pasangan utama Malaysia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong berada dalam keadaan terbaik mereka.

Pasangan tersebut merupakan pasangan utama dunia, sementara satu lagi pasangan Malaysia ialah Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari (20).

"Beregu kedua Malaysia tidak konsisten," kata Joo Bong.

Pasangan beregu pertama Jepun terdiri daripada Noriyasu Hirata/Hirokatsu Hashimoto (13) sementara beregu kedua ialah Kenichi Hayakawa/Kenta Kazuno (27). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan