suria

Bidik kamera laksana jurugambar profesional, hasilnya 'meletop'!

Mohamad Hafiz seorang mahasiswa dalam bidang Sains Biologi memilih jurufoto sebagai karier.

BUKAN lagi perkara pelik jika seseorang itu melanjutkan pengajian dalam bidang tertentu, namun akhirnya memilih bidang berbeza sebagai kerjaya.

Begitu juga bagi Mohamad Hafiz Hashim, seorang mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi yang memilih untuk menjadi jurufoto sebagai sumber pendapatannya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Terliur pada ayam bersalut keju, terpesona lihat ‘owner’ model kacak 

ARTIKEL BERKAITAN: Suka kumpul klip roti, ada antara koleksi wanita ini sudah berusia 21 tahun 

Menceburi bidang fotografi sejak empat tahun lalu, menariknya Mohamad Hafiz langsung tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang formal dalam bidang tersebut. 

Mohamad Hafiz banyak mempelajari sendiri teknik fotografi selain menjadikan abang sebagai rujukan.

Mula suka-suka, lama-lama serius

"Bidang fotografi ini memang menjadi minat saya sejak dahulu lagi. Kebanyakannya belajar sendiri. Kebetulan abang saya juga jurufoto, jadi banyak juga belajar darinya.

"Pada mulanya saya selalu ambil gambar secara suka-suka dan letak dalam Instagram. Kemudian, kawan-kawanlah yang mula request saya untuk jadi jurufoto. Lama-kelamaan saya mula menceburi bidang ini secara serius," katanya kepada mStar.   

Melalui gambar itu, saya cuba untuk meletakkan bahawa cantik itu tidak semestinya pada paras rupa. Cantik itu lahir dari jiwa.

MOHAMAD HAFIZ HASHIM

Jurufoto

Jika dilihat kepada gambar-gambar yang dirakam, pasti tidak menyangka ia merupakan hasil bidikan seorang jurufoto yang bukan datang daripada bidang fotografi. 

Tidak mustahil gambar-gambar yang dirakam Mohamad Hafiz dan dikongsi di Twitter seringkali diulang kicau dan mendapat ribuan like. Antaranya, gambar perkahwinan outdoor  di mana pengantin perempuan memakai niqab atau purdah.



Antara gambar outdoor yang dirakam Mohamad Hafiz.


Pertama kali shoot pengantin berpurdah

"Nak dijadikan cerita, inilah kali pertama saya shoot pengantin berpurdah. Saya langsung tidak tahu bakal isteri klien saya tu memakai purdah kerana saya hanya berurusan dengan pengantin lelaki saja. Saya hanya tahu apabila hadir pada hari akad nikah. Tapi yang paling dititikberatkan adalah gambar sewaktu outdoor

"Di sinilah tugas berat yang perlu dipikul oleh jurugambar bagi memastikan setiap momen yang dirakam itu seolah-olah 'hidup'," kata pemuda berusia 27 tahun ini.

Memahami pengantin yang berpurdah pastinya mempunyai limitasi untuk menggayakan pose tertentu, Mohamad Hafiz berkata dia lebih banyak menumpukan aksi spontan dan natural. 

"Lokasi outdoor ketika itu di dalam kebun getah berhampiran rumah pengantin perempuan di Sungai Petani. Agak mencabar juga, pertama, bagaimana nak cantikkan gambar, dan kedua, nyamuk sering hinggap di muka dan badan begitu mengganggu," ujarnya sambil ketawa kecil.

Hasil bidikan Mohamad Hafiz mendapat pujian netizen.

"Melalui gambar itu, saya cuba untuk meletakkan bahawa cantik itu tidak semestinya pada paras rupa. Cantik itu lahir dari jiwa. Sebagai jurufoto, walau macam mana pun rupa klien, kita yang perlu bijak mencari sisi cantik mereka," ujarnya.

Sedang mengikuti pengajian dalam tahun akhir di Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Hafiz merancang untuk meneruskan kerjayanya sebagai jurufoto selepas tamat pengajian kelak.

Mohamad Hafiz gemar merakam aksi natural dan spontan.

"Sebab utamanya kerana minat yang mendalam dalam bidang fotografi. Tapi minat untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana dalam Sains Biologi masih ada," katanya yang menjadikan Rahim Isam sebagai idolanya dalam bidang fotografi.

Jurufoto, outdoor, purdah

Artikel Lain