suria

Piala AFC: JDT Jumpa Semula South China Di Suku Akhir

PETALING JAYA: Juara bertahan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Johor Darul Ta'zim (JDT) menempah laluan mudah apabila diundi bertemu pasukan South China dari Hong Kong pada aksi suku akhir, 13 September ini.

Undian yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini pada petang Khamis menyaksikan ulangan semula pertembungan kedua-dua pasukan dalam kelompok lapan pasukan terbaik itu  tahun lalu.

Pasukan JDT terlebih dahulu akan berkunjung ke gelangang lawan di Tseung Kwan O Sports Ground pada perlawanan suku akhir pertama, 13 September ini.

Selepas itu, pasukan JDT akan melayan kunjungan South China di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baru pada aksi timbal balik, 20 September ini.

Juara pada pertembungan itu akan bertemu sama ada pasukan Tampines Rovers dari Singapura atau JSW Bengaluru FC (India) pada saingan separuh akhir.

Pertembungan kali ini agak menarik apabila mempertemukan semula ketua jurulatih JDT, Mario Gomez dengan bekas pasukan yang pernah dibimbingnya pada 2014 dan 2015.

Pasukan JDT menempah tiket pusingan kalah mati Kumpulan H selepas mempertahankan rekod tanpa kalah peringkat kumpulan sebelum membelasah Kaya FC 7-2 pada kelompok 16 pasukan terbaik, 25 Mei lalu.

Pada persaingan tahun lalu, JDT menundukkan South China dengan agregat kemenangan 4-2 selepas terikat 1-1 pada perlawanan suku akhir pertama di  gelanggang sendiri.

Pasukan Harimau Selatan itu menempah laluan mudah ke final kejohanan tersebut tahun lalu  bertemu FC Istiklol selepas kelab dari Kuwait, Qadsia SC tidak layak beraksi di separuh akhir kedua.

Keputusan itu diambil susulan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menggantung Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) berkuat kuasa serta merta sekali gus menyaksikan semua pasukan dari negara itu termasuk Qadsia SC tidak dibenarkan bermain di kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, pasukan South China mara ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan G dengan merekodkan tiga kemenangan dan kalah tiga perlawanan sebelum menundukkan Ceres 1-0 pada aksi penentuan.

Dalam pada itu, undian suku akhir lain turut menyaksikan pertembungan antara JSW Bengaluru FC dari India dengan pasukan Singapura, Tampines Rovers.

Pasukan Al-Ahed dari Lebanon diundi menentang Al Muharraq (Bahrain) manakala pasukan Iraq, Air Force Sports Club akan bertemu Al Jaish SC dari Syria.

JDT, Piala AFC, South China, Hong Kong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain