suria

Guna aplikasi saja! Golongan cacat pendengaran kini berpeluang hayati alunan syahdu takbir raya

Aplikasi Deria Takbir tersedia untuk pengguna sistem operasi IoS.

SETIAP kali tibanya Syawal, takbir yang berkumandang menjadi pelengkap kepada sambutan hari mulia itu.

Bagi orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran, sukar untuk mereka turut sama menghayati alunan syahdu itu.

Terbaharu, pengendali rangkaian telekomunikasi mudah alih, Maxis tampil dengan idea genius apabila memperkenalkan aplikasi Deria Takbir.

Apa yang menariknya, aplikasi telefon yang boleh digunakan menerusi peranti IoS itu membolehkan golongan pekak mendengar takbir menerusi visual dan getaran yang dihasilkan.

Penghasilan aplikasi itu merupakan hasil kolaborasi Maxis dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Ia turut dirujuk dengan Pegawai Hal Ehwal Agama dan Imam Masjid Ara Damansara, Mohammad Khairul Mohd Lias.

"Takbir sememangnya menjadi bahagian penting setiap kali Aidilfitri, tapi ia menjadi sesuatu yang sukar untuk diikuti oleh golongan pekak.

"Aplikasi Deria Takbir membolehkan mereka menikmati alunan itu dengan cara yang unik.

"Saya percaya ia boleh memberi perubahan kepada komuniti itu di negara kita," ujar presiden MFD, Mohamad Sazali Shaari.

Dalam pada itu, Maxis turut melancarkan filem pendek Deria Takbir Raya.

Video itu boleh ditonton menerusi platform Youtube manakala aplikasi Deria Takbir boleh dimuat turun menerusi App Store bermula 24 Mei 2019.

Artikel Lain