Mundar-mandir di kaki lima: Pontianak sergah dimakinya balik... - Figura | mStar

Mundar-mandir di kaki lima: Pontianak sergah dimakinya balik...

Syed Amran Al Yahya berkongsi kisah berjalan kaki balik ke Batu 14 Gombak dari tengah ibu kota pada tahun 2005.

"SAYA takkan lupa kejadian berjalan kaki balik ke Batu 14 Gombak dari tengah ibu kota pada tahun 2005," ujar Syed Amran Al Yahya.

"Sudahlah letih menapak balik rumah selepas kena tangkap polis dan diheret ke balai, pukul 3 pagi disergah pula hilaian pontianak.

"Punya letih dan sakit hati, saya menjerit maki pontianak tu balik sampai makhluk itu senyap dan hilang."

Itu antara pengalaman magis lagi lucu yang dialami Syed Amran.

Lalu dia tersenyum menceritakan kisah 14 tahun lalu. Hari yang sangat menyedihkan, katanya. Dia keluar dari rumah sewanya di Batu 18 Gombak, dengan hanya berbekalkan RM2 buat tambang bas ke Kuala Lumpur.

Sebaik sampai di Hentian Bas Klang - setelah berjalan mencelah laluan di Bukit Bintang menuju ke restoran makanan Cina bersebelahan pawagan Rex - dia tidak sangka ada operasi besar-besaran. 

Belum pun selesai mendendangkan dua buah lagu dan sesen pun belum sempat dikutip, tiba-tiba polis buat serbuan dan dia ditahan. Hidup tidak mudah ketika mula menyanyi di jalanan sejak 2003. Penyanyi jalanan dianggap pengemis dan kutu rayau ketika itu, katanya.

"Penat bro masa tu..." kata Syed Amran.

Syed Amran ketika mengadakan persembahan di sebuah acara.

"Aku nak kumpul RM2,000 beli motosikal cabuk pun tak mampu. Punyalah siksa hidup aku. Nyanyi tepi restoran layan pelancong mabuk, dapatlah RM100 sehari. Aku nyanyi dari 10 malam sampai 3 pagi."

Setiap kali habis menyanyi, dengan pendapatan yang tak seberapa itu, dia tidak mampu balik ke Batu 18 Gombak menaiki teksi. Kosnya RM40. Jadi, sementara menanti hari cerah, dia tidur di tepi jalan.

"Tidur pun kena jaga-jaga," kata Syed Amran lagi.

"Hilang gitar kalau dicuri orang, habislah mata pencarian aku. Mana nak cekau RM300 nak beli gitar baru"

Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini masih ingat, satu malam, ketika sedang menyanyi, operasi pembersihan kutu rayau, pengemis dan penagih dadah, menyebabkan dia ditangkap. Hampir 200 orang ditahan dan diseret ke balai polis dan ditahan hingga awal pagi.

"Menitis airmata bro... bini dan anak-anak di rumah menunggu nasi dan susu. Bapa pula kena gari kabel tie dan duduk bertinggung depan balai," cerita Syed Amran tentang perjalanan dunia muziknya yang panjang di ibu kota.

Merantau dengan gitar buruk dan mencuba nasib untuk bertapak dalam industri muzik, lagu-lagu awalnya mendapat tempat di kalangan penyanyi pop rock. Syed Amran mencipta nama pada 1990, apabila lagu Biasan nyanyi To'ki meletup di pasaran.

Selain komposer, dia turut bekerja sebagai kru persembahan pentas kumpulan Iklim. Malah, menjadi pembantu khas (rookie) kepada Saleem.

Sekarang, aku dah pindah ke Sentul. Bolehlah beli kereta kecil dan mudah keluar busking bawa gitar dan set sistem bunyi. Nyanyi pun hanya di warung mamak Jalan Bonus. Bolehlah dapat RM100 sehari. Malam balik naik kereta dan tak adalah lagi dikejar pontianak.

SYED AMRAN AL YAHYA

"Lima belas tahun dalam industri muzik, akhirnya, aku pilih busking. Nyanyi di Sogo, Medan Selera Stadium Raja Muda dan warung mamak di Jalan Bonus," katanya lagi.

Dua anak Syed Amran adalah OKU. Anak sulung berusia 16 tahun mengidap 'caribal palsy'. Anak kedua berusia 14 tahun mengidap autisme.

"Sekarang, aku dah pindah ke Sentul. Bolehlah beli kereta kecil dan mudah keluar basking bawa gitar dan set sistem bunyi. Nyanyi pun hanya di warung mamak Jalan Bonus. Bolehlah dapat RM100 sehari. Malam balik naik kereta dan tak adalah lagi dikejar pontianak," katanya lucu.

Cuma, yang selesa sekarang, imej dan hak buskers bukan lagi dianggap mengemis. Mereka kini bebas menyanyi dengan permit khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami boleh menyanyi di Dataran Sogo, sepanjang laluan pejalan kaki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekitar Bukit Bintang dan stesen-stesen LRT. Jadi, permit DBKL jadikan kami artis berlesen. Mudah nak busking cari rezeki," jelas Syed Amran.

Menurutnya, zaman dihalau macam pengemis dan peralatan dirampas dan disita sudah berlalu.

Sejak 2014, penyanyi jalanan tidak lagi dikejar polis dan digari serta dikurung dalam trak 'black maria'. Penyanyi jalanan kini lebih dihormati.

"Masyarakat pun sudah faham. Buskers ialah anak seni yang mencari rezeki. Kita menyanyi di jalanan dan hiburkan orang. Ada duit boleh beri, tak ada tak apa. Anda lepak minum teh dan saya menyanyi," katanya.

Syed Amran bersama rakan-rakannya.

Sekali pun dunianya kini di jalanan, Syed Amran masih aktif merakamkan album. Lagu Selamat Malam Rohingya digubah khas tanda simpati pada mangsa tragedi Rakhine di Myanmar.

Manakala lagu Rindu Salma dijadikan lagu kempen Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk projek menyediakan bekalan air bersih kepada dua juta mangsa perang dan kebuluran di Migadishu, Somalia.

"Mana yang kita protes, kita suarakan. Itu karya seni dan hak kita untuk berjuang," tambahnya lagi.

Malah, lagu Selamat Malam Rohingya dan Isandra Palestina akan dirakam dalam versi bahasa Inggeris oleh radio WNYR di New York, Amerika Syarikat dalam masa terdekat.

Urusan kontrak sudah dilakukan secara online.

"Saya benarkan. Royalti ala kadar pun tak apa asal suara membela Rohingya dan Palestin didengar dunia," katanya.

Syed Amran kini menyanyi tujuh hari seminggu di warung mamak di bawah bangunan Selangor Mansion, Jalan Bonus, Masjid India. Suaranya boleh didengar mulai jam 10.00 malam hingga 3.00 pagi.

Bagi peminat medley lagu-lagu 70an hingga awal tahun 2000, Syed Amran menjanjikan memori throwback. Susunan persembahan lagu-lagu malar segar dalam koleksi nyanyiannya.

(Ini adalah kisah pertama di bawah siri Mundar-Mandir Di Kaki Lima iaitu satu naratif mengenai kisah hidup di jalanan hasil catatan dan pemerhatian wartawan dan para penulis veteran).

Batu 14 , Gombak , pontianak , busking

Artikel Lain

Tun M pandu Proton Saga baharu