CCTV rakam kelibat ‘hantu’ merayau dalam taman sebelum dilihat ghaib atas bumbung - Mistik | mStar

CCTV rakam kelibat ‘hantu’ merayau dalam taman sebelum dilihat ghaib atas bumbung

Tangkapan skrin daripada rakaman CCTV di rumah Papadopoulos. - Lincolnshire Live

SEORANG pakar aktiviti paranormal meneliti rakaman video yang menunjukkan kelibat hantu bergerak di sekitar sebuah taman di Lincolnshire, England.

Penduduk bernama Amanda Papadopoulos kehilangan kata-kata selepas melihat ada entiti yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya.

Entiti itu dilihat muncul antara pukul 11.30 malam dan 1.30 pagi pada malam 24 Februari dan pagi 25 Februari lalu.

Rakaman itu kelihatan seperti bentuk mencurigakan sedang bergerak di sekitar taman mereka sebelum memanjat tembok dan bergerak pula ke atas bumbung.

Garry Ross yang merupakan ahli Pasukan Penyelidikan Paranormal Lincolnshire dan juga seorang Ahli Penyiasat Profesional United Kingdom (NRPI) telah menghubungi Lincolnshire Live selepas melihat video itu bagi merungkai misteri tersebut.

Pakar paranormal itu berkata: "Video tentang cerita di Lincolnshire Live adalah satu rangkaian sarang labah-labah.

"Memandangkan ia sangat dekat dengan lensa kamera, ia memberikan kesan sedikit kabur.

"Jika anda mengabaikan latar belakang dan memberi tumpuan kepada sarang itu, anda dapat melihat bahawa ia bersambung pada bahagian atas gambar dan bertiup perlahan-lahan atau mungkin ia labah-labah kecil yang sedang bergerak," katanya.

Tambah Ross, ia adalah normal untuk serangga merangkak ke atas CCTV atau terbang berhampirannya.

Kediaman tersebut merupakan bekas sebuah sekolah Victoria.

Bagaimanapun, Papadopoulos turut mendakwa dia pernah mendengar bunyi pelik seperti kanak-kanak sedang gelak dan askar berkawad dari bilik tidurnya.

Pengguna media sosial yang menonton video tersebut berpendapat rakaman itu pelik, tetapi berasa ada penjelasan yang lebih mudah berbanding mempercayai ia satu aktiviti paranormal.

Segelintir lagi pengguna media sosial pula berpandangan bahawa ia hanyalah glic pada sistem CCTV tersebut. - Lincolnshire Live

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Lincolnshire Live , entiti , paranormal , hantu

Artikel Berkaitan

Artikel Lain