suria

Australia tawar biasiswa buat jurulatih Malaysia

KUALA LUMPUR: Australia akan menawarkan biasiswa kejurulatihan buat Malaysia apabila kedua-dua negara menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya hujung tahun ini.

Menteri Luar Australia, Stephen Smith berkata, MoU itu akan ditandatangani semasa lawatan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek ke Australia Disember ini.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua negara terutama dalam acara-acara sukan berada di tahap yang baik ketika ini, namun setakat ini tiada MoU khusus untuk menjadikan ia lebih formal.

"Ia perlu dijadikan lebih formal menerusi MoU antara kerajaan supaya kedua-dua negara dapat mengadakan lebih banyak perkongsian dalam bidang-bidang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ringkas sempena lawatannya ke Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Ketua Pengarah Institut Sukan Nasional, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Stephen berkata, terpulang kepada Malaysia untuk menamakan calon yang sesuai dan memilih acara sukan yang perlu diberikan keutamaan.

"Australia terkenal dengan penguasaannya dalam beberapa acara sukan bertaraf dunia seperti hoki, olahraga, renang dan ragbi," katanya.

Beliau berkata, jurulatih Malaysia nanti mungkin boleh ditempatkan di Institut Sukan Australia (AIS) di Canberra.

Berdasarkan laman web AIS, institut seluas 65 hektar yang terletak luar kawasan Bruce, Canberra itu menawarkan bantuan kepada para atlet menerusi jaringan kerja jurulatih di kampus-kampus di Brisbane, the Gold Coast, Sydney, Melbourne, Adelaide dan Perth; menerusi beberapa pusat serantau.

Menurut laman web itu, sehingga kini kira-kira 700 atlet menerima biasiswa dari institut berkenaan setiap tahun.

Stephen yang berada di sini untuk lawatan sehari dijadualkan berlepas pulang ke Australia esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain