suria

Dua Gol Bukan Masalah Besar: K. Devan

KUALA LUMPUR: Pemburuan Selangor untuk menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol ke atas Negeri Sembilan pada pusingan kedua, separuh akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu ini bukanlah satu masalah yang besar.

Jurulatihnya, K.Devan berkata, pemain-pemain 'The Red Giants' mempunyai masa 90 minit permainan dan tahu cara untuk merealisasikannya seterusnya layak ke perlawanan akhir

"Jika mereka (Negeri Sembilan) mampu menjaringkan dua gol di Stadium Shah Alam semalam, kami juga berupaya untuk melakukannya di tempat lawan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Devan berkata, kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan pada pusingan pertama separuh akhir Piala FA semalam sudah cukup untuk membakar semangat pemain-pemainnya yang kali terakhir tewas di tempat sendiri pada 19 Februari tahun lepas kepada UPB-MyTeam.

"Itu yang menyebabkan pemain-pemain Selangor tidak boleh terima dan kini bersedia sepenuhnya kerana selaku juara bertahan kita mahu mempertahankan Piala FA," katanya.

Selangor memerlukan sekurang-kurangnya dua gol untuk menempah tiket ke perlawanan akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

"Malah saya bakal menurunkan barisan terbaik pada perlawanan Sabtu ini termasuklah menurunkan kembali penjaga gol utama, Mohd Hamsani Ahmad yang tidak beraksi semalam," katanya.

Negeri Sembilan sebaliknya tidak akan dapat menggunakan tiga tonggak utama iaitu Rezal Zambry Yahya, Idris Karim dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak setelah mengumpul kad kuning kedua di Stadium Shah Alam yang digantung satu perlawanan.

Menyentuh mengenai perlawanan semalam, Devan berkata kemenangan Negeri Sembilan yang juga merupakan juara bertahan Piala Malaysia adalah berdasarkan dua kesilapan pemainnya yang membolehkan dua gol dijaringkan dalam masa dua minit.

"Gol pertama merupakan kesilapan penjaga gol gantian yang kurang berpengalaman, Fairul Azwan yang gagal menangkap kemas percubaan penyerang lawan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-69 manakala pemain pertahanan Mohd Nasriq Baharom tertolak masuk bola ke gawang sendiri, dua minit kemudian," katanya.

Pada musim lepas, Selangor menewaskan Kelantan 4-1 melalui sepakan penalti setelah seri 1-1 tamat masa tambahan untuk menjulang Piala FA sekaligus menjadikannya ia kejuaraan ke lima sejak piala itu mula dipertandingkan pada 1990. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain