suria

Ringgit Terus Kukuh Berbanding Dollar AS Minggu Depan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan momentum kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan sokongan belian berterusan untuk unit tempatan berkenaan, kata peniaga mata wang.

"Kita masih boleh terasa kelembapan dalam mata wang AS. Oleh itu, ringgit patut terus kukuh," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ringgit dijangka didagangkan antara 3.20 hingga 3.26 berbanding dolar US minggu depan dan paras untuk dilihat ialah 3.2160.

Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah utama yang stabil pada 3.0 peratus, tetapi membayangkan ia mungkin perlu mengetatkan dasar monetari tidak lama lagi bagi menangani "ketidakseimbangan kewangan yang terus meningkat'.

Pengumuman terbaharu oleh Bank Pusat itu menyebabkan ringgit meningkat ke paras 3.2275 berbanding dolar US pada jam 5 petang Jumaat lalu.

Unit tempatan itu meningkat hampir paras yang sama pada 10 April, iaitu 3.2215.

Sementara itu, awal minggu ini Rizab Persekutuan AS menunjukkan sokongan berterusan untuk ekonomi negara itu.

Pengerusinya, Janet Yellen mengekalkan pendiriannya yang ekonomi AS memerlukan rangsangan berikutan "kekurangan besar" dalam pasaran buruhnya.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup lebih tinggi pada 3.2250/2280 berbanding 3.2650/2670 Jumaat lalu.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.5849/5894 daripada 2.6062/5082 dan naik berbanding yen kepada 3.1714/1749 daripada 3.1857/1892.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4554/4612 daripada 5.5136/5173 dan ditutup lebih tinggi berbanding euro kepada 4.4585/4639 daripada 4.5259/5290 Jumaat lalu. 


Artikel Lain