Jemaah OKU menjerit, lembaga bermata merah muncul gara-gara sendirian di bilik - Mistik | mStar

Jemaah OKU menjerit, lembaga bermata merah muncul gara-gara sendirian di bilik

Kehadiran lembaga wanita berambut panjang dengan matanya yang merah membuatkan Along gelisah dan terus melemparkan bantal ke arah entiti dalam bilik hotel di Madinah.

JEMAAH mengadu takut dan seram antara keluhan di Tanah Suci Madinah serta Makkah. Benarkah apa yang mereka nampak atau hanya perasaan semata-mata? Hanya Allah yang lebih mengetahui segala yang nyata dan tersembunyi.

Tulisan ini bukan bertujuan menakutkan mereka yang bakal berangkat ke Tanah Suci sama ada untuk menunaikan umrah mahupun haji kerana bukan semua jemaah melalui pengalaman ngeri atau menakutkan. Sebahagian besar jemaah tidak melalui keadaan itu.

Insiden ini berlaku beberapa tahun dahulu di sebuah hotel di barisan ketiga dari Masjid Nabawi. Ketika itu, saya membawa jemaah umrah, termasuk tujuh anak istimewa. 

Peristiwa sesudah Isyak itu meninggalkan kesan dalam diri sebahagian besar daripada rombongan kerana ia menimpa seorang anak istimewa berusia 30 tahun dan bermasalah Sindrom Down dikenali sebagai Along.

Pada malam itu, saya dan seorang lagi petugas umrah membawa tiga anak istimewa ke kedai kurma yang terletak berdepan dengan hotel yang kami inap. Along tidak mahu mengikut kami dengan alasan penat dan mahu tidur.

Pelbagai jenis kurma dijual sekitar Madinah dengan harga yang berpatutan.

Puas juga dipujuk kerana mahu dia ikut dan tidak terus tidur selepas makan malam tetapi dia menolak. Dia boleh berdikari, petah berkata-kata dan suka mendoakan sesiapa saja yang dikenali.

Akhirnya, kami akur dengan kemahuannya untuk tinggal sendirian di dalam bilik dan berpesan kepada jemaah yang sama-sama di dalam rombongan bahawa Along enggan mengikut kami membeli kurma dan kekacang.

Sepeninggalan kami tidak sampai setengah jam, Along mengejutkan jemaah di bilik sebelah yang terdengar bunyi bising daripada biliknya. Jemaah berkenaan yang sama-sama di dalam kumpulan kami mempelawa Along ke dalam bilik mereka.

Along terus mengatakan bahawa dia juga nampak lembaga seorang lelaki yang menakutkan bersama-sama wanita itu. Dalam ketakutan itu dia menjerit di dalam bilik sendirian dan melemparkan barangan ke dinding.

RAIHANAH ABDULLAH

Along mengikut tetapi di dalam bilik jemaah berkenaan, dia menjerit dan memarahi mereka tanpa sebarang sebab. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan jemaah. Seorang petugas wanita menghubungi saya apabila melihat keadaan Along tidak terkawal.

Seorang petugas lelaki membaca ayat-ayat suci apabila melihat Along berkeadaan agak ganas kerana memarahi semua yang menghampirinya. Dia terus menjerit ketakutan dan menangis. Dia tidak mahu orang lain dan hanya mencari saya ketika itu.

Sejurus pintu lif terbuka, saya lihat di dalam bilik jemaah dipenuhi hampir 10 jemaah lain yang juga dalam rombongan yang sama sedang berusaha menenangkan Along yang masih terjerit-jerit mengatakan nampak hantu.

Saya lihat wajah jemaah cemas dan kerisauan kerana keadaan Along yang sukar dikawal sedangkan kami baru saja dua hari di Madinah dan belum lagi ke Makkah untuk menyempurnakan ibadat umrah.

Makam Nabi Muhammad SAW dalam Masjid Nabawi di Madinah sentiasa sesak dengan kehadiran jemaah umrah dan haji.

Apabila mendekatinya, dia mengatakan dia terlihat wanita berambut panjang, berbaju putih dan bermata merah. Saya memujuk dan mengatakan, tak ada apa-apa dan hanya perasaannya saja kerana bilik yang suram.

Along terus mengatakan bahawa dia juga nampak lembaga seorang lelaki yang menakutkan bersama-sama wanita itu. Dalam ketakutan itu dia menjerit di dalam bilik sendirian dan melemparkan barangan ke dinding.

Saya hanya diam. Jemaah lain sibuk bercerita bahawa Along melemparkan bantal ke dinding sebelum saya tiba. Dalam masa yang sama saya hubungi ketua rombongan dan maklumkan perihal Along.

Sementara menunggu mereka datang, saya mengambil air zamzam, membacakan al-Fatihah dan berselawat sebelum meraupkan air itu ke muka Along. Along kelihatan tenang dan tersenyum semula.

Selang 15 minit, ketua rombongan dan seorang ustaz menziarahi Along. Mereka berbual seketika dengannya dan sekali lagi dia mengadu terlihat ‘hantu’ jantan dan betina. Ustaz kemudiannya membacakan ayat-ayat suci dan memegang Along.

Tidak lama selepas itu, Along nampak lebih tenang dan boleh berbual dengan kami semula. Dia terus mengulangi apa yang dilihatnya. Kami semua diam saja dan melayannya.

Kami memujuknya pulang ke dalam biliknya dan mengatakan selepas itu tidak boleh tinggal sendirian dan perlu ikut ke mana-mana saja petugas pergi walaupun hanya seketika. Dia diam dan tersenyum memandang saya.

Along berlalu keluar kembali ke biliknya bersama-sama petugas dan dua lagi anak istimewa. Alhamdulillah, di Makkah, Along tidak lagi terlihat sesuatu yang menakutkannya.

***Raihanah Abdullah ialah pembimbing jemaah haji dan umrah wanita

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Madinah , lembaga , sindrom down , umrah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain