suria

Berusia 25 tahun, pemuda ini abadikan hidup bantu kanak-kanak tanpa dokumen - “Teruskan usaha hingga ke akhir hayat”

Mukmim mahu melihat nasib kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah terbela dan mendapat pendidikan sewajarnya. Foto Instagram @mukmin_nantang & @sekolahalternatif.my

ISU kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah bukan perkara baharu malah data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2017 menunjukkan negeri itu mempunyai seramai 23,154 individu tanpa kerakyatan berumur di bawah 21 tahun.

Peningkatan angka itu berlaku disebabkan pelbagai punca termasuk kebanjiran pendatang asing tanpa dokumen dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Itu belum termasuk salah seorang daripada ibu bapa mereka bukan warganegara Malaysia yang menyukarkan proses dokumentasi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak malu!” - Generasi ke-3 pertahan legasi bapa, atuk... posmen jadi rujukan orang sesat, umpama GPS

Menyedari hakikat permasalahan itu, seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mukmim Nantang, 25, bersama 15 lagi rakan-rakannya terpanggil untuk membantu golongan tidak bernasin baik ini dengan menubuhkan Sekolah Alternatif.


Mukmim sedang mengajar pelajarnya membaca. 

Mukmim berkata, penubuhan sekolah tersebut diwujudkan bagi membantu kanak-kanak tidak bernasib baik ini mendapat pembelaan termasuk pendidikan dalam memastikan masa depan mereka terjamin.

"Kami menubuhkan Sekolah Alternatif ini kerana pendidikan adalah hak untuk semua termasuk kanak-kanak tanpa dokumen.

"Mereka mungkin tiada pengenalan diri tetapi itu tidak bererti hak mereka untuk mendapatkan pendidikan dan kemahiran dinafikan.

"Pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar mereka selain ia mampu membina personaliti dan sahsiah diri mereka agar tidak terlibat dalam gejala tidak sihat," katanya.

Menjahit antara kemahiran yang diajar kepada pelajar. 

Terkenang nasib rakan baik gagal ke universiti

Meskipun usianya masih muda, Mukmim memberitahu dia nekad untuk membantu kanak-kanak tidak bernasib baik ini apabila terkenangkan nasib rakan baiknya sejak kecil.

Cerita Mukmim, sahabat baiknya itu seorang yang pintar selain mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun kerana kemiskinan dia tidak dapat menyambung pengajian di universiti.

"Apabila saya menjejakkan kaki ke universiti saya sedar, ia bukan sahaja tempat untuk orang bijak pandai tetapi mereka yang bernasib baik dan berkemampuan.

"Sebenarnya masih ramai orang yang bijak di luar sana seperti sahabat saya tetapi faktor-faktor seperti kemiskinan, tiada dokumen dan peluang membuatkan mereka tercicir.

Mukmim mahu melihat setiap pelajarnya cemerlang dalam pelajaran agar tidak tercicir dalam masyarakat. 

"Saya membesar di Tawau dan boleh dikatakan hidup dalam keadaan selesa. Kawasan perumahan saya ada perkampungan setinggan, sejak kecil saya selalu tertanya-tanya mengapa kanak-kanak di situ tidak ke sekolah walaupun ramai di antara mereka yang bijak.

"Sebab itu saya mahu membantu kanak-kanak ini... Mereka tidak diminta dilahirkan dalam keadaan begitu dan saya mahu mainkan peranan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan," ujarnya.

Empat cawangan Sekolah Alternatif, 150 pelajar 

Bercakap lanjut mengenai Sekolah Alternatif, Mukmim memberitahu sejak ia ditubuhkan sekitar 2015, pihaknya sudah mengendalikan sebanyak empat sekolah di Tuaran, Teluk Layang, Semporna dan Tawau.

Menerusi sekolah ini, Mukmim menekankan pembelajaran asas kepada pelajar berumur tujuh hingga 16 tahun termasuk membaca, menulis, mengira selain menitikberatkan soal fardu ain.

Selain itu, di sekolah itu juga mereka turut mengajar pelbagai kemahiran seperti jahitan, kraftangan, cetakan baju, fotografi, masakan malahan seni lukisan serta lakonan teater.

Seorang guru sukarelawan mengajar iqra kepada pelajar. 

"Apabila tiada dokumen, golongan ini mudah dieksploitasi terutamanya dalam bidang pekerjaan kerana tidak tahu membaca atau mempunyai kemahiran.

"Sekurang-kurangnya apabila kami mengajar mereka kemahiran, ia memberi tambah nilai kepada diri mereka untuk demand dalam bidang pekerjaan.

"Kami ajar juga fardu ain dalam usaha memperbaiki akhlak dan membentuk sahsiah diri mereka agar tidak terlibat dalam gejala tidak sihat," katanya.

Tidak terhenti dengan itu, Mukmim memberitahu dia juga turut menjemput doktor sukarelawan untuk mengajar kanak-kanak memberus gigi selain asas menjaga kebersihan lain seperti mencuci tangan, memotong kuku agar mereka jadikan ia sebagai amalan harian.

Permintaan luar biasa ini bukti kanak-kanak ini mahukan pendidikan dan usaha kami ini diharap dapat menjadi simbolik kepada kerajaan dan masyarakat untuk sama-sama membantu mereka.

MUKMIM NANTANG

PENGASAS SEKOLAH ALTERNATIF 

Setakat ini katanya, Sekolah Alternatif mempunyai 150 pelajar dengan 30 guru sukarelawan yang bertugas secara tetap di empat sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, kekangan kewangan dan ruang menyebabkan pihaknya terpaksa mengehadkan pengambilan pelajar walaupun mendapat permintaan tinggi.

"Membuka sekolah ini sebenarnya bukan mudah kerana ia memerlukan kos tinggi setiap bulan dan atas sebab itu juga kami terpaksa mengehadkan pengambilan pelajar.

"Bagaimanapun permintaan luar biasa ini bukti kanak-kanak ini mahukan pendidikan dan usaha kami ini diharap dapat menjadi simbolik kepada kerajaan dan masyarakat untuk sama-sama membantu mereka," jelasnya.

Mukmim bersama rakan seperjuangan yang turut membantu menguruskan Sekolah Alternatif.

Berharap usahanya bersama rakan-rakan akan dipermudahkan, Mukmim memberitahu dia nekad untuk terus membantu kanak-kanak tidak bernasib baik ini dan lebih ramai pihak dapat tampil menghulurkan bantuan.

"Apabila melihat kanak-kanak ini mula boleh membaca, mengaji malah pandai menjahit, itulah kegembiraan dan kepuasan yang saya cari. Insya-Allah saya akan teruskan usaha ini sampai ke akhir hayat saya," katanya.

Bagi yang ingin membuat sumbangan atau mengetahui lebih lanjut mengenai Sekolah Alternatif boleh melayari Instagram atau Facebook Sekolah Alternatif.

Artikel Lain