PADA usia 104 tahun, jurugambar terkenal Jepun iaitu Tsuneko Sasamoto masih lincah dan aktif merakamkan imej menakjubkan walaupun sudah meninggalkan kerjaya yang diceburi selama hampir lapan dekad. Mendapat jolokan sebagai wartawan dan jurugambar wanita pertama di negara matahari terbit itu, Tsuneko memulakan kariernya pada usia 25 tahun dan sejak itu beliau tidak pernah berhasrat meninggalkan minatnya ini. ARTIKEL BERKAITAN: Pengetua pencen tiba-tiba popular selepas jadi bahan 'eksperimen' cucu Sepanjang kariernya juga, Tsuneko telah merakamkan banyak peristiwa bersejarah negara itu sejak lebih 70 tahun lalu termasuk pra dan pasca peperangan di Jepun. Tsuneko mengadakan pameran foto ketika usianya mencecah 100 tahun. Gambar-gambar yang dirakamkannya menjadi bukti penting dalam peralihan dramatik negara itu dari rejim totalitarian kepada kuasa besar ekonomi dunia. Sehingga kini Tsuneko masih obses terhadap kamera malah, lapan tahun lalu pada usia 97 tahun, beliau melancarkan sebuah buku bergambar berjudul Centenarian's Finder hasil koleksi imej yang pernah dirakam sepanjang kariernya. Pada sambutan 100 tahun hari jadinya, Tsuneko mengadakan sebuah pameran yang menampilkan koleksi imej terbaik daripada buku tersebut untuk tatapan pencinta dunia fotografi. Tsuneko berkongsi ilmu dengan generasi muda. Tidak terhenti di situ, kini Tsuneko sedang mengusahakan projek terbaharunya Hana Akari atau Flower Glow yang dihasilkan sebagai penghormatan buat sahabat baiknya yang meninggal dunia. Menyiapkan projek itu juga tidak mudah, Tsuneko berhadapan situasi cemas apabila tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya patah disebabkan faktor usianya. Namun Tsuneko tahu dia tidak boleh menyerah kalah malah gigih menjalani fisioterapi tiga kali seminggu bagi memastikan kesihatannya kembali pulih untuk meneruskan projek itu. Wanita besi ini memulakan kariernya ketika berusia 25 tahun. "Jangan jadi seorang pemalas. Adalah sangat penting untuk kekal positif terhadap kehidupan anda dan jangan pernah berputus asa! "Anda kena sentiasa bergerak ke hadapan kerana dengan cara itu anda boleh maju. Itu yang saya mahu orang tahu," katanya dalam satu temu bual. - JAPAN TIMES Gambar ahli politik Inejiro Asanuma yang dirakam pada 1955. Tsuneko juga pernah merakamkan aktiviti di sekolah Geisha pada 1951. Keadaan sebuah bangunan yang dirakamkan Tsuneko selepas terkena bom di Hiroshima pada 1953.