Peranan Bekas Tentera British Tempatan Dikenang

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sebahagian daripada anggota Persatuan Bekas Askar British Malaya (PBAB) dan penerima bantuan Liga Diraja Bekas Askar Negara-negara Komanwel (RCEL) bergambar kenangan semasa hadir pada Persidangan Tahunan Persatuan Bekas Askar British ke-2 di Kuala Lumpur, 2 Februari lepas. Turut sama ialah Setiausaha Agung Liga Diraja Bekas Askar Negara-negara Komanwel (RCEL) Kolonel P.A Davis. - Foto BERNAMA
Sebahagian daripada anggota Persatuan Bekas Askar British Malaya (PBAB) dan penerima bantuan Liga Diraja Bekas Askar Negara-negara Komanwel (RCEL) bergambar kenangan semasa hadir pada Persidangan Tahunan Persatuan Bekas Askar British ke-2 di Kuala Lumpur, 2 Februari lepas. Turut sama ialah Setiausaha Agung Liga Diraja Bekas Askar Negara-negara Komanwel (RCEL) Kolonel P.A Davis. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Umum mengetahui lokasi strategik serta sumber asli yang sangat kaya menjadikan Malaysia sasaran rebutan kuasa penjajah hatta sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Sebelum Perang Dunia Kedua misalnya, negara yang ketika itu dikenali sebagai Malaya adalah pembekal utama kekayaan empayar pemerintahan British.

Semasa perang, pasukan tentera British yang merangkumi tentera dari negara-negara Komenwel terutama Nepal, India, Australia, New Zealand selain askar dari penduduk tempatan menghadapi tekanan hebat daripada kekuatan luar biasa tentera Jepun.

Bermula dari 8 Disember 1941 pasukan tentera British terpaksa berundur sedikit demi sedikit sehingga Jepun berjaya menguasai seluruh Tanah Melayu pada 31 Januari 1942 dan terus menjajah hingga tahun 1945.

Dalam masa yang sama, British perlu melindungi penduduk Malaysia dan Singapura yang ketika itu dikira sebahagian daripada rakyat mereka, daripada kekejaman askar Jepun, termasuk cubaan Jepun melakukan genoside ke atas kaum Cina, selain menceroboh dan membunuh semua pesakit hospital.

BOYS’ WING LAHIRKAN LEP MAHIR

Kegagalan itu menjadi pemangkin untuk British memperkuatkan sistem pertahanan Malaya melalui pembentukan empat sekolah ketenteraan yang dikenali sebagai Boys' Wing untuk remaja berusia sekitar 14 tahun tanpa mengira kaum.

Semasa zaman empayar pemerintahan British, orang tempatan di setiap negara yang mereka kuasai atau Komenwel dilatih dengan sistem ketenteraan British dan diserapkan ke dalam pasukan tentera British di negara masing-masing yang dikenali sebagai Locally Enlisted Personnel (LEP).

Selain memberi tumpuan kepada akademik, sekolah tersebut menyediakan latihan ketenteran dan latihan teknikal, malah Boy’s Wing cawangan Port Dickson telah menjadi asas penubuhan sekolah berasrama penuh Maktab Tentera Diraja.

Pasukan tentera British Malaya yang diperkuatkan oleh LEP mahir teknikal yang lahir dari sekolah-sekolah Boy’s Wing memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga keamanan negara.

PERANAN BRITISH SELEPAS MERDEKA

Ini termasuk sewaktu negara berada dalam keadaan huru-hara yang melibatkan aktiviti komunis sehingga tercetusnya darurat pada tahun 1948 hingga 1960 serta pertempuran sempadan Kalimantan sekitar tahun 1962 hingga 1966 semasa konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Khidmat pasukan tentera British masih diperlukan walaupun negara telah merdeka memandangkan ekonomi negara telah dilemahkan dengan teruk semasa pendudukan Jepun dan aktiviti komunis.

"Peralihan kuasa kerajaan daripada empayar British kepada kerajaan tempatan telah berlaku secara sistematik dan aman dibantu oleh pelan sistem pertahanan yang baik," jelas Presiden Persatuan Askar British Malaysia, Che Onn Neamat.

Ini, katanya, menunjukkan Kerajaan British tidak lepas tangan dalam membantu negara mengekalkan keamanan sementara kerajaan tempatan berusaha memperbaiki situasi ekonomi, politik dan sosial.

Che Onn ialah Presiden Persatuan Bekas Askar British Malaysia juga adalah seorang veteran askar British dan bekas pelajar Boys’ Wing cawangan Pulau Sentosa, Singapura.

Sebelum meninggalkan Malaysia, jelasnya, kerajaan British turut membantu negara membentuk dan menyusun sistem kepolisan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ini berbeza dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang tidak mempunyai pelan peralihan kuasa yang terperinci, menyebabkan negara-negara yang pernah mereka jajahi seperti Vietnam dijangkiti perang saudara yang berlarutan.

Justeru, dapat dirumuskan bahawa peranan LEP tempatan adalah sangat penting dalam mempertahankan kedaulatan negara meskipun mereka berjuang di bawah panji-panji British.

NASIB TENTERA BRITISH TEMPATAN

Persoalannya kini, apakah nasib mereka selepas pasukan tentera British Malaya dibubarkan sejak tahun 1972?

Selepas pasukan tentera British diisytiharkan berlebihan serta dibubarkan, bekas-bekas LEP tempatan terpaksa membawa haluan masing-masing mengikut kemampuan dan usia.

Sebahagian daripada mereka yang dikira bersara awal menerima pencen secara terus dari kerajaan British berdasarkan jumlah tahun perkhidmatan, sebahagian yang lain layak menerima pampasan, tetapi LEP selebihnya tidak menerima apa-apa.

Namun begitu, setiap tahun, kerajaan British telah memperuntukan sejumlah wang yang disalurkan kepada entiti tertentu yang menaungi LEP di negara masing-masing bagi membantu LEP yang tidak menerima pencen.

GERAN KEBAJIKAN RCEL

Bagaimanapun, di Malaysia, tiada rekod sama ada wang yang disalurkan menerusi Liga Diraja Bekas Askar Negara-negara Komenwel atau Royal Commonwealth Ex-Services League (RCEL) itu diterima atau tidak.

Hanya rekod geran kebajikan RCEL bermula pada tahun 2005 yang dapat dijejaki oleh PBAB, yang mana 25 bekas tentera British atau balu menerima elaun sara hidup RCEL melalui Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Pada tahun 2009 pula, RCEL telah menyalurkan GBP 7,675 (RM37,677.50) melalui BTM untuk diagihkan kepada LEP atau balu mereka.

Ini adalah sebahagian kecil daripada geran kebajikan RCEL yang berjumlah GBP 1,242,278 (RM6,098,500) yang telah diagihkan kepada sekitar 65,000 veteran dari 43 buah negara Komenwel yang layak menerima bantuan sara hidup tersebut pada tahun 2009.

Bagaimanapun, keadaan nyata berubah apabila PBAB yang ditubuhkan pada 6 Mei 2009 oleh Che Onn dan rakan-rakan Boys’ Wing, berjaya mendapat pengiktirafan daripada kedua-dua negara Malaysia dan British untuk mengambil alih segala urusan yang berkaitan RCEL di Malaysia.

Dalam tempoh yang singkat, mereka berjaya menjejaki lebih ramai bekas tentera British atau balu yang layak menerima geran kebajikan RCEL sekaligus meningkatkan nilai geran kebajikan menjadi GBP 36,450 (RM 175,619.35).

BEKAS TENTERA BRITISH DIJEJAKI SEMULA

"Kami gembira dapat membantu 95 orang bekas tentera British Malaysia dan balu-balu menerima elaun kebajikan yang sewajarnya mereka terima sejak dahulu lagi," ujar Che Onn sambil menambah semua ahli jawatankuasa PBAB bekerja secara sukarela.

Menyedari banyak lagi LEP tempatan yang tidak diketahui nasib mereka, PBAB telah berusaha secara agresif untuk menjejaki mereka termasuk menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpul keahlian sekaligus memudahkan urusan penyampaian maklumat.

Kini, kebajikan veteran tentera British Malaya serta balu-balu diyakini akan lebih terbela memandangkan tanggungjawab kebajikan mereka telah diserahkan secara rasmi kepada PBAB.

Penyerahan kuasa daripada PBTM ditandatangani pada 2 Februari lepas pada satu majlis ringkas yang disaksikan oleh Setiausaha Agung RCEL Kolonel P.A. Davis.

RUTIN LAWATAN TIGA TAHUN SEKALI

Davis menjelaskan bahawa kehadiran beliau ke Malaysia adalah sebahagian daripada rutin lawatan RCEL ke negara-negara Komenwel yang menerima sumbangan elaun kebajikan tahunan.

"Setiap tiga tahun, wakil dari liga RCEL akan melawat persatuan-persatuan LEP tempatan atas tujuan audit dan melihat sama ada wang yang dihantar sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Kini, liga tersebut menaungi 56 persatuan dari 48 negara Komenwel," jelas Davis yang tiba dari London sehari sebelum majlis penyerahan kuasa dan terus ke Sri Lanka pada keesokan harinya.

Katanya, rutin lawatan ke Malaysia kali ini amat istimewa kerana penyerahan tanggungjawab dan kuasa pengurusan dana tersebut menandakan titik perubahan nasib bekas tentera British tempatan.

BERKENALAN DENGAN BEKAS TENTERA BRITISH

Juga, buat pertama kalinya beliau dapat bersua muka dengan bekas tentera British tempatan apabila PBAB menemukan beliau dengan hampir 30 bekas tentera British dan balu pada majlis berkenaan.

Selain itu, beliau turut dibawa melawat ke rumah tiga veteran yang miskin dan uzur masing-masing di Gombak, Selayang dan Puchong untuk mendengar sendiri rintihan nasib dan kisah mereka selepas tamat perkhidmatan.

Davis turut memuji keberkesanan sistem dan disiplin kerja PBAB yang berjaya mengumpul lebih 800 anggota dalam tempoh tidak sampai dua tahun.

"Meskipun anggota jawatankuasa PBAB tidak mempunyai pejabat tetap dan hanya bekerja dari rumah masing-masing, mereka telah menunjukkan tahap pencapaian yang sangat membanggakan," puji Davis.

Bekas tentera British dan balu yang mana suaminya tidak pernah menyertai pasukan ketenteraan lain selepas 1972 diharap dapat menghubungi Che Onn di talian 012-6590136 atau emel ke onn1941@gmail.com bagi membolehkan maklumat terkini disampaikan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan