suria

Pertandingan pelita raya meriahkan lagi Ramadan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menganjurkan Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2018 bermula 7 hingga 14 Jun ini bagi memeriahkan lagi minggu terakhir Ramadan di negeri ini.

Pengarah Tourism Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata dalam pertandingan yang bertemakan 'Cahaya Sejahtera Beautiful Terengganu' itu, pelita tersebut akan terus dipasang sehingga seminggu selepas Hari Raya.

"Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain termasuk Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Pejabat-Pejabat Daerah di seluruh negeri.

"Bagi memeriahkan lagi kehangatan pertandingan ini, kerajaan negeri juga mendapat kerjasama daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia, Syarikat LPT2 dan Jabatan Kerja Raya untuk mendirikan replika pelita raya di sekitar kawasan hentian rehat dan rawat (R and R) Perasing di Kemaman sebagai lokasi tarikan pelancong," katanya dalam kenyataan, Khamis.

Sejak pertandingan itu bermula pada 2009, beberapa kampung mula dikenali ramai apabila menjuarai beberapa pertandingan yang dianjurkan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Tun Ahmad Faisal berkata sebagai contoh, Kampung Alur Limbat di Marang pernah dinobatkan sebagai ‘Desa Lestari Abad 21' bagi tahun 2014 oleh KKLW serta menjadi Johan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 2009.

"Sejak 2009 hingga 2012, Mukim Tepoh di daerah Kuala Nerus telah disemarakkan dengan cahaya pelita yang bergemerlapan melibatkan lima kampung yang menyertai pertandingan itu.

"Pada tahun 2015 pula, daerah Setiu dipilih menjadi penganjur kepada Pertandingan Pelita Raya yang telah diadakan di Kampung Air Sejuk yang disertai oleh 72 rumah dan Kampung Panchur Merah yang disertai oleh 106 rumah," katanya.  -- Bernama

pelita, Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain