suria

Inspirasi durian Fiziwoo, kemunculan semula Hatta Dolmat dan Projek Jahat AirAsia di KLFW2019

Inspirasi durian pada rekaan Fiziwoo (kiri), AirAsia dan kemunculan semula Hatta Dolmat di Kuala Lumpur Fashion Week 2019 (KLFW2019) antara yang mendapat perhatian.

MINGGU Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW2019) baharu sahaja melabuhkan tirai pada Ahad lalu, namun kemeriahannya masih terasa selepas lebih 80 pereka fesyen daripada pelbagai jenama menampilkan koleksi terbaharu mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Anda seorang yang positif, tenang atau berkuasa? Kenali personaliti menerusi 7 pilihan warna baju

Berlangsung selama lima hari di Pavilion Kuala Lumpur sejak 21 Ogos lalu, edisi kesembilan acara berprestij itu menampilkan koleksi daripada nama-nama besar seperti Syaiful Baharim, Alia Bastamam, Nurita Harith, Ezuwan Ismail, Nur Fazura dan Afiq Mohamed.

Koleksi GOOD/jahat kolaborasi AirAsia dan Projek Jahat di pentas KLFW2019.

Tidak ketinggalan wajah-wajah baharu dalam industri fesyen seperti Behati, Sierra Chong, Wynka, Mells, Suffian Tugiman, Maslea turut mempamerkan koleksi mereka.

Malah pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat turut membuat comeback di pentas KLFW2019 selepas kali terakhir muncul pada 2015.

Hatta muncul dengan penuh gaya - bukan sahaja koleksi untuk wanita malah lelaki menerusi Nouveau yang menyuntik elemen batik pada rekaannya.

Hatta Dolmat membuat kemunculan semula di pentas KLFW2019 dengan koleksi Nouveau.

Walaupun bukan 100 peratus, namun ciri-ciri dan sentuhan pada elemen itu memadai dalam menjadikan koleksi dipamerkan mempunyai nilai tempatan dan masih bersifat universal.

Rizman Ruzaini juga mencipta kelainan apabila tampil dengan koleksi lelaki di pentas KLFW2019 walaupun mereka lebih sinonim dengan busana untuk wanita dan pengantin.

Paling mencuri perhatian sudah tentu Fiziwoo yang menghasilkan busana unik dengan tema durian yang cukup dekat dengan hati rakyat Malaysia.

Fiziwoo tampil dengan koleksi berinspirasikan daripada raja buah, durian. 

Pun begitu, Fiziwoo bijak mengadaptasi tema itu ke dalam rekaannya agar tidak kelihatan 'kostum' dan hanya menjadikan raja buah itu sebagai inspirasi dalam mereka pakaian yang elegan.

Tidak cukup dengan itu, turut mencuri perhatian adalah AirAsia Foundation (AAF) yang julung-julung kali melancarkan rangkaian koleksi travel pertamanya menerusi GOOD/jahat di KLFW2019.

Koleksi yang terdiri daripada 12 jenis pakaian dan aksesori itu direka dengan kerjasama Projek Jahat, dan dibuat sepenuhnya daripada tekstil dan bahan-bahan yang dikitar semula - daripada selimut hingga kulit tempat duduk - yang diperoleh di gudang AirAsia.

Rizman Ruzaini tampil dengan koleksi untuk lelaki. 

Turut menjadi tarikan pada tahun ini sudah tentu menerusi segmen baharu yang diperkenalkan iaitu Fashion Forward Batik Malaysia sebagai inisiatif untuk memartabatkan industri batik tempatan.

Pihak penganjur turut bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia selain mengadakan pameran tekstil, Thread of Heritage untuk memberi peluang kepada pengunjung acara itu mengenali keunikan dan keindahan batik dengan lebih dekat.

Tidak hairan juga ramai pereka fesyen turut menyuntik elemen batik dalam koleksi mereka sebagai tanda penghormatan kepada budaya Malaysia.

Seperti sebelum ini, KLFW2019 adalah medan untuk selebriti tempatan yang hadir melaram ketika menyaksikan pertunjukan fesyen dan tentunya mereka turut mencuri perhatian.

Rekaan memukau daripada Mells. 

Artikel Lain