suria

Ini Info Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Ke Koh Lipe

-foto Hotels.com

GELARAN 'Maldives Of Thailand' yang diberikan kepada Pulau Lipe atau Koh Lipe sudah cukup kuat untuk menarik pelancong datang dan menyelongkar keindahan yang terdapat di pulau ini.

Terletak 70 kilometer dari pantai barat laut Andaman, tidak hairanlah nama Koh Lipe menjadi sebutan ramai terutama pelancong dari Eropah untuk datang bercuti ke sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

-fotoBERNAMA

Orang Malaysia yang sebelum ini ramai memilih melancong ke Phuket, Krabi mahupun Koh Samui kini semakin mesra dengan Koh Lipe untuk berehat sambil menikmati keindahan lautnya yang jernih berwarna biru kehijauan.

Selain bersantai, aktiviti  menyelam dan bersnorkel paling tidak boleh dilepaskan apabila sudah sampai ke sini.

Terumbu karang yang berwarna-warni dengan pelbagai hidupan laut yang mempersonakan dijaga sebaiknya kerana Koh Lipe menjadi pintu masuk utama ke taman marin iaitu Taman Negara Tarutao yang telah diwartakan pada tahun 1974.

TERBAYANGKAN PULAU TIOMAN

Koh Lipe merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di kepulauan Adang-Rawi.

Penduduk asal pulau ini, suku Chao Ley dalam bahasa Thailand atau lebih dikenali sebagai gipsi laut atau orang laut yang dikatakan berasal dari Malaysia.

Mereka yang memberikan nama pulau ini Koh Lipe.

Penulis yang datang ke pulau permata Thailand itu baru-baru ini tidak dapat lari daripada membandingkannya dengan pulau yang ada di Malaysia terutama Pulau Tioman, Pahang.

-fotoBERNAMA

Melihat kepada suasana pantai dan persekitarannya memang tidak jauh beza cuma di sini pulaunya lebih kecil dan air lautnya lebih jernih.

Menaiki feri dari Telaga Habour, Langkawi ke Koh Lipe hanya mengambil masa kita-kira 1 jam 20 minit atau boleh juga dari Jeti Kuah dengan perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit.

Laluan lain untuk sampai ke Koh Lipe, melalui  Wang Kelian, Perlis menuju ke Pak Bara di utara Satun dan kemudian menaiki bot laju kira-kira 90 minit perjalanan.

Menurut seorang daripada petugas di Telaga Habour, jika cuaca panas terik, Koh Lipe boleh dilihat dari Langkawi.

Ketiadaan jeti di Koh Lipe menyebabkan semua penumpang yang menaiki feri perlu menaiki bot transit ke pesisir pantai di Pantai Pattaya yang juga hentian utama feri dan bot laju untuk menurun dan mengambil penumpang.

Mungkin satu pengalaman baharu yang sedikit menyusahkan bagi pelancong yang terpaksa meredah air hingga ke paras lutut apabila sampai ke pulau sambil membawa beg dan barangan peribadi.

Tetapi bagi penulis ia hanya mengulangi pengalaman sama ketika bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu dahulu.

-fotoBERNAMA

Selain Pantai Pattaya, dua lagi kawasan pantai utama di sini ialah Pantai Sunrise dan Pantai Sunset.

Disambut mesra beberapa ekor anjing yang berkeliaran di kawasan pantai adalah  perkara biasa di sini.

Melihat kejinakan anjing di kawasan-kawasan tumpuan pelancong di Koh Lipe seolah-olah mereka sudah berasimilasi dengan persekitaran yang didatangi ramai pelancong luar.

TIGA JAM MENEROKA SELURUH PULAU

Meneroka apa yang tersembunyi di Koh Lipe tidak  perlu mengambil masa yang lama.

Tidak sampai tiga jam sudah cukup untuk menjelajah ke semua kawasan termasuk tiga pantai utama yang masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selain boleh berjalan kaki, teksi motosikal beroda tiga menjadi pengangkutan utama yang mudah didapati untuk pengunjung.

Kecekapan teksi bermotosikal memang tidak dapat dinafikan dan sesuai digunakan dengan keadaan jalan raya berkonkrit di sepanjang laluan yang  agak sempit dengan  hanya boleh muat dilalui sebuah kereta.

Pengunjung boleh melihat suasana kampung yang didiami  penduduk asal di sini yang berjumlah kira-kira 600 orang dengan kebanyakan tinggal berdekatan dengan Pantai Sunrise.

Pekerjaan utama mereka selain menjadi nelayan turut terlibat dalam memberikan  perkhidmatan pengangkutan bot untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti laut seperti menyelam dan bersnokel.

Jika dahulu kebanyakan mereka mengamalkan gaya hidup orang laut dengan tinggal di dalam perahu-perahu kecil di laut tetapi kini mereka telah berubah dengan membina rumah-rumah kekal hingga wujudnya perkampungan di sini.

-fotoBERNAMA

Hampir 90 peratus penduduk asal di pulau ini beragama Buddha manakala selebihnya beragama Islam.

Walaupun sedikit jumlahnya namun  penduduk Islam masih berpeluang mengamalkan ajaran Islam terutama di masjid yang dibina berdekatan kawasan pekan.

Masjid Al Marhamah yang dibina di atas tanah wakaf menjadi tumpuan penduduk terutama pada setiap hari Jumaat bagi menunaikan solat Jumaat.

Imam masjid, Jamaludin Osman yang berasal dari Satun telah dua tahun dilantik bagi  mengetuai solat di sini.

