suria

Anugerah Impak Positif ESG masuk edisi keempat, iktiraf tokoh 16 kategori

Anugerah Impak Positif ESG 2025 kini memasuki edisi keempat.

ANUGERAH Impak Positif (PIA) Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kembali tahun ini dengan misi yang lebih jelas. 

Bertemakan 'Meraikan ESG dalam tindakan: Dari visi kepada nilai', anugerah ini memberi fokus kepada syarikat yang bukan sahaja komited, tetapi juga menunjukkan hasil nyata dalam mengubah industri dan komuniti, dari pengurangan jejak karbon hingga pengukuhan tadbir urus dan peningkatan kualiti hidup.

Memasuki edisi keempat, ESG PIA kini menjadi simbol kecemerlangan.

Disahkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, dan diaudit secara bebas oleh EY Malaysia, anugerah ini membuktikan bahawa tujuan dan keuntungan boleh berjalan seiring.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemampanan agenda ESG diperluas seluruh Asia

Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt, berkata, definisi kejayaan baharu di Malaysia kini bukan hanya terletak pada keuntungan, tetapi juga pada tujuan, kemajuan dan impak. 

"Ada yang memulihara sumber dan melindungi planet, ada yang melabur dalam komuniti untuk meningkatkan kehidupan. Setiap tindakan kecil atau besar membawa kita ke masa depan di mana kemampanan adalah gaya hidup, bukan sekadar aspirasi. Anugerah ini menghormati semangat kemajuan itu," ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Chan Seng Fatt.

Menjelang malam anugerah, program dialog yang menghimpunkan tokoh perniagaan, pengawal selia dan pakar kelestarian akan dianjurkan bermula dengan Power Breakfast pada 18 November depan, di Petaling Jaya.

Menampilkan ESG ByteTalks dan perbincangan panel, mereka akan membincangkan bagaimana strategi kemampanan boleh memacu keuntungan, reputasi dan membuka peluang baru menerusi amalan karbon rendah.

SMG kemudian akan menganjurkan Power Breakfast kedua di Pulau Pinang, dengan menyasarkan pengilang, pengeksport dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Selain itu, Pameran Pemenang ESG bakal menampilkan penerima-penerima terdahulu yang berkongsi kajian kes menunjukkan bagaimana ESG telah mempercepatkan transformasi dan daya saing mereka.

Sesi ini akan dilengkapi dengan klinik maya fokus yang membimbing syarikat tentang cara menyediakan borang penyerahan yang dapat menonjolkan impak ESG dengan berkesan.

Membuat penampilan sulung sebagai penaja utama anugerah, Telekom Malaysia Bhd (TM) menekankan peranan teknologi dalam memacu masa depan digital Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, melalui kerjasama dengan SMG, syarikat tersebut mahu menginspirasi semua organisasi untuk mengutamakan kemampanan dalam semua aspek operasi dan strategi mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Amar Huzaimi Md Deris.

"Sebagai Pusat Kuasa Digital menjelang 2030, kami membina ekosistem yang memacu pertumbuhan dan inovasi serta memperbaiki kehidupan komuniti.

"Sokongan kami kepada Anugerah Impak Positif ESG mencerminkan kepercayaan bahawa teknologi mesti ada tujuan lebih besar, menghubungkan komuniti, merapatkan jurang dan membuka peluang agar semua dapat berkembang dalam ekonomi digital.

"Dan kami sudah pun mengubahnya dalam bentuk tindakan. Daripada pusat data hijau yang cekap tenaga dan sedia untuk AI, kepada penyelesaian generasi akan datang seperti bandar pintar, perkhidmatan awan berdaulat dan GPU-sebagai-Perkhidmatan, kami menunjukkan bahawa inovasi dan kemampanan boleh berjalan seiring.

"Melalui Jangkau Digital TM, kami memacu keterangkuman digital dengan menyediakan sambungan yang boleh dipercayai dan teknologi penting kepada komuniti terpencil, manakala TM Future Skills melengkapkan belia Malaysia dengan ilmu dan alat untuk menjadi peneraju digital generasi akan datang," ujarnya.

Penaja bersama, IJM Rimbayu, turut senada dengan menekankan nilai ESG dalam membentuk pembangunan perbandaran dan komuniti masa depan. 

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata,  kemampanan bukanlah destinasi, tetapi satu perjalanan berterusan yang menghasilkan impak luas untuk masa depan.   

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon.

"Sokongan kami menonjolkan bagaimana nilai ESG memacu perubahan bermakna ke arah masa depan hijau dan mampan. 

"Di IJM Land, kejayaan sebenar bukan sekadar pulangan perniagaan; ia juga diukur melalui pengaruh positif yang kami bawa kepada pelanggan, rakan kongsi dan komuniti kami.

"Sokongan kami terhadap Anugerah Impak Positif ESG mencerminkan keyakinan ini. Dengan mengiktiraf dan meraikan amalan terbaik, anugerah ini menyerlahkan bagaimana nilai ESG mampu mendorong perubahan bermakna dan memberi inspirasi kepada kemajuan kolektif ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.

"Falsafah ini terus membentuk cara kami merancang dan membina. IJM Rimbayu adalah contoh nyata, iaitu mengubah tanah tandus menjadi sebuah perbandaran mampan seluas 1,879 ekar (760.41 hektar) yang kini menjadi kediaman kepada lebih 20,000 penduduk," ujarnya.

Kemuncak program ialah Malam Anugerah yang memberi penghormatan kepada tokoh dalam 16 kategori, termasuk pemuliharaan biodiversiti, pengurusan air, tadbir urus, inovasi dan kecemerlangan sektor.

Anugerah ini mengiktiraf organisasi dari skala kecil ke besar, yang menetapkan piawaian baharu kemampanan di Malaysia dan rantau ini.

"Kongsi kisah, beri inspirasi, pimpin dengan visi dan kerendahan hati. Sekarang masa untuk bertindak. Bersama, kita boleh cipta legasi yang memberi impak dan dikenang generasi akan datang" akhiri Chan.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyampaian anugerah, layari https://staresgawards.com.my/

Artikel Lain