suria

Zeti: Pertumbuhan Malaysia Kekal Tidak Terjejas

Dr Zeti Akhtar Aziz.

KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, amat yakin Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan meskipun ketika ini merupakan tempoh yang mencabar.

Bercakap dalam temu bual eksklusif dengan New Straits Times yang diterbitkan pada Jumaat, beliau berkata ekonomi negara kini lebih bersedia untuk pulih daripada sebarang kelemahan yang dicetuskan oleh perkembangan luaran memandangkan sistem kewangannya yang kukuh.

"Dunia kini mengalami ketidaktentuan bagi tempoh lebih daripada setahun.

"Sebenarnya, pembalikan dalam aliran modal bermula pada September 2014 walaupun begitu, kita berkembang antara empat dan lima peratus, ia adalah sesuatu yang menggalakkan memandangkan dagangan dunia adalah perlahan.

"Bank-bank kita masih memberi pinjaman. Aktiviti pemberian pinjaman oleh sistem perbankan tidak terjejas," katanya.

Zeti turut menjelaskan keadaan ekonomi ketika ini jauh lebih baik berbanding situasi semasa krisis kewangan Asia 1998.

Beliau berkata akaun semasa Malaysia pada ketika ini mencatatkan lebihan dengan paras rizab mampu untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh manakala  ketika krisis itu, ia mencatat defisit antara lima peratus dengan paras rizab hanya cukup untuk menampung tiga bulan import tertangguh.

Zeti berkata negara kini memiliki pasaran bon yang lebih berkembang, iaitu  110 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Sebelum ini, ia hanya pada 35 peratus. Ini dapat mempelbagaikan dan mengurangkan kesan ketidaktentuan ke atas sistem kewangan kita," katanya.

Beliau berkata Amerika Syarikat kini telah berada di landasan pemulihan dan sebarang perubahan kadar faedah tidak akan menggagalkan proses pertumbuhannya memandangkan asasnya semakin kukuh, tahap pengangguran yang rendah dan perbelanjaan penggunaan yang tinggi.

"Ia akan menjadi positif untuk kita kerana negara itu merupakan rakan dagangan kedua terbesar kita, bagaimanapun, ini adalah sukar disebabkan persekitaran tidak stabil dalam pasaran kewangan antarabangsa ketika ini," katanya.

eknomi, Dr Zeti Akhtar Aziz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain