suria

Rooney Disebut-sebut Bakal Pemain Terbaik England Musim Ini

DENGAN baki enam perlawanan sahaja lagi dalam Liga Perdana Inggeris, Wayne Rooney kini disebut-sebut akan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Musim 2009/10 - bukan sangat kerana permainan cemerlangnya tetapi kerana permainan konsistennya dan juga naluri kompetatif yang sangat menonjol.

Satu-satunya pesaing Rooney untuk trofi tersebut ialah pemain tengah Chelsea, Frank Lampard.

Bagaimanapun sementara Lampard berpeluang untuk menunjukkan pengaruhnya di atas padang untuk baki perlawanan musim ini malang bagi Rooney, dia mungkin terpaksa melupakan baki musim ini akibat kecederaan buku lali yang dialaminya dalam perlawanan dengan Bayern Munich awal pagi tadi.

Sir Alex Ferguson, pengurus Manchester United juga berpendapat, Nemanja Vidic wajar dipertimbangkan untuk anugerah tersebut walaupun pada pertengahan musim dia mengalami kecederaan dan terlepas beberapa perlawanan penting.

Konsistensi Rooney menyerlah pada babak-babak terakhir musim dengan keupayaannya menjaringkan gol, boleh dikatakan, pada setiap perlawanan yang dia diturunkan.

Menurut Ferguson, walaupun ada kalanya Rooney diturunkan pada posisi kiri atas sebab-sebab strategi dan sebagainya tetapi itu tidak mendatangkan masalah kepadanya.

Malah, kata Ferguson, pemain itu terus menerus menjaringkan gol pada setiap peluang yang diperolehinya di hadapan pintu gol.

"Jika kita lihat kembali sejarah Wayne Rooney, dia bermula sebagai pemain midfield dengan Everton tetapi perlahan-lahan berubah posisi sebagai penyerang tengah.

"Malah jika saya menurunkannya pada posisi penyerang tengah sekali pun, akhirnya kita akan menyaksikan dia berada di mana-mana ruang kerana dia sentiasa bergerak dan memberikan sepenuh jiwa raganya kepada setiap perlawanan. Itulah Wayne Rooney dan dia juga tidak mementingkan diri sendiri," ujar Ferguson.

Ferguson berpendapat, tiada siapa yang akan mempertikaikan Rooney jika dia terpilih sebagai pemain terbaik England musim ini.

"Perlu diingat, Manchester United terpaksa membayar Everton sejumlah £28 juta dan jumlah itu pada hakikatnya merupakan satu tawaran yang menguntungkan. Kita telah cuba mendapatkan khidmat Rooney jauh lebih awal daripada itu tetapi Everton bijak dan mereka tahu siapa mereka miliki," kata Ferguson lagi.

Rooney meletakkan dirinya pada peta dunia bolasepak apabila menjaringkan gol pada usia 16 tahun ketika menentang Arsenal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain