suria

Kenali 10 pelakon cilik Hollywood terkaya di dunia, ada yang dibayar RM1.2 juta satu episod

Tiga selebriti ini menempa populariti sejak bergelar kanak-kanak.

TIADA rahsia lagi dunia glamor dan kekayaan adalah dua perkataan yang tidak dapat dipisahkan dengan Hollywood.

Daripada jet peribadi kepada rumah agam bernilai jutaan ringgit, tiada kemewahan yang tidak dapat dikecapi oleh sesiapa sahaja yang bergelar bintang di sana.

Bukan sahaja pelakon dewasa, tetapi selebriti cilik juga meniti dunia glamor dan membina empayar kekayaan selagi bakat mereka diperlukan.

Kenali 10 pelakon kanak-kanak Hollywood terkaya sepanjang zaman yang disenaraikan oleh portal The Richest bagi 2019.

10. Chloe Grace Moretz

Dilahirkan pada 1997, selebriti jelita ini sudah menempa nama dalam dunia lakonan sejak muncul dalam filem The Amityville Horror pada usia tujuh tahun.

Nama Chloe juga tercalon pada acara anugerah pada tahun yang sama.

Kerjaya Chloe semakin mekar selepas terbabit dalam filem Hugo, Kick-Ass, Diary of a Wimpy Kid, If I Stay dan Neighbours 2.

Pada 2019, nilai bersih pendapatan pelakon berusia 22 tahun itu dianggarkan sekurang-kurangnya AS$12 juta (RM50 juta).

9. Macaulay Culkin

Macaulay merupakan pelakon cilik paling popular di dunia sejak muncul dalam filem Home Alone (1990) dan sekuelnya, Home Alone 2: Lost in New York (1991).

Dia juga menjadi pelakon kanak-kanak pertama yang menerima bayaran AS$1 juta (RM4 juta) ketika membintangi filem My Girl pada 1991.

Kini, Macaulay menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah laman web penerbitan digital miliknya dengan nilai kekayaan dianggarkan AS$15 juta (RM62 juta).

8. Angus T. Jones

Angus memulakan karier lakonannya menerusi program televisyen popular Two and a Half Men pada usia 10 tahun iaitu pada 2003.

Ketika menjayakan beberapa musim terakhir siri tersebut, Angus dibayar sebanyak AS$300,000 (RM1.2 juta) bagi satu episod.

Namun, selepas meninggalkan program tersebut, Angus berhenti berlakon dan mula bekerja dalam bidang pengurusan untuk syarikat acara dan multimedia Tonite.

Setakat 2019, nilai kekayaan Angus dianggarkan berjumlah AS$15 juta (RM62 juta).

7. Christina Ricci

Bakatnya mula dicungkil menerusi filem Mermaids pada 1990, Christina bagaimanapun popular dengan watak Wednesday Addams dalam The Addams Family pada 1991.

Pada 2011, Christina mula berlakon dalam program televisyen baharu, Pan Am.

Walaupun rancangan itu dibatalkan selepas musim pertamanya, Christina dilaporkan menerima bayaran AS$125,000 (RM516,500) setiap episod.

Kini, nilai kekayaan Christina dianggarkan berjumlah AS$18 juta (RM74 juta).

6. Brooke Shields

Brooke mula menjadi model peragaan sebelum ulang tahun pertamanya dan terus menjalani penggambaran beberapa iklan serta kempen untuk jenama seperti Calvin Klein di usia remajanya.

Pada usia 14 tahun, Brooke memecahkan rekod menjadi model termuda yang muncul di sampul depan majalah Vogue.

Pada 2019, nilai kekayaan pelakon berusia 52 tahun itu dianggarkan berjumlah AS$20 juta (RM82 juta).

5. Frankie Muniz

Pada usia 15 tahun, Frankie menerajui watak utama dalam siri televisyen popular Malcolm in the Middle yang bertahan selama tujuh musim.

Laporan media mendedahkan aktor yang kini berusia 33 tahun itu menerima bayaran sebanyak AS$30,000 (RM123,960) setiap episod.

Pada 2019, nilai kekayaan Frankie dianggarkan berjumlah AS$40 juta (RM165 juta).

4. Selena Gomez

Selena muncul di televisyen sebagai Gianna muda dalam rancangan kanak-kanak Barney & Friends dari 2002 hingga 2004.

Tidak lama selepas itu, dia mendapat kepercayaan untuk menggalas watak utama sebagai Alex Russo dalam rancangan TV Disney, Wizards of Waverly Place.

Selena kemudian mencipta nama dalam dunia nyanyian dan nilai kekayaan bekas kekasih Justin Bieber itu dianggarkan berjumlah AS$50 juta (RM206 juta).

3. Daniel Radcliffe

Daniel dikenali sebagai Harry Potter hampir ke mana sahaja dia pergi.

Pelakon berbangsa Inggeris itu terkenal watak tersebut sehingga menjayakan lapan filem Harry Potter yang berjaya berjaya meraih AS$6.5 bilion (RM27 bilion).

Daniel juga muncul dalam filem-filem popular seperti Now You See Me 2 dan The Woman In Black.

Setakat 2019, nilai kekayaan Daniel dianggarkan berjumlah AS$110 juta (RM454 juta).

2. Miley Cyrus

Miley menjadi terkenal dengan siri hit Disney Hannah Montana yang ke udara selama lima tahun.

Isteri Liam Hemsworth itu mengembangkan karier lakonan dan nyanyiannya secara perlahan-lahan.

Setakat 2019, nilai kekayaan Miley dianggarkan berjumlah AS$160 juta (RM661 juta).

1. Mary-Kate & Ashley Olsen

Kembar dinamik ini muncul di layar perak buat kali pertama sebagai pelakon kanak-kanak dalam sitcom Full House.

Kembar Olsen itu kemudiannya menubuhkan syarikat Dualstar yang menghasilkan pelbagai projek video, majalah dan filem yang menampilkan mereka berdua.

Pada 2004, Dualstar melancarkan filem terkenal New York Minute yang memperoleh AS$21 juta (RM86 juta) di seluruh dunia.

Selepas beberapa kegagalan dalam filem, kembar Olsen itu mencuba nasib dengan melancarkan fesyen dan produk wangian yang masih bertahan sehingga hari ini.

Setakat 2019, nilai kekayaan mereka berdua dianggarkan berjumlah AS$400 juta (RM1.6 bilion).

pelakon kanak-kanak, Hollywood

Artikel Lain