suria

Penyertaan 'wild card' penunggang negara pada MotoGP Malaysia

BANGKOK: Penyertaan penunggang Malaysia dengan tiket wild card dalam Grand Prix Motosikal Malaysia di Sepang pada 24 dan 25 Oktober ini, selepas tempoh tujuh tahun, dijangka mengembalikan semula minat di kalangan penonton tempatan terhadap perlumbaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata pihaknya berharap untuk menarik lebih 60,000 penonton ke perlumbaan itu yang diadakan buat kali ke-19 di Malaysia.

Katanya tiket wild card yang diberikan dalam kategori 125cc merupakan satu langkah ke hadapan untuk Malaysia, selepas kali terakhir penunggang Malaysia beraksi dalam kejohanan itu adalah Shahrol Yuzy Ahmad Zaini pada 2002.

"Bukan murah untuk meletakkan pelumba dalam Grand Prix itu, tetapi ia masih lebih murah berbanding meletakkan pemandu dalam Formula Satu. Kita mempunyai ramai penunggang berbakat dan tiket wild card ini tiba pada masa yang sesuai," katanya selepas melancarkan kempen promosi media bagi pelumbaan itu bersama Tourism Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Razlan, yang merupakan pelumba kereta, pemilihan selama tiga bulan bagi memilih penunggang Malaysia yang akan beraksi dengan tiket wild card itu telah disenarai pendek kepada empat penunggang daripada jumlah asal 17 yang dipilih daripada pelbagai kejohanan tempatan.

Beliau berkata pelumba yang terpilih bagi kategori 125cc itu akan diketahui bulan ini, apabila pasukan Ongetta Team I.S.P.A dari Itali tiba di SIC untuk menguji jentera perlumbaan yang pernah digunakan oleh penunggang Indonesia dalam Grand Prix itu dua tahun lepas.

" Penyertaan wild card kita akan berlumba di bawah pasukan Ongetta Team I.S.P.A, satu daripada lima pasukan utama. Kita mempunyai motosikal yang pantas yang pernah digunakan oleh penunggang Indonesia...jadi terpulang kepada penunggang untuk membuktikan kemampuannnya," kata Ahmad Razlan.

Empat penunggang itu yang kini menjalani sesi latihan selama dua bulan di SIC di bawah kendalian Shahrol Yuzy adalah Elly Idzlianizar Ilias, Mohd Iskandar Raduan, Mohd Farid Ahmad dan Mohd Zulfahmi Khairuddin.

Ahmad Razlan berkata SIC telah meningkatkan kempen untuk mempromosikan Grand Prix Malaysia dan selepas ini perancangan promosi adalah di Jakarta, Singapura dan Brunei.

Katanya peminat sukan permotoran Thailand boleh berkunjung ke Sepang untuk menyaksikan idola mereka Ratthapark Wilairot beraksi di litar yang paling hampir dengan negara mereka. Ratthapark mula menyertai Kejohanan Dunia 250cc pada 2007 dengan pasukan Thai Honda PTT SAG. BERNAMA

Artikel Lain