Demi Masa Depan Melayu Champa, Tam Prohim Tebalkan Muka Menagih Bantuan

Diterbitkan: Isnin, 11 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JEDDAH: Pepatah ada menyebut jauh perjalanan, luas pandangan, tetapi bagi Presiden Persatuan Guru-guru dan pelajar Islam Kemboja, Tam Prohim, 68, apabila ada kesempatan ke luar negara, beliau memberi tumpuan kepada usaha mencari sumber kewangan bagi mengisi dana pertubuhan yang dipimpinnya. Beliau akan mengambil kesempatan mencari pihak yang sudi memberi sumbangan semasa menghadiri seminar atas jemputan beberapa buah badan kerajaan dan swasta di luar negara.

Usaha beliau itu telah membawanya sehingga ke Jepun, Libya, Mesir, Arab Saudi dan negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

"Saya perlu menagih simpati dari masyarakat luar kerana ramai di kalangan belia Islam Champa di Kemboja memerlukan pembiayaan bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti-universiti sama ada di Phnom Penh atau luar negara," katanya.

Kira-kira 50 pelajar Melayu Champa dari keluarga miskin melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan, perniagaan, pertanian, pengajian Islam dan Bahasa Inggeris di beberapa buah universiti di Phnom Penh dan memerlukan bantuan antara AS$320 hingga AS$500 setahun.

Mereka banyak bergantung dengan persatuan yang diterajui Prohim selain mendapat bantuan daripada badan lain hasil inisiatif yang dijalankannya.

MAHU LIHAT LEBIH RAMAI BERJAYA

"Ada di antara mereka mendapat bantuan daripada persatuan dan ada juga yang mendapat bantuan daripada Jamiah AlMuslim, Jepun dan beberapa pertubuhan negara lain termasuk dari Malaysia, Libya, Arab Saudi dan Mesir," katanya.

Prohim berkata, beliau sering mengingatkan para pelajar yang telah berjaya dan ada di antaranya menjadi pensyarah di beberapa universiti termasuk di Malaysia supaya turut membantu pelajar yang senasib dengan mereka di Kemboja.

"Tetapi, biasalah, ada yang sudi membantu dan tidak kurang juga ramai yang mendiamkan diri," katanya.

Pengalaman pahit maung semasa kekacauan akibat perang saudara di Kemboja sekitar 1970-an telah banyak mengajar dan memberi keinsafan kepadanya bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu Champa dalam pelbagai aspek.

"Walaupun sudah ada yang menjadi wakil rakyat, senator, majlis agama, polis dan tentera tapi saya mahu melihat lebih ramai orang Champa dalam perkhidmatan kerajaan seperti Majlis Agama, Kementerian Luar dan Dalam Negeri.

TEBALKAN MUKA MOHON BANTUAN

Di atas keazaman itu, beliau sanggup menebalkan muka, memohon bantuan daripada pihak tertentu di luar Kemboja.

Semasa berada di Arab Saudi, Prohim mengambil kesempatan untuk satu temu janji dengan wakil Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi bagi mendapatkan bantuan kewangan yang diperlukan apabila mendapat tawaran menyertai program jemputan kerajaan Arab Saudi semasa musim haji di Mekah sambil berziarah di Madinah dan kawasan sekitar baru-baru ini.

Dengan kemampuan Prohim berkomunikasi dalam Bahasa Arab dengan baik, beliau dapat membuat temu janji dengan wakil menteri beberapa hari sebelum beliau pulang ke negaranya selepas dibantu pegawai kementerian itu yang bertugas di urusetia media di sebuah hotel di Jeddah.

Beliau sanggup menunggu sehari suntuk di hotel untuk bertemu dengan wakil menteri itu walaupun ramai rakan yang lain dalam program berkenaan mengambil peluang bersiar-siar di sekitar Jeddah, apabila tiada program lawatan diatur oleh urusetia.

"Tak apa, saya dah janji dengan wakil menteri selepas solat Zuhur," katanya kepada penulis ketika dipelawa menyertai rombongan media Malaysia termasuk Ketua Unit Foto Bernama Mustaza Mohd Yusuf, wakil Radio Brunei Awang Hasnan Suhaili dan wakil akhbar Republika dari Indonesia Teguh Setiawan untuk bersiar-siar di sebuah pusat membeli-belah di Al-Balad, Jeddah.

TETAP BERSYUKUR

Sebaik kami pulang dari Al-Balad, beberapa jam kemudian, wajah Prohim kelihatan ceria kerana dapat bertemu dengan wakil menteri itu.

"Walaupun tak banyak yang dijanjikan, bagi saya itu sudah memadai dan saya bersyukur di atas kemurahan hati mereka," katanya tanpa menjelaskan jumlah bantuan yang diberikan.

Prohim yang pernah menuntut dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada 1963 juga mengadakan kuliah agama di rumahnya mengajar kira-kira 200 orang dengan dibantu tiga tenaga pengajar.

Walaupun telah bersara setelah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Mazhab selama 18 tahun sejak 1979 dan Timbalan Mufti Kemboja selama lima tahun sejak 1997, Prohim tidak jemu-jemu membantu anak bangsanya walaupun ada kalanya terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri.

Selain menerajui persatuan itu, Prohim juga merupakan Pengarah program bagi Radio Sap Cham atau Voice of Cham, sebuah stesen radio swasta di Phnom Penh, yang banyak menyiarkan program mengenai Islam.

JANGAN HANTAR LEMBU KORBAN

Stesen radio itu juga memerlukan beliau memerah otak bagi mencari sumber kewangan kerana kebanyakan petugas atau DJ di stesen itu merupakan pelajar universiti yang bertugas secara sambilan dan memerlukan wang bagi membiayai pengajian mereka.

Selain memantau kandungan program yang diterbitkan agar tidak menyeleweng dari ajaran Islam dan peraturan negara, beliau juga perlu memikirkan usaha untuk membayar imbuhan kira-kira AS$50 setiap dua atau tiga bulan kepada mereka.

"Kalau tak cukup wang, saya akan bagi tahu orang kampung untuk mencari jalan menyelesaikan masalah itu. Tetapi biasanya orang kampung tidak lokek bagi membantu mengikut kemampuan," katanya.

Tetapi, apa yang dikhuatirkan beliau sekarang ialah mengenai puluhan pelajar Melayu Champa yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti luar negara.

"Kalau boleh, jika ada pihak di luar Kemboja yang ingin membantu, janganlah hantar 1,000 ekor lembu bagi ibadah korban kepada kami. Apa salahnya jika mereka dapat membantu pelajar ini sambung belajar di negara mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan