suria

Selepas sebulan berpuasa... apa kata kita tinjau carta 10 juadah paling popular di hari raya!

Syawal adalah masanya untuk menikmati pelbagai hidangan istimewa seperti rendang ayam, lemang, ketupat dan lontong.

APABILA sudah memasuki fasa terakhir Ramadan mood untuk menyambut Syawal itu semakin terasa apatah lagi pada waktu ini pelbagai persiapan dilakukan dan sekaligus menaikkan keterujaan untuk berhari raya!

Pada Aidilfitri juga, inilah masanya untuk menikmati pelbagai juadah istimewa yang selalunya tidak dijual pada hari biasa dan sekiranya ada pun feel itu berbeza ketika menjamahnya.

Masyarakat Malaysia beruntung kerana setiap negeri mempunyai kelainan dan hidangan tersendiri apabila tiba hari raya dan apa yang menariknya tidak kira anda berada di mana semua juadah itu ada disediakan sempena lebaran.

Bersempena kedatangan Syawal tidak lama lagi, mStar menyenaraikan 10 makanan popular di hari raya! Apa kegemaran anda?

1. Lemang


Lemang enak dimakan bersama rendang ayam ataupun daging.

Boleh dikatakan setiap rumah yang anda kunjungi pasti ada lemang dan ia sudah menjadi menu wajib setiap kali hari raya.

Tapi paling best kalau dapat makan lemang jagung atau pun lemang pulut hitam... fuh! Memang terangkat. Biasanya lemang dimakan bersama rendang ayam dan daging atau serunding.

2. Ketupat palas


Ketupat palas antara menu popular setiap kali hari raya!

Bagi yang tidak tahu, ketupat palas diperbuat menggunakan beras pulut yang dibungkus dengan daun kelapa sebelum direbus sehingga masak.

Rasanya yang lemak menjadikan ketupat palas sentiasa menjadi pilihan sebagai hidangan wajib bersama lemang. Ada juga hidangan ketupat palas yang ditambah kacang.

Ketupat palas cukup enak dimakan bersama rendang dan serunding, malah ada yang menikmatinya begitu sahaja atau pun bersama susu pekat manis.

3. Ketupat nasi


Ketupat nasi enak dimakan bersama kuah kacang.

Ketupat nasi berbeza dengan ketupat palas kerana ia menggunakan beras seperti nasi impit dan menu ini biasanya digemari kanak-kanak kerana ia dimakan bersama kuah kacang yang mempunyai rasa pedas manis.

4. Rendang


Rendang ayam atau daging hidangan wajib.

Kalau tiada rendang di atas meja, bukan hari raya namanya! Aroma hasil daripada campuran bahan-bahan seperti lengkuas, daun limau purut, daun kunyit serta serai sudah cukup memberi aura bahawa Aidilfitri sudah tiba!

Rendang ayam, rendang daging adalah satu kemestian kerana ia bukan sahaja pelengkap kepada lemang dan ketupat palas, malah boleh dimakan bersama pulut kuning mahu pun nasi putih.

5. Laksa


Laksa Johor antara yang sering disediakan sebagai menu menyambut Syawal.

Siapa yang tak suka laksa? Berfikir mengenainya sahaja boleh membuatkan mulut berasa kecur! Sabar... percayalah hari raya nanti pasti anda dapat merasainya.

Seperti lemang dan ketupat, laksa juga mempunyai pelbagai jenis mengikut negeri malah cara penyediaan dan bahan digunakan juga berbeza.

Kalau sebelah utara ada laksa Penang, laksa Kuala Perlis, selain Laksam yang popular di Pantai Timur selain laksa Johor dan laksa Sarawak. Yums.

6. Lontong


Lontong enak jika dimakan bersama kuah kacang dan sambal ikan bilis.

Biasanya pada hari raya kedua atau ketiga, selera mula berubah untuk makan sesuatu yang lebih ringan sebab terlalu banyak makan lemang dan rendang!

Alang-alang sudah rebus ketupat, kuah lontong sayur adalah paling popular... dipadankan pula dengan sambal ikan bilis, membangkitkan lagi selera dan mood hari raya.

7. Soto Ayam


Gabungan bergedil, ayam racik dan sambal kicap membuatkan soto menu menyelerakan.

Kalau di negeri sebelah selatan, soto ayam adalah antara menu wajib setiap kali Aidilfitri. Bayangkan campuran nasi impit, ayam racik, bergedil, taugeh, dauh bawang serta cili kicap bersatu dalam mangkuk yang sama?

Ia hidangan yang memang buat anda berpeluh dan tambah dua tiga kali!

8. Bihun sup


Terliur... Bihun sup memang menyelerakan.

Di utara lain pula ceritanya... selain laksa, bihun sup antara hidangan yang pasti akan ada. Nampak bihun sup barangkali anda sudah tidak pandang lagi lemang dan ketupat di depan mata.

9. Nasi Minyak


Nasi minyak enak dimakan bersama ayam masak merah atau pun daging masak kicap.

Nasi minyak antara hidangan popular apabila tiba hari raya. Bukan sahaja dapat makan nasi basmathi tetapi lauk yang dihidangkan bersamanya seperti ayam masak merah, acar timun dan nenas, daging masak kicap dan papadom memang buat tak toleh kiri atau kanan!

10. Tapai


Tapai lebih sedap kalau dihidang bersama ais krim vanila.

Sebagai pencuci mulut, tapai yang mempunyai rasa manis diperbuat daripada beras yang diperam antara menu popular dihidangkan ketika hari raya.

Nak pula dihidangkan bersama ais krim perisa vanila... memang mata terus kuyu lepas tu.

Aidilfitri, Rendang, Lemang, Ketupat, Laksa

Artikel Lain