suria

Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu Ke Separuh Akhir Piala FA

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu layak ke separuh akhir saingan bola sepak Piala FA selepas mencapai kemenangan pada perlawanan suku akhir kedua malam semalam.

Di Stadium Shah Alam, Selangor menewaskan Pos Malaysia 3-0 sekaligus mencatat kemenangan dengan agregat 8-1.

Gol pertama Selangor hadir seawal minit kedua menerusi jaringan penyerangnya R. Surendren, diikuti jaringan Rudie Ramli pada minit ke-39 dan Surendren sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-42 untuk kedudukan 3-0.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan mara ke separuh akhir setelah menewaskan KL Plus 3-1 untuk melangkah dengan kelebihan agregat 3-2.

Gol sulung Negeri Sembilan hanya muncul pada minit ke-66 menerusi jaringan Idris Karim tetapi KL Plus kembali mengikat kedudukan menerusi Fadli Shaari pada minit ke-61 dan gol Mohd Shafik Ab Rahman (minit ke-75) dan Shukor Adan (minit ke-81) memastikan kemenangan tuan rumah.

Di Stadium Selayang, pasukan pelawat, Kedah membelasah Tentera 5-0 untuk melangkah selesa ke peringkat separuh akhir dengan agregat 6-1.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula, Terengganu yang tewas 1-3 pada perlawanan pertama, bangkit untuk menumpaskan T-Team 4-1 untuk kedudukan agregat 5-4 bagi melangkah ke separuh akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain