suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Anugerah Star Golden Hearts kembali untuk edisi ke-12, cari 10 wira tidak didendang

SGHA mencari wira yang tidak didendang seterusnya.

SETIAP kehidupan yang telah berubah pasti mempunyai kisah di sebaliknya, dan kebiasaannya, di sebalik kisah itu terdapat individu memilih membantu tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Merekalah sukarelawan, pemimpin akar umbi dan organisasi komuniti secara senyap-senyap mencipta perubahan melalui setiap tindakan kecil penuh keikhlasan.

Memasuki tahun ke-12 penganjurannya secara berturut-turut, Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) kembali bagi menghargai individu serta organisasi luar biasa yang terus mengangkat masyarakat dan mengubah kehidupan menerusi sifat penyayang serta khidmat bakti tanpa mengharapkan ganjaran.

Berteraskan kepercayaan wira-wira tidak didendang ini nadi menyatukan komuniti di Malaysia, SGHA 2026 tampil dengan set teras strategik yang diperbaharui bagi mencerminkan kepelbagaian cara rakyat Malaysia menyumbang kepada masyarakat.

Kerangka baharu yang diperluaskan itu bertujuan memastikan lebih ramai pencetus perubahan serta inisiatif sosial berimpak tinggi menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

Empat teras strategik SGHA 2026

Bagi merangkumi pelbagai bentuk kerja sosial yang memberi impak di seluruh negara, pencalonan akan dinilai berdasarkan empat bidang utama:

i. Kebajikan sosial – Menyokong keperluan asas, meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan, serta memperjuangkan keterangkuman dan aksesibiliti.

ii. Pemerkasaan komuniti dan pendidikan – Membimbing generasi muda, melengkapkan komuniti dengan kemahiran praktikal serta membangunkan pemimpin masa depan.

iii. Bantuan bencana dan krisis – Mengiktiraf petugas kecemasan, usaha pemulihan serta inisiatif yang memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan ketika krisis.

iv. Alam sekitar dan hidupan liar – Menghargai individu serta organisasi yang melindungi ekosistem semula jadi dan memperjuangkan pengurusan sisa serta sumber secara bertanggungjawab.

Panel juri yang terdiri daripada tokoh berpengalaman dalam sektor impak sosial akan memilih 10 penerima terbaik.

Pemenang akan berkongsi jumlah hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Selain hadiah wang tunai, pemenang turut akan menerima liputan media meluas menerusi platform Star Media Group, di samping berpeluang menyertai Rangkaian Pemenang SGHA, ia sekali gus membolehkan mereka berhubung dengan pencetus perubahan lain serta memperluaskan impak usaha mereka dalam jangka panjang.

Legasi menghargai pencetus perubahan

Sejak diperkenalkan, SGHA telah mengiktiraf 110 individu dan organisasi yang memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat di seluruh Malaysia.

Sepanjang tempoh itu juga, lebih RM700,000 hadiah wang tunai telah disampaikan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berbakti kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan dan tujuan yang murni.

Tahun lalu sahaja, SGHA menerima 568 pencalonan sebelum memilih lima individu dan lima organisasi yang berterusan melakukan perubahan besar kepada masyarakat.

Antara bidang menerima pengiktirafan termasuk kebajikan kanak-kanak, pendidikan, keselamatan makanan, pembangunan komuniti, pemuliharaan hidupan liar, bantuan bencana, kebajikan sosial dan kelestarian.

Pemenang SGHA tahun lalu ialah Lightup Borneo, REKAYU, Tropical Rainforest Conservation & Research Centre, OrphanCare Foundation, RESPonsible Elephant Conservation Trust, K. Balasupramaniam, Johnson Lam, Mohamed Nazri Prem Nasir, Chew Song Kong dan Adrine Lee Mooi Keow.

Sebagai organisasi media yang komited berkongsi kisah rakyat Malaysia, Star Media Group berbangga mengetengahkan wira-wira harian yang telah membantu mengubah kehidupan dan mengukuhkan komuniti.

Cara mencalonkan wira anda

Pencalonan bagi SGHA 2026 kini dibuka sehingga 23 Ogos depan.

Orang ramai dijemput mencalonkan individu atau organisasi yang secara konsisten mendedikasikan masa, tenaga dan idea untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

SGHA bukan sekadar menilai niat yang baik, sebaliknya memberi pengiktirafan kepada usaha inovatif, mampan dan terbukti memberikan impak bermakna dalam jangka panjang.

Wira ingin anda calonkan mungkin seorang guru yang membimbing pelajar melebihi tanggungjawab di bilik darjah atau sukarelawan membawa sinar harapan kepada keluarga memerlukan.

Ini termasuk pejuang alam sekitar melindungi khazanah semula jadi negara atau organisasi komuniti yang membantu masyarakat membina masa depan lebih baik.

Jika anda mengenali seseorang yang telah menyentuh kehidupan ramai melalui sifat penyayang, kepimpinan dan dedikasi mereka, inilah masanya untuk mengetengahkan jasa mereka.

Butiran penyerahan dan syarat kelayakan

Bagi melayakkan diri, individu atau organisasi mestilah telah aktif berkhidmat kepada komuniti sekurang-kurangnya 18 bulan.

Untuk pencalonan dan maklumat lanjut, layari laman web SGHA di www.sgha.com.my.

Artikel Lain