suria

5 sayuran ini dibenci kanak-kanak... Ketahui cara buat mereka menyukainya

Selera makan kanak-kanak memang berbeza berbanding orang dewasa.

ENTAH mengapa kebanyakan kanak-kanak mempunyai satu sikap yang sama iaitu tidak suka makan sayuran!

Memang cukup payah kalau suruh makan sayur malah ada yang sanggup tak makan atau mengasingkan semua sayur-sayuran yang ada dalam makanan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Sering diserang masalah kembung perut? Apa kata cuba 5 petua ini

Tapi kanak-kanak memang mempunyai selera yang berbeza berbanding orang dewasa jadi sebagai ibu bapa, anda harus memainkan peranan dalam mencari idea untuk memastikan mereka makan sayur.

1. Brokoli

Sayur yang satu ini cukup dibenci oleh kanak-kanak tetapi ia banyak vitamin dan mineral serta serat.

Cara mengolah brokoli agar lebih disukai kanak-kanak adalah dengan mencampurkan bahan-bahan lain bagi menjadikannya lebih menarik.

Anda boleh cuba resepi campuran brokoli, keju dan hirisan daging yang dibungkus dalam pastri sebelum dibakar. Anak-anak pasti suka dan sayuran itu tidak akan kelihatan.

Cara lebih berkesan adalah dengan melibatkan mereka ketika memasak. Tunjukkan cara memotong sayur. Minta dia buang bahagian yang tak disukainya.

2. Saderi

Saderi sumber vitamin, mineral dan antioksidan yang baik terutamanya jika dimakan mentah bagi memperkuatkan sistem pertahanan tubuh serta membantu mengatasi masalah penghadaman.

Atau boleh juga memakannya mentah dan ditambahkan cocolan sehat, seperti yogurt atau mayonnaise rendah lemak untuk camilan atau makanan ringan buat anak-anak.

Jika anak anda tak suka, cuba buat jus saderi yang dicampur dengan epal sebagai minuman yang enak.

3. Peria

Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa pun ada yang tak suka peria. Tetapi ia adalah antara sayuran yang mempunyai banyak khasiatnya.

Bagi membuatkan anak-anak menyukainya, buang bijinya dan kemudian rebus sebelum ditumis untuk menghilangkan rasa pahitnya.

Bagi menambah selera, campurkan ayam atau daging cincang bagi menarik perhatian anak-anak.

4. Kobis

Selain brokoli, kobis antara sayuran popular yang dibenci kanak-kanak kerana ia mempunyai bau yang kuat dan tidak menyelerakan.

Bagi menarik perhatian kanak-kanak, apa kata cuba jadikannya kerepek. Mudah, hanya potong kobis dan gaul rata bersama minyak zaitun dan panggang dalam oven.

5. Taugeh

Taugeh cukup baik untuk kanak-kanak yang sedang membesar kerana ia bukan sahaja kaya dengan pelbagai vitamin tetapi mampu mengurangkan risiko kanser, penyakit berkaitan kardiovaskular dan osteoporosis pada kanak-kanak.

Bagi menarik perhatian kanak-kanak, apa kata cuba olah sayuran itu dengan meletakkanya di dalam sandwich atau membuat popiah dengan meletakkan makanan kegemaran mereka seperti ayam atau sosej.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Kanak-Kanak, Kobis, Brokoli, Taugeh, Peria, Saderi

Artikel Lain