UniMAP Lantik Qobin Sebagai Duta Sukan

Diterbitkan: Jumaat, 15 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga, kiri) yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan menyerahkan sepanduk
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga, kiri) yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan menyerahkan sepanduk "Duta Sukan UniMAP" kepada Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (kanan) pada Majlis Anugerah Seri Gemilang di Dewan 2020 dekat Kangar, malam Khamis. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (empat, kanan) selaku Pro-Canselor UniMAP. Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin (kiri). Muqharabbin dilantik sebagai Duta Sukan UniMAP dan akan membawa bendera UniMAP dalam setiap penjelajahan yang bakal beliau lakukan di masa akan datang. - Foto BERNAMA

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melantik aktivis sukan dan pendaki Gunung Everest, Muhamad Muqharabbin Mohktaruddin sebagai duta sukan universiti itu.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata hari ini, pengalaman meluas beliau dalam bidang pendakian dan renangan sehingga mengharumkan nama di persada antarabangsa menjadi sebab utama beliau dipilih sebagai duta sukan itu.

Beliau berkata, adalah menjadi hasrat UniMAP menyerlah di pentas antarabangsa dan berharap dengan pelantikan Muhamad Muqharabbin atau Qobin Mokhtar sebagai duta akan membantu universiti itu lebih menyerlah dalam arena sukan dan pendakian.

"Melalui pelantikan Qobin itu akan membantu UniMAP mengadakan program motivasi serta program-program pendakian di beberapa gunung di Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, sebagai seorang duta sukan, Qobin yang turut berpengalaman mendaki Everest akan membantu UniMAP dalam pendakian gunung tertinggi itu sekurang-kurangnya ke "base camp" selewat-lewatnya pada tahun depan.

Sebelum ini, UniMAP telah memiliki ikon sukan antaranya, atlet olahraga, Nazmizan Muhammad dan Mohd Robani Hasan, atlet takraw, Mohd Azman Nasrudin dan atlet bola sepak, Jurad Chamrong.

Sementara itu, Qobin yang pernah menawan Puncak Kalapattar, Nepal pada tahun 2002 akan mengadakan Ekspedisi Perpaduan Renang Selat Inggeris selepas beliau menamatkan misi 7 Puncak, 7 Benua, 7 Nilai.

Katanya, ekspedisi itu akan memilih 14 perenang daripada pelbagai bangsa di Malaysia di kalangan mahasiswa sejajar dengan konsep 1Malaysia.

"Mereka akan berenang berganti-ganti sejauh 40 kilometer merentasi Selat Inggeris yang merupakan selat tersejuk di dunia," katanya yang akan mengadakan pemilihan pada September tahun depan.

Menurutnya, sebelum memulakan ekspedisi itu, para peserta akan diberi latihan di negeri masing-masing dengan bantuan jurulatih yang berpengalaman.

Qobin berkata, setiap jurulatih akan dibayar elaun dan dana dikeluarkan kepada peserta bersama bantuan kapal ketika ekspedisi bermula di Selat Inggeris nanti.

Beliau berkata, peserta ekspedisi itu bakal berhadapan dengan suhu antara 2 hingga 6 darjah Celsius dan peserta berkemungkinan akan berhadapan dengan situasi laut bergelora ketika menghadapi cabaran ekspedisi itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan