Darah haid keluar 2 bulan tanpa henti, ‘Instafamous’ Aisyah Hijanah derita akibat sihir - Mistik | mStar

Darah haid keluar 2 bulan tanpa henti, ‘Instafamous’ Aisyah Hijanah derita akibat sihir

Aisyah terpaksa menanggung derita akibat perbuatan sihir terhadapnya.

PERBUATAN sihir ialah haram dan berdosa besar di sisi agama Islam namun entah mengapa masih ada segelintir pihak yang sanggup melanggar perintah Allah hanya kerana mahu puaskan hati untuk melihat orang lain derita.

Punca perbuatan syirik ini biasanya kerana wujud perasaan hasad dengki, dendam dan cemburu membuatkan mereka sanggup membelakangkan agama walaupun Allah telah menyatakan akan dan azab di akhirat nanti.

ARTIKEL BERKAITAN : 4 beranak terkejut disangka tuala jatuh rupa-rupanya sejadah keras berdiri

ARTIKEL BERKAITAN: Bunyi berdentum di Bukit Kertau, bersedialah penduduk Chenor banjir nak tiba

Itu juga berlaku kepada usahawan dan Instafamous Aisyah Hijanah, 21, yang terpaksa menanggung derita selama lebih setahun akibat perbuatan sihir.

Bermula masalah darah haid keluar tanpa henti selama dua bulan, Aisyah juga mengalami sakit pinggang serta belakang badan rasa lebam dan kesan seperti dicubit.

Aisyah tidak menyangka apa yang berlaku ke atasnya itu rupa-rupanya petanda dia terkena buatan orang.

Lebih menyedihkan kata Aisyah, dia rasa tidak selesa setiap kali mengenakan tudung terlalu lama selain kepalanya menjadi sakit setiap kali keluar rumah sehingga rasa hendak termuntah.

Kerana sihir, Aisyah memberitahu dia mudah marah terutamanya kepada suami sendiri Mohd Hazalif. 

Bagaimanapun kata Aisyah, dia menyedari masalah mula menimpanya sebelum dia berkahwin dengan Mohd Hazalif, 25, pada 2017.

"Benda yang dihantar pada saya ni sebenarnya sudah hampir setahun lebih. Lebih tepat, sebelum berkahwin lagi ia sudah dihantar kepada saya. Cumanya saya sendiri tak perasan.

"Sebelum berkahwin lagi saya ada masalah haid yang tidak menentu dan ia terlampau extreme. Kadang-kadang saya sendiri jadi keliru dengan kitaran haid yang pelik jadinya.

"Bila berjumpa doktor, biasanya saya akan diberikan pil perancang untuk melancarkan kembali kitaran haid tapi macam-macam ubat dah makan, kitaran haid masih tak teratur dan darah yang keluar semakin menjadi-jadi," katanya.

Cerita Aisyah lagi, selama ini dia menyangka masalah kitaran haid yang dihadapinya disebabkan oleh hormon tanpa mengetahui bahawa ia sudah 'bersarang' dalam rahimnya.

Selama setahun lebih Aisyah terpaksa menanggung derita akibat perbuatan sihir. 

"Semenjak berkahwin sudah lima kali saya cuba buat pemeriksaan kehamilan dan semuanya gagal. Sudah tentu saya sedih sebab kawan lain semua dah mengandung tetapi saya masih ada masalah lagi.

"Anda bayangkanlah macam mana nak mengandung kalau darah haid keluar selama dua bulan tanpa henti. Waktu subur pun tak boleh jangka," ujarnya.

Lebih menguatkan sangkaan dia telah disihir apabila suaminya bermimpi ular hitam sebanyak dua kali dan dia sendiri mengalami mimpi seram itu.

Sejak itu juga kata Aisyah, badannya semakin lemah malah berasa tidak selesa apabila memakai tudung sehingga menyebabkan kepala bersakit pening dan sakit.

"Nak kata anak tudung ketat tidak pula, kadang-kadang itu, baru je pakai tudung tapi bila keluar rumah terus rasa sakit.

"Setiap kali pening tu mesti rasa nak muntah dan banyak kali saya nak termuntah sebab pening kepala yang terlampau sakit," katanya.

Kelibat hitam 'menumpang' sampai ke China

Masih berfikiran positif terhadap semua perkara pelik menimpanya, Aisyah memberitahu keadaannya semakin teruk apabila mula berasa sakit pinggang yang belum pernah dirasakan sebelum ini.

Hati-hati dengan siapa yang kalian berkawan. Tak kira lelaki atau perempuan... Sebaiknya ambil tahu siapa keluarga dan insan yang kalian kenali. Mungkin ini pengajaran yang Allah nak Aisyah belajar dan sebarkan.

AISYAH HIJANAH 

USAHAWAN & INSTAFAMOUS 

Keadaannya itu membuatkan dia berasa lemah dan tak berdaya apabila berkunjung ke China atas urusan kerja sebelum ada rakannya memberitahu ternampak kelibat hitam yang mengikutnya sepanjang masa.

"Saya tak percaya tapi kawan nasihatkan saya untuk berubat memandangkan badan saya semakin hari semakin sakit.

"Saya juga menjadi seorang pemarah dan merasakan semua benda dilakukan tidak kena... Malah kalau suami sibuk dengan kerja pun ia boleh mendatangkan kemarahan saya.

"Kadang-kadang saya sendiri berasa pelik. Kenapa teruk sangat perasaan marah saya ni. Mujur Allah jadikan sifat suami saya ini seorang yang penyabar.

"Dia selalu sabar dengan sikap saya, selalu pujuk, puji dan cuba buat saya gembira," katanya.

Ibu banyak membantu Aisyah mengharungi waktu sukar dalam hidupnya.

Hati-hati dengan siapa anda berkawan

Sementara itu, Aisyah memberitahu keadaannya kini semakin pulih dan punca dia terkena sihir mungkin disebabkan oleh rasa tidak puas hati seseorang yang dikenalinya.

"Kepada rakan-rakan perempuan, saya nasihatkan kalian untuk berjaga-jaga dengan siapa anda berkawan. Sebelum hijrah, saya kenal dengan beberapa orang lelaki untuk dijadikan suami.

"Tapi semuanya tak menjadi, mungkin bukan jodoh. Perkahwinan saya dan suami pun bukan disebabkan saya yang suka tetapi dengan reda ibu saya.

"Hati-hati dengan siapa yang kalian berkawan. Tak kira lelaki atau perempuan... Sebaiknya ambil tahu siapa keluarga dan insan yang kalian kenali. Mungkin ini pengajaran yang Allah nak Aisyah belajar dan sebarkan," katanya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Sihir , Haid , Darah , Buatan Orang , Mistik

Artikel Berkaitan

Artikel Lain