Teks Ucapan Penuh Menteri Pengajian Tinggi Pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian 2010

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERIKUT adalah Teks Ucapan Penuh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian 2010 Di MAEPs, Serdang Pada Selasa, 14 Jun 2011.

Assalamualaikum wrt. wbt, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Pertamanya, sukalah saya melahirkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama berkumpul dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 pada pagi yang berbahagia ini. Terlebih dahulu, setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi kerana telah sudi mengundang saya untuk menyampaikan ucapan sekaligus menyempurnakan penyampaian anugerah kepada kakitangan-kakitangan kita yang bertuah pada hari ini.

2. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan seluruh jawatankuasa yang terlibat di atas penganjuran majlis pada pagi ini.

3. Pada tahun ini, saya difahamkan seramai 1,083 orang pegawai Kementerian Pengajian Tinggi dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan telah terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kerana telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2010. Daripada jumlah tersebut, seramai 107 orang adalah pegawai di peringkat Ibu Pejabat Kementerian Pengajian Tinggi, 711 orang pegawai politeknik serta bakinya 265 orang pegawai dari kolej komuniti seluruh negara.

4. Syabas dan tahniah kepada penerima-penerima APC tahun 2010. Sesungguhnya majlis ini diadakan khas untuk mengiktiraf sumbangan dan jasa bakti tuan-tuan dan puan-puan yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang boleh menjadi contoh kepada semua warga Kementerian Pengajian Tinggi yang lain. Saya juga percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah berkhidmat dengan penuh cemerlang dan mampu menjadi role-model yang berupaya menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sekerja yang lain untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

SISTEM PENYAMPAIAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

5. Dalam konteks negara kita Malaysia, sektor pengajian tinggi berperanan sebagai pemain dan penyumbang utama yang menggerakkan transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan menggalas tanggungjawab yang besar melalui pengeluaran modal insan berkualiti serta peningkatan ilmu pengetahuan serta inovasi negara bagi menyokong Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe 10) dan Model Baharu Ekonomi (MBE).

6. Bagi merealisasikan peranan utama dan kritikal ini, kementerian telah memperkenalkan beberapa dasar mahupun pelan yang bertujuan mentransformasikan pengajian tinggi negara dan ia termasuk Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan terbaharu, Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovasi. Bagi menjayakan pelaksanaan pelan-pelan tersebut, kita memerlukan sistem penyampaian yang proaktif dan dinamik iaitu kementerian seharusnya bertindak sebagai PEMUDAH CARA ATAU FASILITATOR (BUKAN REGULATOR) dengan menampilkan perkhidmatan yang berkualiti, cekap berkesan dan efisien serta memenuhi kehendak pelanggan dan pemegang taruh melalui aspek tadbir urus yang baik, budaya kerja cemerlang, sumber kewangan yang mencukupi, sumber manusia yang kompeten dan infrastruktur yang lengkap.

7. Pelan Tindakan Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang kita lancarkan minggu lalu turut tidak menolak kepentingan sistem penyampaian kementerian yang berkualiti dan kukuh selari dengan tuntutan semasa. Saya difahamkan, beberapa strategi telah dikenalpasti bagi membangunkan sistem penyampaian kementerian yang berkesan khususnya dalam tempoh lima tahun ini dan ia termasuklah:

(i). Meningkatkan amalan tadbir urus terbaik pada semua peringkat;

(ii). Menambah nilai dan mambina upaya kapasiti sumber manusia melalui pengayaan ilmu dan pengalaman;

(iii). Menerapkan nilai integriti dan pembudayaan inovasi di kalangan warga kementerian;

(iv). Meningkatkan penggunaan ICT secara meluas dengan penambahbaikan terhadap akses dan infrastruktur;

(v). Menambahbaik keberkesanan pengurusan sumber kewangan secara optimum dan seimbang dan

(vi). Memberi fokus kepada infrastruktur bukan fizikal atau pembangunan intelektual berbanding fizikal dengan tumpuan penekanan kepada keberhasilan (outcome).

FAKTOR HUMAN TOUCH ATAU SENTUHAN INSAN DALAM SISTEM PENYAMPAIAN

8. Sebuah kementerian kerap kali dinilai dari sudut kualiti sistem penyampaian perkhidmatannya. Dalam dunia teknologi yang serba canggih, sistem penyampaian ini amat didukung oleh faktor penggunaan ICT yang meluas. Dalam era digital kini, adalah amat mudah bagi sebuah kementerian seperti KPT membangunkan laman sesawang, blog, facebook dan lain-lain untuk membolehkan warganya mendapatkan maklumat terkini berkaitan prosedur pentadbiran dan aktiviti lainnya.

9. Tidak dinafikan, media komunikasi dan interaksi ini adalah saluran penyampaian dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan berasaskan internet kepada semua pelanggan. Ini dilihat penting dalam usaha kementerian meningkatkan kecekapan pengurusan serta menjamin pertanggungjawapan awam pada tahap yang tinggi. Umum bersetuju bahawa ia adalah suatu yang baik, meningkatkan keberkesanan lagi memudahkan urusan antara KPT dengan warga serta pelanggannya.

10. Walau bagaimanapun, era digital ini telah menjadikan sistem penyampaian ini bersifat mekanistik, terlalu tinggi pergantungannya kepada mesin dan amat impersonal sifatnya. Saya tidak menafikan kadang kala bahasa emel mahupun sistem automatic reply dalam sistem pengurusan kementerian umpamanya boleh menimbulkan salah faham, kekeliruan dan sebagainya.

