Rakyat Malaysia Ketagih Internet?

Diterbitkan: Isnin, 29 September 2014 1:43 PM

Tempoh lama menghadap internet boleh menyebabkan seseorang itu keletihan.

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Rakyat Malaysia menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di alam siber, dengan 58 peratus daripada mereka melayari laman media sosial melalui telefon pintar di mana sahaja mereka berada.


Kajian menunjukkan 41.7 peratus daripada golongan belia berumur 20 hingga 29 tahun dan 16.5 peratus kanak-kanak dan remaja berumur bawah 19 tahun adalah pengguna setia internet dan bilangan mereka terus meningkat setiap hari.

Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Eneng Faridah Iskandar khuatir kecenderungan itu boleh menjadi suatu ketagihan dan mengundang masalah kesihatan mental, yang antaranya tekanan emosi, keresahan dan kemurungan.

"Kecenderungan boleh menjadi ketagihan, kalau lebih daripada tujuh jam sehari ia dikatakan ketagihan serius. Jadi kita perlu pantau anak supaya mereka tidak ketagih.

"Cara kita nak tahu ketagihan ialah apabila tiada Internet, apa reaksi mereka? Adakah mereka mengalami tekanan perasaan, keresahan dan kemurungan atau tidak dapat menumpu perhatian terhadap pelajaran", katanya dalam temubual bersama Bernama.

BAHAYA PENGGUNAAN BERLEBIHAN INTERNET

Penggunaan internet yang berlebihan juga boleh menyebabkan keletihan yang menjejaskan kesihatan termasuk masalah mata dan jantung serta menyumbang kepada obesiti dan kegemukan sejak kanak-kanak kecil lagi.

Bahkan, beberapa insiden buruk disebabkan ketagihan serius internet turut dilaporkan di negara dan serata dunia. Antaranya, kematian seorang pemuda berusia 23 tahun di Pulau Pinang dipercayai akibat bermain permainan komputer tanpa henti selama 15 jam pada akhir tahun lepas.

Begitu juga, seorang pemuda berusia 30 tahun dilaporkan meninggal dunia di China akibat bermain permainan komputer dalam talian selama tiga hari tanpa henti di sebuah kafe siber di pinggir bandar Beijing.

Pemuda itu dilaporkan duduk di depan komputer selama tiga hari tanpa makan, minum dan tidur.

"Jadi internet dan pelbagai peranti telah menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi kini sehingga ada yang tidak dapat bezakan dunia nyata dan dunia siber kerana ia saling melengkapi", katanya.

Seiring dengan lambakan pelbagai gajet canggih dalam pasaran seperti telefon pintar, iphone, ipad, laptop, tablet, tab serta kemampuan kuasa beli orang ramai, bilangan pengguna internet juga dijangka terus meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18.6 juta pada 2012.

Jelas Eneng Faridah, setiap maklumat yang dikongsi termasuk kandungan palsu dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter bukan sahaja merentasi sempadan negara, bahkan akan kekal dalam arkib selama-lamanya.

Ia memberi kesan mendalam terhadap individu dan keluarga terbabit selain mengganggu ketenteraman awam dan negara.

"Kebanyakan pengguna tidak faham tentang etika ataupun akibat daripada tindak-tanduk mereka di alam maya. Tindak-tanduk mereka tersebar tanpa sempadan, di luar batas undang-undang dan kedaulatan sesebuah negara", tegasnya.

Menurut beliau, laman sosial seperti Facebook dan Twitter adalah status dan bukan diari untuk meluahkan perasaan atau mencetuskan suasana panik, sekaligus mencari populariti murahan.

Orang ramai juga mempunyai tanggapan salah bahawa segala dalam Internet adalah di bawah kawal selia SKMM dan perilaku salah di alam siber boleh dimaafkan.

MENDIDIK GENERASI MUDA

"Mustahil, kerana kita perlukan tenaga manusia yang banyak untuk memantau di tahap sedemikian. Namun, sesuatu yang salah di sisi undang-undang di alam nyata juga salah di alam siber", tambah beliau.

Jelasnya, walaupun sebagai badan pengawal selia, SKMM tidak mempunyai daftar pengguna internet, senarai e-mail dan nombor telefon bimbit, senarai akaun Facebook, Twitter, dan blogger di negara ini dan hanya merujuk kepada pemberi perkhidmatan seperti syarikat-syarikat telekomunikasi apabila membuat siasatan terhadap sesuatu kes.

Justeru kerjasama orang ramai amat penting ketika menjalankan sesuatu siasatan dan dalam menyalurkan maklumat benar dan tepat.

Eneng Faridah juga menolak cadangan sesetengah pihak yang mahukan Facebook disekat seperti yang dilaksanakan di beberapa negara seperti China, Cuba, Korea Utara dan Iran.

"Ia bukan satu tindakan berkesan untuk mengawal kandungan, kerana Facebook boleh diganti dengan saluran lain untuk menyebarkan maklumat.

"Lagipun penyalahgunaan internet belum mencapai tahap genting sehingga memerlukan satu tindakan radikal. Namun kami tekankan bahawa kuasa mengawal internet termasuk Facebook, terletak di jari pengguna sendiri", katanya.

Pada 2012 kerajaan memperkenalkan program Klik Dengan Bijak (KDB) bagi membudayakan nilai-nilai murni pengguna internet merangkumi semua lapisan umur di negara ini.

Sehingga kini SKMM telah menjalankan lebih 1,500 program KDB di seluruh negara dan lebih 3,200 program latihan di 426 Pusat Internet 1Malaysia bagi mendidik generasi digital demi kepentingan semua.

KDB dianggap penting kerana golangan muda khasnya dikatakan kurang pengetahuan dalam isu penyalahgunaan Internet terutama mengenai penipuan "phishing", "malware", kecurian kata laluan atau identiti, buli siber atau kesalahan jenayah Internet.

Tags / Kata Kunci: SKMM , internet , Pusat Internet 1Malaysia

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan