suria

Menangani penyakit tidur

MICHAEL Chiew, 48, selalu berasa mengantuk walaupun pada siang hari, begitu juga ketika memandu.

"Saya terpaksa berhenti di stesen minyak terdekat untuk membeli ais krim. Rasa enak aiskrim yang sejuk itu membantu saya mengatasi rasa mengantuk," kata beliau.

Michael yang mengalami obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes berkata: "Memikirkan dengan makan boleh membantu saya berasa segar dan tidak mengantuk, saya mula makan berlebihan semasa siang hari".

Walaupun sedar yang beliau ada masalah tetapi beliau tidak tahu apa dia sebenarnya.

"Saya ada berjumpa dengan seorang pengamal perubatan kerana masalah tekanan darah tinggi dan diabetes, tetapi beliau tidak pernah bertanyakan corak tidur saya.

Kemudian seorang pakar ENT mengesyaki yang saya mengalami penyakit tidur dan mengesyorkan saya mengambil ubat tidur," kata beliau.

PENYAKIT TIDUR

Memandangkan beliau tidak mahu bergantung kepada ubat, Michael mendapatkan rawatan bagi penyakit tidur yang dialaminya. Sejak tiga bulan yang lepas beliau menggunakan 'sleeping mask' atau penutup mata yang membolehkannya tidur dengan lebih baik.

"Tekanan darah saya kini terkawal dan paras gula saya juga berkurangan," katanya.

Bagaimanapun, Michael berkata beliau terpaksa mencuba beberapa jenis penutup mata sehingga menemui satu yang sesuai untuk dirinya.

"Kos penutup mata ini mahal, lagi pun pilihannya terhad dalam pasaran," kata beliau.

Masalah yang dihadapi oleh Michael dikenali sebagai Obstructive Sleep Apnea (OSA), satu masalah kesihatan yang sering kali tidak mendapat perhatian dan didiagnos.

Mereka yang mempunyai masalah OSA berhenti bernafas berulang kali semasa tidur, oleh kerana bahagian atas saluran udara tersekat disebabkan oleh faktor seperti lidah yang besar, tisu berlebihan atau otot yang membuka saluran udara tidak lagi kuat. Antara simptom penyakit tidur ialah dengkuran yang kuat, tercungap-cungap atau berasa lemas semasa tidur dan selain rasa mengantuk keterlaluan pada siang hari.

Tanda-tanda lain mungkin termasuk pening kepala di sebelah pagi, hilang ingatan sementara atau kesukaran untuk belajar, terasa jengkel, sukar untuk menumpukan pada kerja, perubahan mood dengan mendadak atau perubahan personaliti.

GAYA HIDUP MANUSIA

Dalam satu perbincangan meja bulat yang dianjurkan oleh Philips Industry di sini barubaru ini, pakar-pakar mengenai masalah penyakit tidur membincangkan faktor serta punca yang menyebabkan kurang tidur dan implikasinya terhadap kesihatan dan ekonomi.

Mereka juga mengutarakan cadangan dan perkara yang boleh dipertimbang pada masa depan mengenai bagaimana untuk mengatasi masalah ini.

Antara anggota panel ialah Naib Presiden Philips Respironics Asia Pacific Peter White, Presiden Pertubuhan Penyakit Tidur Malaysia (SDSM) Profesor Dr S.Hassan Ahmad Almashoor dan pakar bedah ENT Dr Anthony Gilbert.

Mereka turut disertai oleh Pakar Perunding Pusat Perubatan UKM Profesor Madya Dr Saperi Sulong, doktor pakar daripada Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur Dr Ashaari Yunus dan pengamal perubatan Ayurveda Dr C.D. Siby.

Perbincangan ini dipengerusikan oleh Naib Presiden Kanan dan CEO Philips Asia, Wayne Spittle.

Peter White berkata penyakit tidur merupakan masalah yang sangat serius kerana ia boleh menyumbang kepada masalah lain seperti tekanan darah tinggi, strok dan diabetes.

Masalah ini diburukkan lagi oleh perubahan ketara dalam gaya hidup sejak 100 tahun yang lepas.

"Kita kini hidup dalam masyarakat yang berjaga 24 jam. Kita tidur lewat kerana adanya lampu elektrik, televisyen dan internet untuk menghiburkan kita. Lebih banyak pekerjaan juga kini dilakukan pada sebelah malam, seperti penghantaran bungkusan dan pusat panggilan yang beroperasi 24 jam," katanya.

LEBIH RAMAI RAKYAT MALAYSIA MENGALAMI MASALAH TIDUR

Dr Ashaari Yunus telah membantu pesakit dengan masalah penyakit tidur sejak lima tahun yang lepas dan menyaksikan peningkatan dalam bilangan pesakit dengan masalah itu.

Beliau menarik perhatian bahawa ramai pesakit ini adalah dari kalangan pegawai kerajaan dan pensyarah universiti.

Dr Ashaari menjelaskan ada di antara mereka yang berasa mereka tidur nyenyak tetapi apa sebenarnya yang berlaku ialah otak mereka masih dalam keadaan sedar walaupun pada lewat malam.

"Mereka bangun dengan rasa letih, dan lebih cenderung untuk tidur semasa siang hari," kata beliau.

Dr Ashaari turut menyatakan kebimbangan beliau bahawa banyak daripada kemalangan jalan raya di negara ini mungkin berkaitan dengan masalah tidur.

"Kajian perlu dilakukan khasnya terhadap pemandu bas dan lori," kata beliau.

Bagaimanapun, Ashaari yakin bahawa masalah penyakit tidur ini dapat diuruskan dengan lebih baik di tahuntahun akan datang kerana kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan makmal tidur di setiap hospital utama.

MENINGKATKAN KESEDARAN

Sementara itu, Presiden SDSM Prof Dr Hassan berkata pertubuhan beliau berminat dalam meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih banyak penyelidikan dalam bidang ini.

"Kami sedang meninjau kesan 'sleep apnea' terhadap masyarakat, bagaimana ia boleh dicegah dan bagaimana untuk mengatasi masalah ini," kata beliau.

Prof Dr Hassan berkata bentuk badan pesakit sleep apnea lazimnya besar dengan muka mereka berbentuk bulat dan mereka juga mengalami obesiti.

Beliau menambah kata perlu ada lebih banyak pra-kursus dan seminar untuk mewujudkan kesedaran, bukan sahaja dalam kalangan umum tetapi juga para doktor.

"Kami juga akan mendapatkan maklumat balas daripada orang ramai menerusi emel dan lamanlaman web," kata beliau.

Bagaimanapun, menurut pakar bedah ENT Dr Anthony Gilbert program kesedaran ini hanya sia-sia sahaja jika bilangan pakar tidak mencukupi selain kemudahan yang cukup untuk menampung kes sleep apnea.

"Negara perlu mengeluarkan lebih ramai pakar dalam bidang ini dan lebih banyak kemudahan penyelidikan terhadap tidur perlu dibangunkan," katanya.

MASALAH KESIHATAN

Sementara itu, Profesor Madya Dr Saperi Sulong menekankan bahawa masalah utama di Malaysia ialah penyakit iniu masih belum diiktiraf sebagai masalah kesihatan.

"Kajian mengenai bagaimana penyakit tidur boleh menyebabkan beban kepada ekonomi perlu dilakukan untuk meminta kerajaan dan syarikatsyarikat insurans mengiktiraf masalah ini," kata beliau.

Menyokong hujah ini, Dr Anthony menjelaskan bahawa rawatan bagi penyakit tidur bukan murah dan pesakit daripada kumpulan berpendapatan rendah memerlukan bantuan kewangan, terutama daripada syarikat insurans atau kerajaan.

"Di Malaysia masalah penyakit tidur dianggap sebagai masalah sikap. Para pekerja ditegur oleh majikan kerana tidur semasa waktu kerja dan kanak-kanak sekolah ditegur kerana mengantuk di dalam bilik darjah oleh guru dan ibu bapa mereka. Jika tiada perhatian serius diberikan terhadap isu ini oleh pihak yang berkenaan, masalah ini akan berterusan," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain