Acheh, Lawatan Indah Penuh Keinsafan! - Destinasi | mStar

Acheh, Lawatan Indah Penuh Keinsafan!

Kilometer Nol di Pulau Sabang

KEJADIAN tsunami 2004 yang meragut lebih 200,000 nyawa dan memusnahkan sepenuhnya Banda Aceh di Pulau Sumatera, Indonesia tentunya meninggalkan parut dan kenangan pahit bagi setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dan harta benda.

Namun, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Tragedi tsunami bukan hanya menjadi luka lama untuk dikenang tetapi memberi kekuatan dan semangat bagi penduduk Aceh untuk bangun dan meneruskan kelangsungan hidup.

Muzium Tsunami Aceh

Lebih menarik, tragedi tsunami ini turut dijadikan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan di Banda Aceh termasuk Muzium Tsunami, Kapal PLTD Apung,  Kapal Ampung Lampulo (kapal di atas rumah) dan Perkuburan Besar Mangsa Tsunami.

Selain kesan akibat tsunami yang dijadikan tarikan pelancongan, Aceh juga sangat terkenal kerana keindahan pantainya dan pulau terkenal termasuk  Pulau Sabang atau dikenali sebagai Pulau Weh.

Mari kita lihat keistimewaan beberapa lokasi wajib singgah di Aceh.

Muzium Tsunami Aceh


Nama sebahagian mangsa tsunami di Muzium Tsunami Aceh

Memasuki Muzium Tsunami Aceh membawa pengunjung mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada 26 Disember 2004. Lorong gelap dengan aliran air di kiri kanan dinding dan alunan zikir membawa pengunjung menyelami apa yang dialami penduduk ketika itu. Direka oleh arkitek anak jati Aceh, muzium yang menggabungkan  seni Islam dan budaya masyarakat Aceh itu menggambarkan seolah-olah gelombang tsunami dan kapal penyelamat pada binaannya. Di satu ruang penuh dengan nama mangsa yang terkorban dalam tragedi meruntun jiwa itu.

Kapal PLTD Apung

Ajaib tetapi benar tatkala kali pertama melihat kapal janakuasa elektrik milik syarikat janakuasa tempatan PLN yang dikenali PLTD Apung yang sepatutnya berada di Lautan India tetapi akibat gelombang tsunami besar itu, ia terseret hingga lima kilometer ke perkampungan berhampiran. Jentera janakuasa yang berada dalam kapal itu dipindahkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral dan kini lokasi itu menjadi tarikan pelancong luar dan dalam Indonesia.

Kilometer Nol, Pulau Sabang


Kejernihan laut di Pulau Sabang

Kunjungan ke Aceh tentunya tidak sah jika tidak berkesempatan untuk bermalam di Pulau Sabang atau kadang kala dikenali sebagai Pulau Weh. Keindahan pulau itu yang hanya mengambil masa 45 minit dengan bot laju dan dua jam dengan feri tidak terungkap oleh kata-kata. Terletak di Laut Adaman, Pulau Sabang ini adalah pulau paling utara di Sumatera. Lokasi Kilometer Nol iaitu titik pengiraan kilometer pertama bagi Indonesia di bahagian utara terletak di pulau ini. Bergambar di monumen Kilometer Nol tentunya melengkapkan lagi jurnal kembara ke Aceh.

Snorkeling di Iboih, Pulau Sabang


Lazimnya, pelancong hanya menghabiskan sehari di Pulau Sabang, namun kesuntukan masa tidak membolehkan pengunjung untuk menikmati keindahan Pantai Iboih yang airnya jernih sehingga nampak ikan bermain hingga ke dasar. Jadi, apa kata lanjutkan kembara dan bermalam di Pulau Sabang terutama di Pantai Iboih yang banyak kemudahan chalet bagi membolehkan kita melakukan aktiviti laut seperti snorkeling, selaman laut dalam dan melihat hidupan laut dari lantai bot. 

melawat Acheh , tsunami 2004

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Monorel Melaka Gamit Pelancong

Artikel Berkaitan