suria

Abdul Latif Pertahan Emas

Latif Romly meraih pingat emas dan berjaya memecah rekod Asia dengan lompatan sejauh 7.41 Meter dalam acara akhir Lompat Jauh kelas T20. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Juara dunia, Abdul Latif Romly menunjukkan belang di laman sendiri setelah berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara lompat jauh lelaki T20 untuk kali ketiga berturut-turut pada Sukan Para ASEAN (APG) Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu melakukan lompatan sejauh 7.41 meter pada percubaan pertama dan catatan berkenaan hanya 0.02 meter daripada jarak yang dilakukannya iaitu 7.43 meter pada edisi 2015 di Singapura yang masih kekal sebagai rekod temasya.

Atlet Singapura, Suhairi Suhani membawa pulang pingat perak selepas mencatat 6.85 meter manakala seorang lagi wakil negara, Zulkifly Abdullah terpaksa berpuas hati dengan kutipan gangsa setelah melakukan lompatan sejauh 6.51 meter.

Kejayaan tersebut menyaksikan Abdul Latif mengekalkan pingat emas dalam acara sama sejak edisi 2014 di Naypyidaw, Myanmar.

Abdul Latif yang ditemui pemberita berpuas hati dengan kejayaan yang diraih sambil berterima kasih kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan isteri, Nori Abdullah yang hadir untuk memberikan sokongan kepadanya.

"Saya sangat gembira dan terkejut kerana ramai yang memberikan sokongan kepada saya terutamanya Raja Muda Perlis dan ia menaikkan semangat saya untuk mempamerkan aksi terbaik di laman sendiri.

"Emas ini untuk keluarga  saya yang sanggup  datang dari Perlis semata-mata bagi memberikan sokongan kepada saya pada hari ini," jelas  Abdul Latif.

Olahragawan Kebangsaan 2016 itu memaklumkan, beliau akan berehat selama dua minggu selepas ini sebelum kembali meneruskan latihan intensif bagi menghadapi Sukan Para Asia 2018 di Indonesia dengan sasaran untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan. - Bernama

Artikel Sebelum

Badminton Kutip Empat Emas

Artikel Berikut

Fazriq Razif Bakal Ikut Jejak Bapa

Artikel Lain