Wakaf Wajar Ditonjolkan Dalam Dasar Makroekonomi Utama

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 4:27 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wakaf atau pemberian untuk tujuan kebajikan, agama dan pendidikan, wajar diberikan kedudukan yang lebih baik dalam dasar makroekonomi utama Malaysia, kata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata Wakaf merupakan instrumen kewangan awam penting, yang boleh digunakan dalam menggubal dasar makroekonomi dan berkeupayaan menyumbang ke arah pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

"Dari perspektif makroekonomi, Wakaf merupakan mekanisma simpanan pelaburan, dengan dana dialihkan dan dilaburkan dalam aset-aset produktif.

"Fungsi yang inovatif ini bukan sahaja membolehkan Wakaf memenuhi objektif individu untuk melakukan kebajikan serta keagamaan, malah memanfaatkan daya maju ekonomi," katanya dalam ucapan pada seminar Wakaf Institut Kefahaman Islam (IKIM) di sini, Rabu.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Abdullah berkata wakaf bukan semata-mata sebuah institusi Islam yang menyokong umat Islam melaksanakan tanggungjawab keagamaan mereka.

Malah, wakaf memberi manfaat melepasi dimensi ekonomi, komersil, pendidikan, kesihatan, sosial dan kerohanian, katanya.

Sementara itu, Nik Mustapha dalam pembentangannya berkata matlamat mekanisma Wakaf bertujuan menggalakkan individu kaya dalam masyarakat untuk menyumbang sebahagian daripada harta mereka secara sukarela untuk dijadikan bangunan agama dan kemudahan awam yang boleh memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Antara manfaat wakaf ialah ia mampu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan sekali gus menghalang kerajaan daripada meminjam.

Beliau berkata menerusi sumbangan sukarela ini, wakaf mampu memberi kesan positif ke atas pengagihan semula kekayaan dalam masyarakat.

Nik Mustapha berkata saiz harta wakaf juga berkait rapat dengan penyertaan swasta dalam ekonomi.

"Ia sudah terbukti, terutama semasa Empayar Otoman, institusi wakaf makmur dan ekonomi negara meningkat," katanya.

Bertema 'Mempromosi wakaf sebagai alat utama dalam dasar ekonomi negara', seminar itu bermatlamat memberi kefahaman dan kesedaran mengenai sistem dasar pembangunan ekonomi negara sedia ada.


Tags / Kata Kunci: Ikim , Wakaf

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan