suria

Awas Kekuatan Mental Pemain Kelantan!

PETALING JAYA: Kekalahan demi kekalahan yang dialami Kelantan dalam empat perlawanan terdahulu mungkin memberi kelebihan kepada Felda United untuk melakar kejutan di Kota Bharu dalam pertemuan Liga Super pada Sabtu malam.

Apatah lagi rentak cemerlang anak buah B. Sathianathan dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia dengan melakar tiga kemenangan berturut-turut pasti menjadi suntikan semangat buat The Fighters mencatat kemenangan keempat dan mencari ruang untuk memintas Pahang di tempat ketiga.

Namun sebagai bekas pengendali Kelantan, Sathianathan tidak mahu pasukannya leka dan perlu waspada dengan keupayaan mental pemain Kelantan yang boleh berubah sekelip mata.

Sathianathan berkata, skuadnya perlu berhati-hati dengan kebangkitan pasukan Kelantan di saat akhir saingan Liga Super biarpun skuad The Red Wariors terpalit dengan beberapa masalah dalaman dan luaran.

"Saya kenal lama dengan pasukan ini. Jika Tan Sri Annuar Musa (penasihat The Red Warriors) meluangkan masa dengan pemain, saya percaya sesuatu perubahan akan berlaku dalam permainan.

"Semangat pemain agak lain apabila mendengar kata-kata semangat daripada Tan Sri. Jadi pada perlawanan esok (Sabtu) kami akan pastikan akan lebih berwaspada. Dan saya harap ianya tidak terjadi.

"Kadang-kala kita tidak boleh jangka apa yang akan ditunjukkan (lawan) dalam permainan, malah tidak boleh mengambil kira prestasi (mereka) sebelum ini," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.


Dengan baki empat perlawanan Liga Super, The Fighters pastinya mahu menambah rekod kemenangan seperti tiga perlawanan akhir sebelum ini.

Mengenai prestasi semasa skuadnya, Sathia mengakui anak buahnya agak keletihan kerana jadual perlawanan yang agak padat.

"Faktor kepenatan itu yang kemungkinan mencacatkan permainan nanti. Pun begitu, saya yakin pemain tidak akan mensia-sia peluang di Kota Bharu.

"Manakala dari segi barisan pemain, Wan Zack Haikal kembali pulih dan sedia bermain," jelas Sathia.

Felda United kini berada di tangga keempat liga dengan mengumpul 29 mata dalam 18 perlawanan, hanya ketinggalan satu mata di belakang Pahang (30 mata).

Sementara itu, Kelantan hanya satu tangga untuk berada di zon penyingkiran dengan berkongsi 14 mata bersama Sarawak, dan kekalahan pada Sabtu malam bakal menyaksikan kelab itu berdepan masalah besar untuk kekal di Liga Super pada musim depan.

B. Sathianathan

Artikel Sebelum

Luahan Hati Neymar

Artikel Berikut

Artikel Lain