suria

Opah 83 tahun masih memandu hadiri kuliah PhD, rela guna kanta pembesar untuk ulang kaji

Datin Siti Hendon Abdullah masih memandu walaupun usianya sudah mencecah 83 tahun.

PADA November 2018, seorang lelaki dikenali sebagai Adam Zainal memuat naik catatan di Twitter tentang nenek kesayangannya yang berjaya menamatkan pengajian di peringat Sarjana dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Graduan berusia 83 tahun itu menjadi perhatian apabila twit berkenaan mendapat tanda suka sebanyak 15,000 kali, selain 27,000 ulang kicau di laman sosial itu.

Meskipun gembira dengan pencapaiannya, namun Datin Siti Hendon Abdullah masih belum berpuas hati dan mahu terus menimba ilmu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ada barang hilang kami sekeluargalah dituduh mencuri” - Alha Alfa dedah perit hidup miskin selepas hadiahkan ibu kereta Merc

ARTIKEL BERKAITAN: Diserang kanser limfoma, hidup Dr Mukhlis beralih dari jarum suntikan ke berus solekan

Atas dasar itu, Siti Hendon yang juga bekas pengetua sebuah sekolah menyambung pengajiannya ke peringkat PhD dalam bidang sama baru-baru ini.

"Walaupun saya sudah berusia 80 tahun namun saya masih seronok belajar perkara baru, membaca buku, majalah dan autobiografi. Tiada pengakhiran dalam menimba ilmu," katanya kepada The Star.

Siti Hendon menyambung pengajian ke peringkat PhD dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Namun katanya, menyiapkan PhD bukan tugas mudah terutamanya dengan masalah penglihatan akibat faktor usia.

"Membaca tulisan yang kecil adalah cabaran besar buat saya jadi saya terpaksa menggunakan kanta pembesar tetapi itu bukan alasan untuk saya mengalah.

"Saya teruja setiap kali menghadiri kuliah, malah saya memandu sendiri ke kolej yang hanya 10 minit dari rumah," ujarnya.

Sudah mempunyai dua cicit, Siti Hendon memberitahu dia sering menghabiskan masa sehingga empat jam untuk mengulang kaji.

"Belajar semakin mudah kerana teknologi yang sudah berkembang. Saya suka Google... ia menyelamatkan hidup saya.

"Tambahan pula ia mudah digunakan oleh sesiapa sahaja, dengan sekali tekan semua informasi dapat kita cari. Ia seolah-olah perpustakaan digital yang boleh di akses di mana sahaja," katanya.

Walaupun mengalami masalah rabun namun ia tidak menghalang Siti Hendon menggengam segulung ijazah.

Bagaimanapun dedahnya, sebelum ini dia tidak pernah mengambil berat tentang teknologi apatah lagi menggunakan gajet canggih dalam kehidupan seharian.

"Anak-anak cuba memujuk saya menggunakan gajet tetapi saya tidak ambil peduli kerana merasakan saya boleh hidup tanpanya, namun keadaan berubah apabila saya menyambung pengajian di Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar).

"Pada awalnya sukar juga hendak guna komputer riba termasuklah PowerPoint, Notepad dan Word, mujurlah ada cucu yang mengajar.

"Insiden terlupa menekan butang 'save' dan perlu tulis semula daripada awal adalah perkara biasa," ujarnya.

Umur hanyalah nombor...

Siti Hendon memberitahu dia menyambung pelajaran kerana berasa bosan selepas bersara pada 1991.

Katanya, selepas bersara dia banyak menghabiskan masa menghadiri kelas agama selain menguruskan rumah tangga namun dia merasakan masih mempunyai banyak masa lapang.

Saya teruja setiap kali menghadiri kuliah malah saya memandu sendiri ke kolej yang hanya 10 minit dari rumah," ujarnya.

Datin Siti Hendon Abdullah 

Bimbang tidak berbuat apa-apa boleh menyebabkan masalah kemurungan atau demensia, Siti Hendon akhirnya mengambil keputusan kembali belajar.

"Saya mengajar selama 37 tahun dan saja suka mengajar kanak-kanak di peringkat pra-sekolah malah merasakan ia peringkat paling penting dalam perkembangan mereka," jelasnya.

Malah katanya, dia pernah menghadiri 50 kursus dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dalam tempoh 25 tahun, selain pernah membuka sebuah taska berdekatan kediamannya pada 1996.

Bagi membolehkan dirinya sentiasa segar dan sihat, Siti Hendon berkata, dia sentiasa mengawal pemakanan termasuk mengambil lebih banyak sayuran hijau dan mengurangkan nasi dan protein dalam dietnya.

Bagiamanapun katanya, dia gemar mengambil santan dalam makanannya kerana ia mengandungi vitamin C yang baik untuk kulit.

"Bersenam adalah rutin harian dan kebiasaannya saya akan berjogging di sekitar kawasan perumahan. Selain itu saya masih melakukan kerja-kerja rumah," katanya yang teringin menyertai silat dan tarian zapin.

Datin Siti Hendon Abdullah, PhD