11. Justeru itu, kita perlu berusaha untuk mengurangkan krisis komunikasi melalui teknologi yang tidak boleh memperlihatkan reaksi dan sensitiviti di kalangan yang memberi dan yang menerima perkhidmatan. Malah, kita perlu mengembalikan elemen HUMAN TOUCH ATAU SENTUHAN INSAN dalam sistem penyampaian perkhidmatan kementerian dan dari masa ke semasa, sistem penyampaian perkhidmatan ini perlu ada interaksi manusia pada tahap-tahap tertentu.

12. Persoalannya, bagaimanakah caranya KPT boleh membangunkan sistem penyampaian yang bukan sahaja efisen malah mesra tetapi tidak kurang aspek human touch nya? Saya percaya persoalan ini perlu diambil kira dan diberi fokus utama oleh kita kerana sistem penyampaian ini amat penting malah menjadi salah satu daripada Projek Agenda Kritikal atau CAP dalam PSPTN yang membantu ke arah kejayaan transformasi pengajian tinggi di negara.

MELAHIRKAN PEKERJA BESTARI UNTUK MENGUASAI EKOSISTEM PENGAJIAN TINGGI

13. Sebagai sebuah kementerian yang berteraskan dunia akademia, adalah amat perlu agar setiap warga KPT mendukung perubahan positif dengan mengurus pekerja berilmu, membangunkan budaya bekerja secara berkumpulan, berintegriti, berupaya mengurus bakat dan kepemimpinan bertransformasi. Dalam merealisasikan hasrat kerajaan ini, adalah amat perlu untuk menguruskan perbelanjaan secara berhemah (value for money) dan peruntukan yang diberikan perlu diurus secara bijak, telus dan sebaik mungkin agar seiring dengan dasar kerajaan masa kini yang mementingkan pengurusan nilai (value management). Kaedah pengurusan nilai kini menjadi alat pengurusan (management tools) bagi mendapatkan pulangan optimum dan langkah penjimatan terutama melibatkan pengurusan projek berimpak tinggi dengan kos yang munasabah serta memberi manfaat yang besar.

14. Selain itu, kita harus mengakui bahawa usaha untuk melonjakkan peranan kritikal Kementerian Pengajian Tinggi dalam mentransformasikan negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan dasar atau pelan strategik semata-mata. Sebaliknya, ia turut didasari oleh faktor modal insan yang berkualiti dalam sektor pengajian tinggi itu sendiri yang bukan hanya melibatkan pihak universiti semata-mata, tetapi Pegawai Tadbir Diplomatik atau PTD di kementerian. Hari ini, tahap hubungan antara pegawai kementerian dan pihak universiti masih perlu diperkukuhkan apatah lagi masing-masing mendapat latihan, kemahiran dan penguasaan yang berbeza.

15. Sehubungan dengan itu, SAYA MENCADANGKAN supaya semua pegawai kementerian yang kebanyakannya dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatiik (PTD) dan juga Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (DH), mengikuti program-program in–house di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Misalnya, kita boleh mencadangkan agar latihan yang perlu dihadiri selama tujuh hari setahun mengambil kira kehadiran tiga atau empat hari program di Universiti.

16. Saya percaya usaha murni ini dapat menjana mereka sebagai PEKERJA BESTARI (KNOWLEDGE WORKERS) yang bersikap terbuka, berinovasi dan kreatif dalam membantu menyelaraskan pembangunan universiti dengan tepat. Lebih penting, ia akan membolehkan setiap pekerja dan pegawai di kementerian mempunyai jiwa atau roh yang sama dengan jiwa dan roh universiti. Apatah lagi, setiap detik dan ketika, pembangunan IPT sentiasa bergerak pantas dan pastinya dalam hal ini, banyak pembaharuan dan trend yang berlaku yang memerlukan keupayaan pegawai-pegawai kementerian memahami perkembangan ini dengan sebaik mungkin. Pendek kata, cadangan ini adalah satu keperluan mendesak yang harus dilaksanakan segera kerana persefahaman dan kefahaman akan membolehkan sesuatu keputusan melibatkan kepentingan dan pembangunan universiti dibuat dengan mesra dan tepat.

PENUTUP

17. Tidak dinafikan, kejayaan kita untuk mentransformasikan pengajian tinggi terletak kepada sejauhmanakah kita mampu memperkukuhkan tahap keupayaan modal insan dalam sektor pengajian tinggi yang berkualiti, efisien dan efektif. Modal insan yang berkualiti inilah yang akan menggerakkan semua perancangan kita termasuk Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang kini telah memasuki fasa keduanya. Sistem penyampaian KPT juga hendaklah dipertingkatkan keupayaannya.

18. Peranan pemudahcaraan KPT mesti dilonjakkan supaya ia menyumbang kepada keberkesanan terhadap semua pelaksanaan projek-projek dan inisiatif dalam PSPTN khususnya dalam konteks ketertampakan (visibility) dan imej korporat KPT secara keseluruhannya.

19. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada 1083 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2010. Tuan-tuan dan puan-puan telah mempamerkan prestasi kerja dan komitemen yang cemerlang sehingga melayakkan tuan-tuan dan puan-puan dicalonkan dan seterusnya dipilih untuk anugerah masing-masing. Semoga komitmen cemerlang yang diberikan ini menjadi contoh ikutan dan pengaruh positif ke arah kecemerlangan KPT secara keseluruhan.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan