suria

Jerman, Sri Lanka sahkan jangkitan pertama koronavirus

Pelancong China memakai topeng ketika menaiki tren di Colombo, Sri Lanka. -foto EPA

PIHAK berkuasa kesihatan Sri Lanka mengesahkan negara itu mencatatkan kes pertama jangkitan virus dari China.

Pesakit berkenaan adalah seorang wanita Cina berusia 40-an yang tiba di Sri Lanka minggu lalu dari wilayah Hubei, China, sebagai pelancong, kata Ketua Epidemiologi Kementerian Kesihatan Sri Lanka, Dr Sudath Samaraweera.

Wanita itu mengalami demam dan dimasukkan ke Hospital Penyakit Berjangkit negara itu, sebuah kemudahan yang dikendalikan oleh kerajaan bagi merawat mereka yang terkena jangkitan dan boleh membawa maut, pada Sabtu, memetik SCMP.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi pertama usia 9 bulan sah dijangkiti koronavirus, Datuk Bandar dedah 5 juta telah tinggalkan Wuhan

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar kesihatan beri amaran koronavirus sudah ‘mendarat’ di UK

Sri Lanka menjadi destinasi pelancongan utama bagi pelancong China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ramai warga China juga terlibat dengan projek infrastruktur yang dibiayai oleh negara mereka termasuk pelabuhan, bandar pelabuhan dan lebuh raya.

Sementara itu kes pertama koronavirus juga telah disahkan di Jerman, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan lewat Isnin.

Pesakit berkenaan adalah seorang lelaki dari kawasan Starnberg, Bavaria, kira-kira 30km barat daya Munich.

Virus baharu itu yang berasal dari pusat bandar Wuhan, telah membunuh seramai 82 orang di China.

Majalah Der Spiegel pada Isnin melaporkan bahawa Jerman sedang berusaha membawa pulang 90 warganegara mereka yang tinggal di kawasan Wuhan, menyertai Perancis, Portugal, Sepanyol, Britain dan AS, yang mempunyai pelbagai rancangan untuk memindahkan kakitangan dan warganegara mereka.

Majalah tersebut melaporkan bahawa Berlin sedang berbincang dengan Beijing mengenai sama ada mereka boleh menggunakan pesawat tentera untuk melaksanakan pemindahan. - SCMP

koronavirus, Eropah, virus

Artikel Lain