suria

Mudah Bagi Chong Wei, Koo dan Tan Tersingkir Awal

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan kedua kejohanan badminton All England selepas menewaskan pemain India Chetan Anand pada pusingan pertama yang berlangsung di Arena Tertutup Birmingham pada Rabu.

Bagaimanapun beregu utama dunia Koo Kean Keat/Tan Boon Heong tersingkir awal selepas ditundukkan oleh juara Kejohanan Dunia 2003, Lars Paaske/Jonas Rassmussen dari Denmark dengan straight set 21-13, 21-11 dalam tempoh 27 minit.

Chong Wei, pemenang pingat perak di Olimpik Beijing dan pilihan utama kejohanan menumpaskan pemain tersebut yang menduduki ranking nombor 15 dunia dalam straight set 21-15, 21-16 dalam masa 26 minit.

Pemain Malaysia itu akan bertemu pemain Indonesia Sony Dwi Kuncoro (pemain dunia nombor 11) pada pusingan kedua esok. Chong Wei dijangka menghadapi tentangan daripada Sony yang pernah menewaskannya sebanyak dua kali pada Kejohanan Dunia 2007 dan 2009.

Pemain Malaysia yang turut mara ke pusingan kedua ialah pasangan Gan Teik Chai/ Tan Bin Shen yang menewaskan pasangan Hong Kong Yohan Hadikusumo Wiratama/ Wong Wai Hong, 21-19, 21-19.

Cabaran mereka selepas ini adalah pasangan Chia Biao/ Zhang Nan dari China.

Sementara itu, pasangan veteran Choong Tan Fook/ Lee Wan Wah mengalahkan Chen Hung Ling/ Lin Yu Lang dari Taiwan 21-16, 26-24 untuk meneruskan pusingan seterusnya.

Pasangan yang menduduki ranking nombor lapan dunia itu akan berdepan dengan pasangan Cho Gun Woo/ Kwon Yi Goo dari Korea hari ini.

Dalam perlawanan perseorangan lelaki lain, pemain berpengalaman Wong Choong Han diasak hingga ke perlawanan rubber set sebelum tumpas di tangan pemain junior Indonesia Simon Santosa 21-17, 16-21, 12-21 dalam masa satu jam dua minit.

Dalam perseorangan wanita, pemain utama negara Wong Mew Chew juga kecundang ditangan pemain nombor tiga dunia dari China, Jiang Yanjiao 21-18, 21-19.

Pasangan nombor empat dunia Chin Eei Hui/ Wong Pei Tty juga gagal menepati ranking apabila dikalahkan oleh pasangan tidak ternama Meiliana Jauhari/ Greysia Polii dari Indonesia, 22-20, 21-15. -BERNAMA

Artikel Lain