“Dia kata dah OK sambil tunjuk tali merah di tangannya” - Suka-suka main ‘Truth or Dare’ di asrama berakhir pengalaman ngeri seumur hidup - Mistik | mStar

“Dia kata dah OK sambil tunjuk tali merah di tangannya” - Suka-suka main ‘Truth or Dare’ di asrama berakhir pengalaman ngeri seumur hidup

Seorang lelaki berkongsi kisahnya yang hampir menjadi mangsa seorang pelajar perempuan yang dirasuk gara-gara bermain permainan 'Truth or Dare'. (Gambar sekadar hiasan)

MEMANG tidak dapat dinafikan, kehidupan pelajar di asrama sememangnya penuh dengan kenangan dan kisah suka duka yang pasti tidak akan dilupakan.

Sebut sahaja asrama, pasti kisah-kisah mistik akan terlintas di fikiran.

Mana tidaknya, dengan ragam penghuninya yang datang daripada pelbagai latar belakang, pastinya asrama ‘tidak sunyi’ dengan kisah-kisah sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa hayun? Ibu sempat rakam video buaian bergerak sendiri 

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pocong’ tumpang Grand Livina! Pemilik kereta tak tahu menahu, tukang rakam minta maaf, pelaku tak dapat dikesan - “Semoga kamu diberikan hidayah”

Begitu juga dengan perkongsian seorang remaja yang menceritakan pengalamannya ketika tinggal di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air, beberapa tahun lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Hakim, katanya kejadian tersebut berlaku pada 2017, iaitu ketika dia di tingkatan empat.

Hakim berkongsi cerita mengenai kisah seorang pelajar perempuan yang dikatakan dirasuk di asrama sekolah mereka. 

“Memang menjadi kelaziman setiap malam, penghuni asrama akan ada sesi ulang kaji atau ‘prep’. Kebetulan tidak banyak sangat homework jadi saya dan rakan-rakan pun bercadang main Truth or Dare.

“Dipendekkan cerita, saya perlu ucapkan I love You kepada seorang pelajar perempuan yang kami semua kenali, namanya Syafima. Gadis ini sebaya, tapi dia di kelas lain.

“Syafima adalah pelajar baharu yang masuk pada tahun sama ketika di tingkatan empat. Dia pendiam, sedikit misteri dan tak ramai kenalan, boleh dikatakan dia seorang lone ranger. Jadi, apabila saya ucapkan I love You kepadanya, saya pun berlalu.

“Bagaimanapun, beberapa bulan selepas itu, terjadilah peristiwa yang saya tak akan lupakan seumur hidup,” ujarnya kepada mStar.


Insiden itu dikatakan berlaku selepas Halim dan rakan-rakannya bermainan satu permaianan yang dikenali sebagai Truth or Dare.

Menurut Hakim, pada satu malam selepas dia dan rakan-rakan selesai mengulang kaji pelajaran, salah seorang rakannya bercadang memuat turun filem daripada internet di tingkat bawah blok akademik kerana rangkaian internet hanya boleh didapati di aras tersebut.

“Ketika itu dalam lingkungan pukul 10.30 hingga 11.00 malam. Sebaik sampai di tingkat bawah saya teringat buku Matematik saya tertinggal di bilik ulang kaji di tingkat tiga. Disebabkan tiada rakan yang mahu teman, saya pun naik berseorangan.

“Sedang mencari-cari buku, tiba-tiba kelibat seseorang muncul, rupa-rupanya Syafima. Saya rasa lega kerana ada orang, sekurang-kurangnya saya tidak berseorangan di situ.Tapi sikap dia agak berlainan, siap melemparkan senyuman yang lain macam. Dia kemudian cuba datang dekat saya dan berkelakuan sedikit aneh.

“Dia mengimbas kembali apa yang pernah saya ucapkan kepadanya, kemudian dia tanya sama ada saya sukakannya. Makin lama dia makin dekat, tiba-tiba menjerit dan menangis. Tak semena-mena saya ternampak ada gunting di tangannya, masa itu saya dah mula takut dan terus keluar dari bilik ulang kaji untuk memanggil rakan-rakan,” ujarnya yang kini berusia 18 tahun.

Menurut Hakim, selepas kejadian tersebut, timbul cakap-cakap mengatakan pelajar perempuan tersebut hanya berpura-pura dirasuk kerana mahukan perhatian.

Menurut Hakim yang kini melanjutkan pengajian di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Perlis, keadaan malam itu sedikit kecoh selepas Syafima seolah-olah dirasuk hingga hampir mahu terjun dari tingkat tiga blok tersebut.

“Rakan yang juga anggota Badan Dakwah dan Kerohanian (Badan) asrama bernama Mirza cuba menenangkannya dengan membacakan ayat-ayat suci al-Quran sementara kami menunggu guru dan warden datang. Tapi tenaga Syafima sangat luar biasa, kami pelajar lelaki seramai enam hingga tujuh orang pun hampir tewas ketika dia cuba melepaskan pegangan.

“Ketika ustaz datang, saya sempat lihat ustaz menjirus sebaldi air kepada Syafima. Selepas itu saya dan rakan-rakan tak tahu apa yang berlaku kerana kami diminta  beredar. Yang pasti, selepas kejadian itu, Syafima pulang ke kampung untuk berubat.

“Beberapa minggu kemudian, dia bersekolah seperti biasa. Dia juga ada datang dan bersembang dengan saya, namun mengenangkan peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini, saya ambil langkah berhati-hati. Tapi dia kata saya tak perlu takut kerana dia dah OK, sambil tunjuk seutas tali berwarna merah di pergelangan tangannya,” ujar Hakim.

...tenaga Syafima sangat luar biasa, kami pelajar lelaki seramai enam hingga tujuh orang pun hampir tewas ketika dia cuba melepaskan pegangan.

HAKIM

Bagaimanapun ujar pemuda ini, selepas kejadian tersebut, timbul cakap-cakap daripada pelajar lain yang mengatakan Syafima hanya berpura-pura dirasuk pada malam tersebut kerana mahukan perhatian.

“Wallahualam. Apa yang pasti, peristiwa itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Syafima juga tidak menghabiskan persekolahannya sehingga tingkatan lima atas sebab-sebab tertentu. Jadi sejak dia keluar dari sekolah, memang langsung tiada khabar berita. Malah, dia juga meninggalkan WhatsApp Group batch kami,” ujarnya.

Tambah Hakim lagi, kejadian tersebut banyak mengajar dirinya dan rakan-rakan agar tidak sewenang-wenangnya mengambil mudah terhadap perilaku dan sikap seseorang.

“Permainan tersebut walaupun pada mulanya bertujuan untuk seronok-seronok, tapi sebenarnya ia boleh bertukar menjadi perkara yang tak dijangka. Kita tak tahu perangai sebenar orang, mungkin luarannya nampak normal, tetapi sebenarnya tidak.

“Kepada mereka khususnya yang tinggal di asrama, ingatlah niat anda untuk belajar, usah buat perkara yang bukan-bukan. Cerita ini adalah perkongsian daripada pengalaman hidup saya, tetapi terpulang kepada pandangan masing-masing,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
rasuk , terjun , bangunan , perhatian , psiko

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain