suria

Rasulullah juga pernah dukung bayi ketika solat... Perbuatan ini tidak salah tapi ada syaratnya

Ramai memuji sikap lelaki ini yang mengendong anaknya ketika menunaikan solat Jumaat minggu lalu. Foto Facebook SHAREEN OMAR

JUMAAT lalu, tular kisah seorang lelaki sedang mendukung bayi dipercayai anaknya yang dapat dilihat sewaktu siaran langsung solat Jumaat di saluran TV1.

Rakaman itu yang tular selepas ia dikongsi menerusi laman Facebook Shareen Omar dan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya memuji sikap lelaki berkenaan kerana tidak mengabaikan tanggungjawab menunaikan solat walaupun terpaksa mengendong bayi itu.

Namun di sebalik foto itu, terdapat persoalan apakah punca lelaki itu terpaksa membawa bayinya ke masjid?

ARTIKEL BERKAITAN: Anak, bapa sama-sama bagus! Ramai kagum tengok lelaki dukung bayi sewaktu siaran langsung solat Jumaat - “Sampaikan salam aku kat dia ya”

Mengulas mengenai perkara itu daripada sudut pandangan Islam, pendakwah bebas, Wan Dazrin Wan Din memberitahu isu berkenaan sebenarnya sudah diperjelaskan dengan baik oleh barisan ulama dan tidak sepatutnya menjadi perdebatan.

Pandangan dan jawapan ulama dalam mazhab Syafie dalam hal itu juga jelas menerusi hadis Bukhari, Imam Muslim dan al-Nasa'i. Riwayat daripada Abi Qatadah Al-Ansari RA yang maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah S.A.W dan dia adalah anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya. - [Hr.Bukhari].


Antara foto yang tular di Facebook. 

Wan Dazrin berkata, beberapa pandangan ulama mengenai hadis ini ada mengatakan ia khusus untuk Nabi Muhammad S.A.W. sahaja, jadi kita tidak boleh lakukan.

Ada pula mengatakan ia boleh dilakukan tetapi apabila berada dalam keadaan darurat sahaja.

"Ia seperti jika kita tidak mengendong anak kecil itu, takut nanti akan mendatangkan mudarat apabila si anak akan berjalan dan pergi ke tempat yang membahayakan dirinya.

"Namun pandangan-pandangan ini ternyata disebutkan oleh Imam an Nawawi rahimullah sebagai 'Batil' (pandangan yang tidak mempunyai dalil yang menyokongnya)," katanya.

Wan Dazrin memberitahu hadis ini bersifat umum dan termaktub pada semua, bahkan Imam an Nawawi turut menyebut, hadis itu yang menjadi hujah mazhab Syafie dan mazhab lain yang bersependapat dengannya.

Ini bermaksud katanya, dibenarkan untuk kita solat mendukung bayi sama ada yang perempuan atau lelaki, dengan syarat yang didukung itu diyakini suci daripada najis, tidak kiralah sama ada solat fardu atau pun sunat (kedua-duanya dibenarkan).

Malah sekiranya individu tersebut adalah seorang imam, makmum atau pun solat bersendirian kata Wan Dazrin, kesemuanya dibenarkan untuk solat mendukung bayi atau kanak-kanak kecil (merujuk kepada Syarh Sahih Muslim, Jilid 5, Halaman 32).

"Jadi untuk kisah 'brother' kita yang solat sambil mendukung anak, sekiranya dia menyakini anaknya suci dari najis, maka tidak langsung menjadi kesalahan perbuatan itu, bahkan bersesuaian dengan sunnah Rasulullah.

"Hadis di atas umumnya mempamerkan keperibadian Nabi S.A.W. kita yang sangat penyayang dengan anak-anak kecil dan prihatin dengan mereka. Sepatutnya kita juga perlu hayati hadis ini dan mencontohinya agar bermanfaat untuk kita semua," jelasnya.

Addin, Solat, Bayi, Masjid

Artikel Lain