suria

Tak perlu risau percutian atas kapal mewah, Genting Dream ada ruang khas makanan halal

MELIHAT lautan luas terbentang sambil menikmati secawan kopi dari balkoni kabin kapal layar Genting Dream menjadi permulaan hari yang cukup indah.

Menjadi kapal pelayaran mewah pertama yang menawarkan hidangan halal di rantau ini, Genting Dream pilihan tepat untuk mereka yang inginkan percutian menyeronokkan tanpa perlu runsing memikirkan soal makanan dan minuman.

Pelbagai jenis makanan cita rasa Asia disediakan di The Lido, Genting Dream.

Terletak di dek 16 kapal, The Lido adalah seksyen halal khusus buat penumpang Muslim yang menawarkan hidangan bufet istimewa untuk sarapan pagi, tengah hari dan malam.

Menurut Chef Eksekutif Genting Dream, Saifol Iskandar, terdapat permintaan yang tinggi agar hidangan halal dan mesra Muslim diperkenalkan dalam kapal layar.

"Soal makanan halal antara isu yang dibimbangkan khususnya dalam kalangan penumpang Muslim.

"Namun selepas memperkenalkan seksyen khas halal di restoran The Lido ini, sambutan daripada penumpang amat memberansangkan," katanya kepada mStar Online.

Hidangan bufet di restoran ini mendapat persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kapal layar Genting Dream memiliki keluasan 335 meter yang berpangkalan di Singapura ini memiliki 19 dek dengan 1,647 bilik dan mampu menampung sehingga 3,352 penumpang pada satu-satu masa.

Ia dilengkapi dengan taman tema air, spa, gimnasium, salun, mini golf, trek jogging, rock climbing, pusat hiburan, pusat persidangan, bilik mesyuarat, perpustakaan dan teater.

Pelbagai kemudahan tersedia di atas kapal layar mewah ini.

Turut disediakan pusat perubatan, pejabat, kelab permainan kanak-kanak dan remaja, pusat hiburan dan permainan, kedai gambar, pusat dobi serta khidmat komunikasi e-mel satelit.

Tidak mahu terikat dengan aktiviti disediakan, penumpang bebas melakukan pelbagai aktiviti yang dirancang sendiri dengan kemudahan yang tersedia.

Pakej percutian bermula serendah RM1,800 dengan destinasi menarik seperti Pulau Pinang, Langkawi, Surabaya, Bali Utara, Pulau Macleod dan Phuket untuk dipilih!

Artikel Lain