Menurutnya, masjid di sini pada awal pembinaan lapan tahun lepas sangat daif keadaannya tetapi kini setelah melakukan penambahbaikan semakin selesa untuk digunakan bagi menunaikan solat lima waktu di sini.

"Ia hasil sumbangan orang ramai termasuk pelancong beragama Islam yang datang ke sini. Kini kita cuba untuk memperbaiki dan memperindahkan masjid ini agar mereka yang datang menunaikan solat lebih selesa," katanya kepada penulis ketika ditemui semasa percutian baru-baru ini.

Kemudahan lain yang terdapat di Koh Lipe, sebuah sekolah untuk anak penduduk kampung  yang terletak berdekatan dengan Pantai Sunrise dan sebuah klinik yang bersebelahan dengannya.

MUDAH DAPAT MAKANAN HALAL

Berjalan di kawasan tumpuan pelancong di Walking Street, mata akan tertumpu ke deretan kedai makan, jualan cendera hati, kedai urut dan bar untuk memenuhi selera pengunjung  bagi melengkapkan percutian mereka.

Kebanyakan kedai beroperasi dari  pukul 10 pagi hingga tengah malam tetapi ada juga yang beroperasi hingga awal pagi.

Suasana malam lebih meriah dengan suara pekerja-pekerja di kedai makan dan kedai urut menarik perhatian pelanggan supaya singgah.

Makanan halal seperti makanan laut seperti sotong, udang dan ayam bakar yang dihidangkan panas-panas bersama sos pudina menjadi pilihan ramai pelancong di Pulau Koh Lipe. -fotoBERNAMA

Kebanyakan mereka yang berniaga di sini adalah dari Satun. Tidak hairanlah ramai dalam kalangan  mereka boleh berbahasa Melayu dengan dialek utara kerana berhampiran dengan Perlis.

Bagi pelancong muslim tidak menjadi kesukaran untuk mencari makanan halal kerana banyak kedai yang dimiliki orang Islam menyediakan menu-menu makanan Thailand terutama hidangan hasil laut yang segar.

Pulut ayam, laksa Thailand selain kuih muih tradisional antara  menu utama sarapan pagi yang mudah didapati.

Minum petang pula boleh mencuba pankek pisang atau di Malaysia roti canai pisang dengan ditabur susu dan coklat cair.

Bagi menyegarkan tekak yang kering, jus buah-buahan segar dan ais krim kelapa boleh dicuba yang banyak dijual di sepanjang Walking Street.

Penulis bertemu dengan Rafizi, seorang rakyat Malaysia dari Pulau Pinang yang berniaga kedai makan di Walking Street sejak lima tahun lepas bersama isterinya yang berasal dari Satun.

Sotong, udang dan ayam bakar yang dihidangkan panas-panas bersama sos pudina menjadi pilihan ramai pelancong ke kedainya.

"Kami beroperasi dari November hingga April sahaja kerana sekitar bulan Mei hingga Oktober kawasan pulau kurang dikunjungi pelancong disebabkan faktor cuaca dan laut bergelora.

"Banyak kedai-kedai ditutup  dan mana-mana pelancong yang datang ketika itu agak sukar mendapatkan makanan. Masa itu pulau ini sunyi sepi," katanya.

PANTAI YANG MENGASYIKKAN

Berjalan di pasir berwarna putih sepanjang pantai  sambil menikmati pemandangan laut membiru adalah terapi yang dicari oleh mereka yang sukakan percutian di pantai.

Ramai yang menikmati keindahan itu dengan berbaring untuk berjemur ataupun berehat sambil membaca buku.

Pantai Pattaya adalah pantai utama di Koh Lipe yang menjadi tumpuan pelancong.

-fotoTHESTAR

Lokasinya  berdekatan dengan  Walking Street dengan hanya berjalan kaki kira-kira lima ke 10 minit sahaja.

Selain menjadi tempat laluan bot dan feri, kawasan di sepanjang pantai  disini juga agak sibuk kerana terdapat banyak restoran, bar serta penginapan hotel dan resort mewah.

Bagi mereka yang inginkan suasana yang lebih tenang dan jauh daripada kesibukan, Pantai Sunrise adalah pilihan yang terbaik.

Kawasan  di sini  lebih 'privacy' dan sesuai untuk mereka yang datang bersama keluarga.

Manakala Pantai Sunset pula sangat sesuai dikujungi pada waktu petang untuk melihat matahari terbenam.

-fotoBERNAMA

Untuk sampai ke Sunset dari Walking Street mengambil masa kira-kira lima minit menaiki teksi dan jika memilih untuk berjalan kaki mengambil masa sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit.

Koh Lipe yang dikelilingi pulau-pulau kecil menawarkan habitat hidupan laut yang sangat mempersonakan.

KLIK sini untuk info lanjut.

Tempat yang sering dibawa untuk aktiti menyelam seperti Stonehenge atau Eight Mile Rock, sekitar Koh Sawang, Koh Phung dan Koh Tong.

Terdapat bangkai kapal Yong Hua (tinggalan kapal nelayan Thailand yang tenggelam di kawasan itu pada tahun 1996) yang sangat sesuai untuk aktiviti menyelam.

Memang tidak rugi bagi mereka yang sukakan percutian di kawasan pantai untuk menyenaraikan Koh Lipe sebagai satu daripada destinasi pilihan. Semuanya ada di sini dan sangat berbaloi. -Bernama


Artikel Lain