suria

Nenek kebayan dah dicekup? Pakar tangkap jin dedah dialog penunggu hutan “Wajah dirakam.... biar kamu tahu keberadaan kami”

Kelibat nenek kebayan yang dirakam oleh seorang wanita baru-baru ini.

PENULARAN video penampakan kelibat nenek kebayan di sebuah kawasan rekreasi dipercayai di Lata Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini menggemparkan masyarakat.

Kelibat itu dirakam oleh seorang wanita yang kebetulan sedang membuat rakaman tiga anaknya yang sedang mandi sebelum muncul nenek kebayan itu sedang berjalan di atas batu di bahagian seberang jeram.

Lebih menyeramkan ketika kamera itu dialihkan ke bahagian kanan sungai, wanita itu sekali lagi berjaya merakam kelibat sama yang sudah beralih tempat dalam tempoh singkat sebelum dia dipercayai jatuh pengsan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Cepat dia jalan” - Siapa nenek jalan bongkok tepi air terjun? Ibu tiba-tiba pengsan

Kesahihan mengenai misteri video itu masih menjadi tanda tanya namun seorang pakar tangkap jin, Sa'ad Ja'afar mendakwa sudah menangkap nenek kebayan itu baru-baru ini yang sebenarnya didakwa adalah jelmaan jin.

Sa'ad memberitahu dia tidak pergi ke lokasi tempat jin itu berada sebaliknya membuat penangkapan secara jarak jauh dengan hanya melihat gambar dan video tempat kejadian.

"Cara saya... Saya tangkap jin itu dulu dan dalam kes ini nenek kebayan itu adalah ketua kumpulan jin kawasan hutan itu.

"Ia menyamar seperti nenek kebayan, dia boleh menyerupai apa sahaja," katanya ketika dihubungi mStar.

Kelibat nenek kebayan yang menggemparkan masyarakat apabila ia muncul dalam video yang dirakam secara tak sengaja.

Dedah Sa'ad, ketika cuba membuat tangkapan, nenek kebayan itu ia cuba melarikan diri sebelum mengubah bentuk dirinya dalam beberapa bentuk lain seperti monyet dan pontianak.

Nenek kebayan sudah 17 juta tahun menetap dalam hutan

Menerusi dialog yang dilakukan bersama makhluk itu, Sa'ad mendakwa ia memberitahu sudah 17 juta tahun menetap di hutan itu bersama 14 juta jin yang lain.

"Setelah nenek kebayan itu ditangkap kami ikat dan belasahnya bagi membolehkannya membongkar semua rahsia.

"Apabila sudah ditangkap kami akan soal mereka tetapi bukan memasukkan jin itu ke dalam badan orang lain. Kami akan belasah dan apabila berada dalam keadaan lemah, jin itu akan diletakkan dihadapan kami untuk sesi soal jawab.

"Pelbagai soalan akan diberikan dan jika dia tidak mahu jawab kami akan belasah sehingga semua yang ditanya dijawab.

"Barulah kami masukkan makhluk itu bersama pengikutnya ke dalam penjara khas (bukan dalam botol) supaya mereka tidak dapat mengganggu manusia lagi," ujarnya.

Malah makhluk itu tahu wajahnya berjaya dirakam dan sengaja menampakkan dirinya agar manusia tahu akan keberadaan mereka di dalam hutan itu.

Sa'ad memberitahu nenek kebayan itu sebelum ini hanya memberi tanda kehadiran mereka dan bisikan kepada manusia namun kali ini ia memunculkan diri atas arahan tuannya iaitu dajal.

Perakam, tiga anak sudah diracun

Dalam pada itu, Sa'ad berkata, makhluk itu mendakwa sudah meracuni wanita yang merakam kelibatnya dan anak-anaknya selain mereka akan menjadi pelupa, pemarah dan sikap negatif lain.

Namun katanya, jin itu tidak mengikut keluarga itu pulang kerana sudah meracuni tubuh badan mereka.

"Nenek kebayan itu kata mereka akan sesak nafas dan keadaan itu akan berkekalan selain sakit itu akan bertambah.

"Ia juga memberitahu racun itu sangat kuat dan tiada ubat atau herba mampu menghilangkan racun itu kerana ia lebih kuat daripada manusia," katanya.

Sementara itu, Sa'ad berkata, dia tidak memaksa kepada mana-mana pihak untuk mempercayai kejayaannya menangkap nenek kebayan itu namun memberitahu sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membongkar rahsia kejahatan jin agar manusia tidak terkena racun dan diganggu makhluk itu.

Selain itu, Sa'ad turut meminta agar orang awam agar berhati-hati sekiranya memasuki kawasan hutan mahupun mandi di sungai.

Berikut dialog penuh Sa'ad dengan nenek kebayan (ketua jin) yang dipetik dari blognya:

Dah berapa lama kau tinggal di kawasan hutan itu?
17 juta tahun

Kau duduk dalam hutan atau di air ?
Seluruh kawasan hutan dan air itu adalah tempat kami.

Kau tau tak yang kau dapat dirakam video ni?
Kami tau... biar kamu tau akan keberadaan kami di sini.

Sebelum ini pun ada orang lain yang datang ke situ kan? Kenapa kau tak tunjukkan diri kau sebelum ni?
Kami tidak tunjukkan diri kami... Kami hanya beri tanda kehadiran kami dan bisikkan pada mereka.

Kali ni... kenapa kau munculkan diri dan tunjukkan kepada mreka yang ambil video tu?
Kamu tidak tahu? Kamu sudah berada di penghujung usia dunia kamu... hanya arahan ketua kami yang kami nantikan.

Siapa ketua kau?
Dia maha kuasa, dia hebat.Dialah Dajal.

Kenapa kau tunjukkan diri sebagai nenek kebayan?
Kami boleh tunjukkan lebih dari itu. Terpulanglah apa yang kami nak tunjuk. Kami boleh tukar pelbagai rupa.

Kau ada nak buat sesuatu pada orang dalam video tu?
Ya... mereka akan lemah, sakit.

Racun kau 28 peratus pada air tu... jika kena manusia, manusia jadi apa?
Mereka akan sentiasa jadi lupa dan mereka akan sentiasa jadi dungu, mereka akan sentiasa jadi kasar dan mereka akan sentiasa ingat padaku dan mereka akan sentiasa jadi pemarah dan banyak lagi yang negatif semua.

Jika orang yang datang ke tempat kau ni, contoh manusia yang dalam video tu, jika mereka balik ke rumah, adakah geng kau ikut mereka balik?
Kami tak ikut, tapi pastinya racun-racun kami akan pasti dibawa oleh mereka kerana sudah masuk ke dalam badan mereka.

Bagaimana kamu ganggu manusia di tempat kamu?
Selagi manusia tidak ganggu kami, kami takkan ganggu manusia.

Manusia ganggu kamu macam mana? Contohnya.
Tidakkah manusia sedar bahawa ini tempat kami, tidakkah manusia sedar bahawa ini tempat kehidupan kami. Apa kamu rasa jika tempat kamu dirosakkan? Tentu marah betul? Samalah dengan kami.

Apabila manusia masuk ke dalam hutan je, itu sudah merosakkan tempat kami. Maka, kami perlu marahlah. Lagi kami marah apabila manusia menganggap kawasan hutan dan kawasan air ni mereka berkuasa boleh buat apa saja. Itu yang membuatkan kami bertindak.

Habis tu, kalau mereka nak main di kawasan tu juga (hutan/air ) apa yang mereka perlu buat agar tak ganggu kau?
Ini tempat kami, pergilah ke tempat kamu manusia.

Jadi berapa perarus racun kau yangg dah masuk ke dalam badan budak-budak yang main di air tu?
13 peratus telah kami masukkan.

Masuk melalui bahagian mana pada badan tu?
Di mana-mana rongga pada badannya.

Lepas mereka balik, racun-racun kau dalam badan mereka tu akan berkekalan ke?
Mereka akan sesak nafas. Ye akan berkekalan. Dan sakit tu akan bertambah.

Untuk orang biasa, apa cara untuk keluarkan racun kau tu dari badan mereka?
Racun itu takkan kami lepaskan begitu saja, memang racun itu untuk manusia.

Jika dibacakan ayat-ayat rukyah adakah racun kau tu akan terkeluar dari badan?
Tidak, racun itu takkan keluar dari tubuh manusia.

Jika makan herba-herba atau ubat, ada kesan tak kepada racun kau?
Takde kesan kerana racun kami lebih kuat dari ubatan manusia.

Pernah tak manusia berkahwin dengan jin?
Tidak

Tu yang ada orang kata ia berkahwin dengan jin tu betul atau tidak?
Manusia itu hanya dipukau saja, jin takkan dapat bersatu dengan manusia. Manusia tu hanya terasa seperti berkawin bersama sedangkan kami hanya melihat dari jauh sahaja. Memang manusia mudah diperbodohkan.

Apa pandangan kau terhadap manusia?
Manusia semakin lemah, semakin lalai. Ini lagi memudahkan kami untuk menganggu manusia.

Nenek Kebayan, Jin

Artikel Lain