suria

Cubalah Nasi Kucing, beli Bakpia kalau ke Jogjakarta

Sejenis makanan dikenali sebagai Bakpia boleh didapati dengan mudah di sekitar Jalan Malioboro, Jogjakarta.

JAUH perjalanan, luas pemandangan. Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke Kota Jogjakarta, Indonesia, pasti anda tidak menafikan kota yang terkenal dengan keindahan Keraton ini punya tarikan budaya yang cukup unik.

Satu satu budaya atau aktiviti malam yang cukup popular di kalangan warga kota Jogjakarta ialah menikmati makan malam di kaki-kaki lima kedai atau di tepi-tepi jalan.

Suasana meriah yang bermula kira-kira jam 6.00 petang ini berlanjutan sehingga ke tengah malam. Apa istimewanya tempat-tempat makan atau gerai yang dikenali sebagai ‘angkringan’ dalam kalangan penduduk tempatan ini?

Kalau anda hendak tahu, makanan yang dihidangkan di sini cukup sederhana, tetapi punya keunikkan tersendiri. 

Makan sambil bersila di kaki lima jalan merupakan aktiviti popular di kota Jogjakarta.

Dikenali sebagai ‘Nasi Kucing’, hidangan yang mencerminkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat ini dijual pada harga yang cukup murah iaitu sekitar Rp3000(RM0.90) ke Rp10000 (RM3.00).

Nasi Kucing kebiasaanya ditambah sambal, ikan, dan tempe, lalu dibungkus menggunakan daun pisang. Namun, untuk menambah selera, terdapat banyak lauk-pauk lain yang boleh dibeli untuk dinikmati bersama Nasi Kucing. Lauk-lauk tambah ini juga dijual pada harga yang murah.

Agak-agaknya kenapa hidangan ini dinamakan Nasi Kucing? Bukanlah kerana hidangan itu disediakan khas untuk kucing, tetapi kerana saiznya yang kecill seolah-olah saiz hidangan nasi yang sering diberikan kepada kucing peliharaan.

Antara pilihan lauk yang boleh ditambah untuk dinikmati bersama Nasi Kucing.

Pengalaman makan di angkringan ternyata memang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika menikmatinya dengan bersila di lantai. Jika datang bersama rakan-rakan, sebungkus nasi memang tidak cukup, paling kurang tiga bungkus.

Sambil menikmati hidangan, akan ada pemuzik-pemuzik jalanan yang akan menghiburkan. Terutamanya di sekitar Jalan Malioboro.

Mungkin ada yang bimbang dengan tahap kebersihan angkringan ini, tepuk dada tanya selera. 

Mengikut pengalaman penulis yang sudah tiga kali menikmati Nasi Kucing bersama rakan-rakan ini, tidak ada lagi kes keracunan makanan. Satu tip, pilih angkringan yang bersih dan terkenal dalam kalangan penduduk setempat. Buat carian di Google dahulu untuk dijadikan panduan.

Gerai atau Angkringan yang menjadi tumpuan warga kota Jogja untuk menikmati makan malam.

Antara angkringan yang popular di kota Jogjakarta ialah Angkringan Lek Man, Angkringan Pak Jabrik, Angkringan Wijilan, Angkringan Pak Jack dan Angkringan Kopi Joss Lik Man.

Jadi, kalau ke Jogjakarta, jangan lupa singgah menikmati makan makan di angkringan. Makanan enak, poket pun tak rabak. Kalau ambil lauk banyak pun, mungkin habis Rp30,000 (RM9.00) seorang termasuk minuman.

Ole-ole untuk dibawa pulang

Jika ke Jalan Malioboro memang banyak pilihan barang-barang yang boleh dijadikan pilihan. Rantai kunci, magnet peti sejuk, t-shirt, baju batik, kain batik memang mudah untuk dicari.

Pelbagai pilihan nasi yang dijual pada harga di antara Rp3000 ke Rp10,000.

Bagaimanapun, cuba lari daripada kebiasaan. Beli Bakpia pula yang merupakan salah satu ikon pelancongan di Kota Jogjakarta. Sekurang-kurangnya teman-teman atau saudara-mara boleh menikmati menu negara seberang.

Kuih berbentuk bulat ini mempunyai pelbagai perisa dan ia mudah dibawa pulang kerana dipek di dalam kotak kecil.

Jika diperhatikan, biskut yang biasanya berintikan kacang hijau, keju atau kacang merah ini punya persamaan dengan sejenis biskut masyarakat Cina. Selepas buat carian di google tentang ternyata biskut ini ada kena-mengena dengan masyarakat Cina.

Menurut Wikipedia, Bakpia adalah makanan yang dibuat daripada campuran kacang hijau dengan gula, yang dibungkus dengan tepung, lalu dipanggang. Istilah Bakpia sendiri adalah berasal dari dialek Hokkien, iaitu dari kata ‘bak ’yang bermaksud daging dan ‘pia’ yang bermaksud kuih.

Bakpia Pathok paling popular dan terkenal dengan keenakkannya.

Kalau versi originalnya, Bakpia berintikan daging babi, tetapi memandangkan masyarakat Jogjakarta majoritinya beragama Islam jadi ia telah diubah suai. Bakpia Jogjakarta yang cukup terkenal ialah Bakpia Pathok. Ini kerana Bakpia ini berasal dari daerah Pathok, Jogjakarta.

Tidak susah mencari Bakpia ini, boleh dikatakan ia ada di mana-mana. Kalau korang membeli-belah di Jalan Malioboro, ada sahaja yang menjual Bakpia ini di gerai-gerai tepi jalan. Cuma rasanya tidak seenak Bakpia Pathok 25. Namun, harganya jauh lebih murah iaitu di antara Rp10,000 (RM3.00) ke Rp15000 (RM4.50) sekotak.

Kalau mahu yang enak dan segar, carilah kedai Bakpia Pathok 25. Di sini Bakpia boleh dibeli panas-panas dan harganya bermula dari Rp30,000 (RM10.00) sekotak, bergantung kepada perisa.

Jogjakarta, travel, #mstartravel

Artikel Lain