Kalau Ke Turki, Jangan Hanya 'Touch n Go'! - Destinasi | mStar

Kalau Ke Turki, Jangan Hanya 'Touch n Go'!

Nikmati keindahan Cappadocia dari udara.

KAYA dengan kebudayaan, kesenian, sejarah dan keindahan, bentuk muka bumi Turki tentunya tidak cukup hanya 'touch n go' saja apabila berkunjung ke negara yang terletak di benua Asia dan Eropah ini.

Pengalaman sendiri menggembara ke bumi yang pernah mencatatkan sejarah kegemilangan Islam ketika di zaman kerajaan Uthmaniah selama sembilan hari terasa tidak mencukupi kerana keindahan landskap memukau dan coretan sejarah yang mengagumkan.

Namun, penulis ingin berkongsi beberapa lokasi yang wajib dilawati selain ibu negara Turki sendiri, Istanbul kerana ada setiap lokasi mempunyai kelainan serta keunikannya tersendiri.

Bersemadi Mevlana Jalaluddin Rumi di Konya


Replika tarian sufi derwish di Konya.

Konya terkenal sebagai bandar paling Islamik di Turki dan terbersih.

Di sini terletaknya lokasi makam ahli sufi, ulama, pengasas tarian sufi Derwish dan juga penyajak Parsi yang terkenal dunia, Mevlana Jalaluddin Rumi.

Sejarahnya bermula apabila Sultan Seljuk, Sultan Ala al-Din Kaygubad menjemput Jalaluddin ke Konya dengan menawarkan taman bunga ros sebagai tempat untuk persemadian bapanya iaitu Bahaudin Walad.

Jelaludin yang meninggal pada tahun 1273 turut dikebumikan di sebelah bapanya.

Bagi peminat karya sastera dan sajak, pastinya tidak mahu ketinggalan mendapatkan naskhah koleksi sajak Jalaluddin yang banyak diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia termasuk Inggeris di bandar ini.

Istana kapas di Pamukkale


Rendam kaki di air panas di Pamukkale.

Sebaik tiba di Pamukkale, pengunjung pasti terpesona dengan kewujudan binaan bertingkat seperti istana kapas sedangkan ia adalah kolam air panas bertingkat.

Air yang berwarna biru dari jauh memang memukau pandangan. Mengikut cerita penduduk tempatan, ramai yang berkunjung ke Pamukkale untuk melegakan sakit sendi dengan merendam kaki di kolam air panas bertingkat di kawasan ini.

Sampai di sini, bolehlah mencuba sendiri kehangatan air kolam bertingkat yang turut dikenali sebagai spa kuno zaman Roman yang terhasil akibat aktiviti gempa bumi berkurun lama.

Cuma jika tidak bernasib baik, ada masa tertentu kolam menjadi kering berikutan kekurangan taburan hujan. Sebelum ke sana lakukan penyelidikan terlebih dulu.

Landskap unik di Cappadocia


Dikurniakan dengan bentuk muka bumi unik, Cappadocia yang terletak di kawasan separa gersang tidak kurang menariknya.

Dengan bentuk batuan sejak zaman berzaman yang dapat dilihat di Lembah Monks dan Gerome, kembara boleh diteruskan di darat atau jika ada lebih bajet tentunya lebih menakjubkan jika berpeluang menaiki belon panas untuk meneroka bumi Cappadocia dari udara.

Sarapan di luar hotel dalam gua di Cappadocia.

Menginap di hotel dalam gua yang banyak terdapat di kawasan ini juga adalah pengalaman unik. Hotel dibina dalam gua ini, istimewanya selain hiasan dalaman menarik tetapi juga suhu yang berbeza dari luar.

Jika di musim sejuk, dalamnya hangat dan selesa, begitu juga sebaliknya.

Tidak puas di Safranbolu


Tapak Unesco Safranbolu

Destinasti yang tidak begitu popular di kalangan pelancong Malaysia, namun sebaik menjejakkan kaki di kota yang diiktiraf sebagai tapak Unesco ini, keunikan serta keindahan seni bina zaman Uthmaniah tentunya tidak mengecewakan.

Lebih menyeronokkan apabila menginap di hotel yang juga bekas rumah penduduk yang dibina lebih 400 tahun lalu.

Terletak di wilayah Laut Hitam, Safranbolu pada satu ketika dulu adalah tempat persinggahan rombongan pedagang antara Eropah dan Asia.

Masih mengekalkan ciri-ciri seni bina di zaman Uthmaniah, satu malam di kota ini pastinya tidak mencukupi untuk menerokanya.

Apa lagi, bagi yang belum ke Turki, pilihlah pakej yang bukan hanya ‘touch n go’ kerana uniknya negara peninggalan kerajaan Utmaniah di bawah pemimpin Islam terkemuka, Sultan Muhammad al Fateh ini sukar digambarkan dengan kata-kata.

melawat Turki , bercuti Turki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Unik! Berendam Sambil Isi Perut

Artikel Berkaitan