suria

Ronaldo Buang Mikorofon Wartawan Dalam Tasik

LYON (Perancis): Satu rakaman video menunjukkan pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo menghentikan satu temu bual spontan secara tiba-tiba dengan membuang mikrofon wartawan ke dalam tasik, Rabu, telah tersebar.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum bermulanya perlawanan Euro 2016 peringkat Kumpulan F antara Portugal dan Hungary di Lyon.

Klip video 21 saat itu menunjukkan Ronaldo, dikelilingi oleh pengawal keselamatan, sedang berjalan di sebuah tasik dengan rakan sepasukannya.

Apabila wartawan dari Portugal CMTV menghampirinya untuk bertanyakan tentang persediaannya, Ronaldo merampas mikrofon itu dan mencampakkannya ke dalam tasik.

Pemain Real Madrid berusia 31 tahun itu dilihat tertekan selepas enggan berjabat tangan dengan pemain Iceland berikutan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan dan terlepas penalti dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan yang menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan dengan Austria.

Jose Delgado, wartawan akhbar harian Portugal, A Bola, memberitahu Reuters bahawa Ronaldo kecewa dengan persembahannya yang lemah.

"Beberapa jam sebelum perlawanan sentiasa sukar untuk pemain dan saya tidak fikir ia satu idea yang baik untuk mereka bergaul dengan wartawan kerana perkara-perkara seperti ini boleh berlaku," katanya.

"Ronaldo berasa cemas sejak beberapa hari lalu kerana dia tidak bermain dengan baik dalam dua perlawanan pembukaan. Mari kita lihat apa yang boleh dilakukannya terhadap Hungary dan jika dia boleh menjadi seperti tahap biasa."
Euro 2016, Ronaldo

Artikel Lain